اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2012: HUKUM PENGUTIPAN DERMA BAGI TUJUAN PEMBAYARAN DENDA

Template_Header_Artikel_PMWP.jpg

 

Soalan

“Mohon pandangan berkenaan isu hukum minta kutipan derma untuk bayar saman fitnah.”

Jawapan

Secara asasnya, hukum membantu seseorang adalah harus, sama ada bantuan tersebut berbentuk fizikal mahupun material. Namun begitu, ada kalanya sesuatu bantuan tersebut dilarang kerana perkara-perkara lain seperti bantuan yang boleh mendorong kepada perbuatan yang salah, membawa kemudaratan atau sebagainya.

Merujuk kepada konteks persoalan yang ditanyakan, iaitu berkait dengan seseorang yang diarahkan oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi terhadap orang lain kerana mahkamah mendapati bahawa dia telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap individu tersebut, maka secara asasnya sesiapa sahaja boleh membantu untuk membayar denda atau saman yang dikenakan, selagi mana orang yang memberikan sumbangan tersebut tidak bermaksud untuk menggalakkan kesalahan tersebut.

Begitu juga seseorang yang ingin membantu orang lain dalam pembayaran denda atau saman, dia hendaklah memastikan bahawa orang tersebut telah menginsafi perbuatan salah yang dilakukan bagi memastikan sumbangan itu tidak digunakan untuk mengulangi kesalahannya. Jika tidak, pemberian bantuan tersebut akan menjadikan seseorang yang melakukan kesalahan itu akan memandang ringan terhadap kesalahan yang dilakukan.

Sebaliknya jika seseorang yang memberikan sumbangan tersebut bertujuan untuk mendorong pelaku sesuatu kesalahan tersebut mengulanginya lagi, maka dalam keadaan ini pemberian sumbangan tersebut adalah haram. Hal ini demikian berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: “...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan...”.

Surah al-Ma’idah (2)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, maka bantuan untuk membayar denda bagi pihak yang disabitkan di mahkamah boleh dilakukan dengan syarat berikut:

  1. Orang tersebut telah menginsafi perbuatan salah yang dilakukan bagi memastikan sumbangan itu tidak digunakan untuk mengulangi kesalahannya.
  2. Sumbangan diberikan untuk tujuan ganti rugi bukan tujuan untuk menyokong perbuatan salahnya.

Wallahuaʻlam