اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 117/2026 : PEMANSUHAN CAJ RM1 ATM ANTARA BANK, SATU REFLEKSI KEPRIHATINAN DAN IHSAN

TintaMufti.jpg

 

PEMANSUHAN CAJ RM1 ATM ANTARA BANK, SATU REFLEKSI KEPRIHATINAN DAN IHSAN

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Baru-baru ini, rakyat Malaysia telah menerima satu khabar yang baik iaitu bermula 1 Julai 2026, caj RM1 bagi pengeluaran tunai di Mesin Pengeluaran Automatik (ATM) antara bank telah dimansuhkan sepenuhnya. Inisiatif yang dijayakan bersama oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dan PayNet merupakan satu langkah yang amat baik lebih-lebih lagi dalam mendepani cabaran kos sara hidup pada hari ini.[1]

Melihat kepada perkembangan ini, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan terpanggil untuk menelusuri isu ini dari perspektif syarak, khususnya bagi merungkai kefahaman takyif fiqhi serta memberikan refleksi mengenai konsep ihsan dalam kewangan.

Hukum Caj RM1 yang Dikenakan Sebelum Ini

Menurut hukum Islam, setiap caj yang dikenakan mesti mempunyai asas yang sah. Dalam konteks caj mesin ATM yang dikenakan sebelum ini, ia berdasarkan akad ju’alah atau upah (ujrah) atas perkhidmatan yang disediakan. Dalam al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i menjelaskan definisi ju’alah seperti berikut:

التزام عِوض معلوم على عمل معين، أو مجهول عسر علمه، من شخص معين أو مجهول، كمن يقول: من ردَّ لي ضالتي فله كذا، ومن بنى حائطي فله كذا، ومن خاط ثوبي فله كذا

Maksudnya: “Komitmen memberikan upah yang diketahui ke atas pekerjaan yang tertentu, atau pekerjaan yang tidak diketahui yang sukar untuk ditentukan, daripada individu yang tertentu atau tidak diketahui, seperti seseorang yang berkata: Sesiapa yang memulangkan barangku yang hilang maka baginya sekian-sekian (bayaran), dan sesiapa yang membina tembokku maka baginya sekian-sekian, dan sesiapa yang menjahit bajuku maka baginya sekian-sekian.”

Kontrak ju’alah ini diaplikasikan pada caj RM1 bagi pengeluaran wang antara bank (MEPS) di mesin ATM. Dalam situasi ini, pelanggan yang ingin mengeluarkan wang bersetuju membayar upah sebanyak RM1 kepada bank pemilik ATM kerana menyediakan perkhidmatan fasiliti dan memproses transaksi pengeluaran wang anda. Selari dengan syarat utama kontrak ju'alah, caj RM1 ini hanya akan ditolak selepas mesin tersebut berjaya mengeluarkan wang kepada anda. Manakala jika transaksi gagal, tiada bayaran dikenakan.

Justeru, hukum caj ini adalah harus dan tidak mempunyai unsur riba yang diharamkan. Caj RM1 tersebut merupakan representasi kepada kos-kos operasi sebenar yang terlibat merangkumi kos penyediaan rangkaian, penyelenggaraan sistem, logistik pengurusan tunai, dan kawalan keselamatan.

Konsep Ihsan Dalam Kewangan

Walaupun pihak institusi perbankan secara hukumnya berhak untuk terus mengenakan caj perkhidmatan tersebut, keputusan mereka untuk melepaskan hak itu dan memansuhkannya merupakan satu cerminan kepada nilai ihsan yang amat dipandang tinggi dalam Islam.

Pada hemat kami, inisiatif ini sangat baik kerana ia menghidupkan beberapa prinsip utama syariah:

  1. Hifz al-Mal (Memelihara Harta)

Nilai RM1 mungkin kelihatan kecil bagi sebahagian pihak. Namun, bagi golongan berpendapatan rendah yang sering mengeluarkan tunai dalam jumlah yang kecil demi kelangsungan hidup harian, kos RM1 yang dikenakan secara berulang-ulang ini amat dirasai. Pemansuhan ini melindungi penyusutan wang rakyat yang tidak disedari, selari dengan kerangka maqasid syariah.

  1. Ihsan dan Ta'awun (Tolong-menolong)

Penyerapan kos operasi oleh pihak bank merupakan satu bentuk ihsan dalam kewangan. Ia menyahut seruan agama agar sentiasa tolong-menolong dan memudahkan urusan individu lain. Meskipun pihak bank berhak mengenakan caj-caj tersebut, namun tindakan memansuhkannya memberi kemudahan kepada golongan yang kurang berkemampuan dari sudut kewangan. Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis:

مَن نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

Maksudnya: “Siapa yang membebaskan seseorang dari kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat.”

(Riwayat Muslim)

Penutup

Sebagai kesimpulan, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyambut baik dan menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif pemansuhan caj RM1 pengeluaran tunai ATM antara bank ini. Ia merupakan satu amalan yang menterjemahkan kefahaman Islam yang rahmah di mana kemajuan institusi kewangan tidak meminggirkan nilai-nilai ihsan dan keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat awam.

WaAllahu A’lam

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

27 MUHARAM 1448H / 13 JULAI 2026

[1] "Pemansuhan caj RM1 ATM antara bank mula 1 Julai ringankan beban," Berita Harian, Jun 2026, https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/06/1580544/pemansuhan-caj-rm1-atm-antara-bank-mula-1-julai-ringankan-beban.