اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 114/2026: PINDAAN AKTA 333 (MANGSA PEMANDU MABUK) DARI PERSPEKTIF MAQASID SYARIAH

TintaMufti.jpg

 

 

PINDAAN AKTA 333 (MANGSA PEMANDU MABUK) DARI PERSPEKTIF MAQASID SYARIAH

Alhamdulillah, kita sentiasa merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi atas kurniaan nikmat keamanan dan kesejahteraan yang berpanjangan. Isu keselamatan jalan raya di Malaysia sentiasa menjadi perhatian utama dalam kerangka pemeliharaan nyawa masyarakat awam. Mutakhir ini, wujud cadangan dan usaha berterusan daripada pihak kerajaan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi memperkasa perlindungan kepada mangsa pemandu mabuk. Pihak JMWP menyambut baik inisiatif ini kerana ia merupakan sebuah usaha yang sangat signifikan dari kacamata syarak demi memelihara keselamatan dan kemaslahatan seluruh warganegara.

Baru-baru ini, YB Menteri Pengangkutan telah memaklumkan bahawa pihak kerajaan dijangka akan membentangkan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di Dewan Rakyat pada penghujung tahun ini. Objektif utama pindaan ini digagaskan adalah untuk memperkukuh dan memperkasa perlindungan undang-undang secara lebih tuntas kepada mangsa-mangsa kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh kelalaian pemandu di bawah pengaruh alkohol. Hal ini menzahirkan keprihatinan yang tinggi oleh pihak pemerintah dalam menangani isu keselamatan lalu lintas yang sering membelenggu masyarakat kita.

Saban waktu, masyarakat di negara ini masih didedahkan dengan realiti pahit berhubung peningkatan kes kemalangan jalan raya akibat pemanduan beralkohol yang telah meragut banyak nyawa insan yang tidak berdosa. Insiden-insiden ngeri ini terus memberikan cabaran yang semakin meruncing kepada keharmonian sosial. Oleh yang demikian, suatu tindakan intervensi yang proaktif dan tegas daripada pihak kerajaan amat diperlukan pada waktu ini, demi memperkasa perlindungan hak kepada mangsa serta waris mereka yang sering kali teraniaya, hilang mata pencarian, dan trauma akibat tindakan segelintir pihak yang membelakangi undang-undang.

Pemeliharaan Nyawa Menurut Perspektif Syarak

Berdasarkan perspektif syarak, penguatkuasaan undang-undang jalan raya secara asasnya bertujuan memelihara hak dan maslahah bagi setiap pengguna jalan raya, sama ada yang bergelar pejalan kaki mahupun yang menaiki kenderaan. Nyawa manusia merupakan amanah dan anugerah Allah SWT yang sangat suci dan dihormati. Sebarang percubaan atau kecuaian yang mencabar kesucian nyawa ini ditegah sama sekali. Hal ini dirakamkan dalam firman Allah SWT:

أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا

Maksudnya: "…Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya..."

Surah al-Ma’idah (32)

Dalam sistem perundangan Islam, pensyariatan diyat (pampasan darah atau ganti rugi) merupakan manifestasi ketara terhadap agenda pemeliharaan maslahah nyawa manusia, atau dikenali sebagai hifz al-nafs. Elemen hifz al-nafs ini menduduki hierarki keutamaan yang teratas kerana ia tergolong dalam al-maslahah al-dharuriyyat (kemaslahatan asas) dalam kerangka maqasid syariah. Perlindungan nyawa adalah prasyarat kepada perlindungan agama, akal, keturunan, dan harta.[1]

Sehubungan dengan itu, mekanisme perlindungan pampasan undang-undang persekutuan yang secara rohonya berkongsi objektif dengan pensyariatan diyat berperanan penting bukan sahaja untuk menegakkan keadilan kepada semua pihak terutamanya mangsa, malah yang lebih afdal adalah bagi memelihara kebajikan ahli keluarga dan waris yang ditimpa musibah. Jaminan pembelaan seumpama ini amat kritikal bagi memastikan keluarga mangsa tidak terbiar merempat atau hilang punca pendapatan setelah tiang seri keluarga mereka diragut asbab kecuaian pihak ketiga.

Diyat sebagai Peringatan dan Pencegahan

Menelusuri hikmah yang lebih meluas, pelaksanaan pampasan atau penalti berat seumpama diyat ini secara tidak langsung berfungsi dan menjadi peringatan serta amaran yang tegas kepada orang awam. Ia mendidik keluhuran budi agar setiap pemandu lebih berhati-hati dan berwaspada ketika berada di jalan raya serta tidak mementingkan diri sendiri. Islam sentiasa menyeru umatnya supaya sentiasa mengamalkan sikap rahmah dan menghargai nyawa pihak lain dalam apa jua urusan.

Sikap mementingkan diri sendiri dengan memandu secara tidak berhemah di jalan raya amatlah dikesali kerana ia berisiko tinggi mengakibatkan kemalangan sehingga mencetuskan kehilangan nyawa kepada insan yang tidak bersalah. Hal ini termasuklah tindakan sengaja memandu dalam keadaan beralkohol yang jelas merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab, tidak bermoral, malah menyalahi peruntukan undang-undang negara. Sikap mengambil ringan akan tegahan meminum arak sering kali mengundang kerosakan yang melangkaui peminumnya. Perbuatan meminum khamar (arak) itu sendiri secara mutlak telah diharamkan oleh syarak, sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ‎﴿٩٠﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."

Surah al-Ma’idah (90)

Menelusuri asas perundangan Islam berhubung sokongan terhadap usul akta ini, pihak JMWP berpandangan bahawa pindaan terhadap akta keselamatan jalan raya ini menepati prinsip Sadd al-Dhara'i, iaitu pendekatan menutup atau mencegah lebih awal pintu-pintu dan ruang yang boleh mendorong ke arah kemudaratan yang lebih besar. Pendekatan pencegahan ini disokong oleh satu lagi kaedah fiqh yang muktabar, iaitu:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh memudaratkan diri sendiri, dan tidak boleh memudaratkan orang lain.”

(Riwayat Ibn Majah)

Oleh yang demikian, menyekat kemudaratan kecederaan dan kematian dari terus berleluasa akibat kedegilan pemandu mabuk merupakan suatu tuntutan yang wajib direalisasikan oleh sesebuah negara berdaulat.

Tanggungjawab dan campur tangan pihak kerajaan dalam meminda akta ini juga amat bertepatan dengan kaedah fiqh yang sangat mahsyur dalam siyasah syar'iyyah:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya: “Tindakan dan urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah sentiasa dipandu oleh maslahah (kepentingan) umum.”[2]

Pengiktirafan syarak terhadap autoriti pihak kerajaan dalam menggubal, memperketat, dan meminda undang-undang untuk kemaslahatan umum adalah selari dengan anjalnya hukum fiqh dalam menyantuni keperluan serta keselamatan nyawa masyarakat berbilang kaum di Malaysia pada hari ini.

Saranan kepada Masyarakat

Oleh yang demikian, pihak kami menyeru seluruh lapisan masyarakat agar menyokong penuh usaha pindaan ini demi memastikan jalan raya dalam negara kita berada dalam keadaan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan semua pihak. Memastikan keselamatan jalan raya bukanlah tanggungjawab hakiki pasukan penguatkuasa semata-mata, sebaliknya ia merupakan sebuah tanggungjawab kolektif dan amanah moral seluruh rakyat Malaysia. Marilah kita melatih diri menjadi pengguna jalan raya yang sentiasa berhemah, mematuhi undang-undang, serta cakna dengan persekitaran.

Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan keberkatan, petunjuk, dan kelancaran buat usaha murni pihak kerajaan dalam mendaulatkan undang-undang demi kebaikan semua. Kita juga berdoa agar Allah SWT memelihara kita dan keluarga kita daripada sebarang bentuk musibah, tragedi, dan malapetaka, khususnya di jalan raya.

Wallahu a'lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

13 MUHARAM 1448H / 29 JUN 2026

 

Rujukan 

[1]Ibn Asyur, Maqasid al-Shari’ah al-Islamiyyah (Qatar: Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Agama, 2004), jld. 2, hlmn. 359.

[2] Al-Suyuti, Jalaluddin, al-Asybah wa al-Nadzair (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1983), hlmn. 121.