Soalan:
Apakah hukum sekiranya seseorang wanita melambatkan mandi wajib dengan niat ingin menunggu lagi jika ada darah haid yang masih tertinggal seperti darah di hujung yang warnanya coklat, kerana kadang-kadang darah berhenti sekejap selama satu atau dua hari dan akan bersambung pada hari berikutnya.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Dalam kes ini, wanita tersebut perlu memeriksa keadaan dirinya. Sekiranya darah tidak keluar tetapi apabila dia memasukkan kapas atau seumpamanya ke dalam batin alat sulitnya (bahagian faraj yang tidak wajib dicuci ketika istinja’ dan hanya kelihatan ketika mencangkung) lalu didapati pada kapas tersebut ada kesan darah termasuklah warna coklat, maka dia masih berada dalam keadaan fatrah haid, yakni tempoh haid. Ini berdalilkan riwayat Aisyah R.Anha dalam Sahih al-Bukhari dan al-Muwatta’:
كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ
Maksudnya: Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”
Rujuk al-Majmu’ (2/389) oleh Imam al-Nawawi
Namun sekiranya dia tidak mendapati warna darah, termasuklah warna kekeruhan dan kekuningan, maka dia sebenarnya berada dalam keadaan naqo’. Daripada sudut bahasa naqo’ bererti bersih daripada sesuatu. Adapun daripada sudut hukum, keadaan naqo’ bererti bersih daripada darah haid. Keadaan naqo’ boleh jadi keadaan haid ataupun suci.
Pada asalnya, apabila berlaku naqo’ maka dia secara zahirnya sudah dianggap berhenti darah haid dan diwajibkan mandi dengan segera dan hendaklah dia melaksanakan kewajipan apabila sudah suci seperti solat dan berpuasa.
Namun, sekiranya seseorang wanita itu memiliki adat muwa`adah al-dam (yakni darah haidnya keluar kemudian berhenti kemudian datang kembali tetapi cukup sehari semalam). Maka di sisi mazhab ada dua pendapat ulama.
Pertama. Wanita itu mengambil hukum suci. Justeru dia wajib mandi dan melakukan kewajipan ketika bersuci seperti solat dan puasa. Ini merupakan pendapat Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’.
Kedua. Wanita itu mengambil hukum haid kerana secara zahirnya masih berhaid kerana mengikut adatnya, justeru tidak perlu mandi lagi sewaktu berlakunya intiqita’ (putus) atau naqo’ itu. Ini menurut pendapat yang disahihkan oleh Imam al-Rafie, Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin, dan dianggap tepat oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami.
(Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (1/400); Asna’ al-Matalib (1/112)
Contoh bagi pendapat kedua ialah Nurul mempunyai adat berhaid 7 hari dalam keadaan pada hari keempat akan berlaku naqo’ selama sehari dan sambung keluar darah kembali sehingga hari ketujuh. Justeru, apabila berlaku naqo` pada hari keempat, Nurul tidak perlu mandi wajib kerana dia masih dianggap haid. Inilah yang difahami daripada fakta soalan penanya di atas.
Namun begitu, sekiranya Nurul menunggu daripada hari keempat sehingga hari ketujuh tetapi tidak kembali keluar darah, maka Nurul diwajibkan untuk mandi dan mengqadha’kan solat-solat yang ditinggalkan pada hari keempat sehingga hari ketujuh kerana berkemungkinan adatnya sudah berubah.
Jawapan di atas tidak merujuk kepada kes wanita mustahadah, mubtada’ah (yang baru mengalami haid bulan pertama), kes haid yang mutaqatti` (terputus-putus) kerana beranggapan bahawa penanya ialah wanita yang beradat dan keluar darah seperti kebiasaan.
Wallahua`lam.