Soalan:
Assalamualaikum. SS Mufti, saya nak tanya, adakah sah apabila mengulangi sujud dengan sengaja kerana saya rasa semasa sujud pertama semasa solat saya tidak melakukan dengan betul, saya sujud semula semasa duduk antara dua sujud jadinya saya sujud 3 kalilah sebab yg pertama salah cara sujud. Tak apa ke Solat 3 kali sujud macam ni? Macam mana nak tahu sujud tu sah ke tak?
Ringkasan Jawapan:
Jika seseorang yakin bahawa sujud yang dilakukannya tidak sah, maka dia wajib mengulangi semula sujud, kerana sujud merupakan salah satu rukun di dalam Solat. Dalam keadaan ini, walaupun secara zahirnya nampak seperti dia melakukan 3 kali sujud, namun hakikatnya dia hanya melakukan 2 kali sujud sahaja kerana salah satu sujud itu tidak sah, seperti tiada tomakninah.
Sungguhpun begitu, sekiranya seseorang dengan sengaja melakukan sujud secara tidak sempurna, maka dalam keadaan ini solat orang tersebut dikira terbatal, dan dia perlulah mengulangi semula solat tersebut.
Huraian Jawapan:
Sujud merupakan salah satu daripada rukun-rukun solat. Sekiranya seseorang melakukan sujud secara tidak sah, maka kesannya solat yang dikerjakan itu juga dikira sebagai tidak sah. Hal ini adalah bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ وَتَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا
Terjemahan: “…Kemudian sujudlah sehingga kamu tenang dalam keadaan sujud (ṭama’nīnah), kemudian bangunlah duduk dalam keadaan tegak dan tenang (ṭama’nīnah), kemudian sujudlah (sekali lagi) sehingga kamu tenang dalam keadaan sujud (ṭama’nīnah)…”.
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Minimum Tatacara Sujud Yang Dikira Sah
Sujud yang dilakukan oleh seseorang dikira sebagai sah dan diterima sekiranya dia melakukan sujud sekurang-kurangnya menepati kadar minimum syarat sujud yang telah ditetapkan. Imam al-Nawawi merumuskan batas minimum Sujud yang perlu dilakukan dalam solat adalah seperti berikut:[1]
وأَقَلُّهُ مُبَاشَرَةُ بَعْضِ جَبْهَتِهِ مُصَلَّاهُ
Terjemahan: “...minimumnya (sujud) ialah dengan mengenakan secara langsung sebahagian dahinya pada tempat sujudnya...”.
Berdasarkan kenyataan ini, maka seseorang yang melakukan sujud mestilah sekurang-kurangnya mengenakan sebahagian daripada dahinya ke tempat sujud. Begitu juga seseorang yang melakukan sujud mestilah tidak berlapik dengan pakaiannya yang bergerak dengan pergerakannya di dalam solat. Imam al-Khaṭīb al-Shirbīniy menjelaskan permasalahan ini seperti berikut:[2]
(فَإِنْ سَجَدَ عَلَى مُتَّصِلٍ بِهِ) كَطَرَفِ كُمِّهِ الطَّوِيلِ أَوْ عِمَامَتِهِ (جَازَ إنْ لَمْ يَتَحَرَّكْ بِحَرَكَتِهِ) ؛ لِأَنَّهُ فِي حُكْمِ الْمُنْفَصِلِ عَنْهُ، إنْ تَحَرَّكَ بِحَرَكَتِهِ فِي قِيَامٍ أَوْ قُعُودٍ أَوْ غَيْرِهِمَا كَمِنْدِيلٍ عَلَى عَاتِقِهِ لَمْ يَجُزْ،
Terjemahan: “(sekiranya dia melakukan sujud di atas pakaian yang bersambung dengannya) seperti penghujung lengan baju yang panjang atau serbannya, (dibolehkan sekiranya (pakaian tersebut) tidak bergerak dengan pergerakannya), kerana ia dikira seperti pakaian yang terpisah daripadanya. Sekiranya pakaian tersebut bergerak dengan pergerakannya ketika berdiri, duduk atau selainnya, seperti kain yang diletakkan pada bahunya, maka tidak boleh (tidak sah)”.
Imam al-Nawawi juga menjelaskan bahawa selain daripada sebahagian dahi yang perlu bersentuhan dengan tempat sujud, bahagian-bahagian lain daripada anggota sujud (kedua-dua tangan, lutut, dan kaki) mestilah bersentuhan dengan tempat sujud juga.[3] Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أُمِرْتُ أنْ أسْجُدَ علَى سَبْعَةِ أعْظُمٍ علَى الجَبْهَةِ، وأَشَارَ بيَدِهِ علَى أنْفِهِ واليَدَيْنِ والرُّكْبَتَيْنِ، وأَطْرَافِ القَدَمَيْنِ ولَا نَكْفِتَ الثِّيَابَ والشَّعَرَ.
Terjemahan: “Aku diperintahkan untuk bersujud di atas 7 anggota badan; dahi, kemudian Nabi menunjukkan pada hidung Baginda menggunakan tangan, kedua-dua tangan, kedua-dua lutut, hujung jari kedua-dua kaki, serta tidak menyingsing pakaian dan mengikat rambut”.
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Justeru, sujud yang paling minimum adalah sujud yang dilakukan dengan memastikan sekurang-kurangnya sebahagian dahi bersentuhan dengan tempat sujud, dan begitu juga anggota-anggota sujud yang lain seperti dua tapak tangan, dua lutut, dan dua bahagian dalam jari kaki.
Hukum-Hukum Berkaitan Sujud Yang Tidak Sempurna
Apabila seseorang itu meyakini bahawa sujud yang dilakukan itu tidak sah, maka dia perlulah mengulanginya semula. Misalnya seseorang yang dalam keadaan sujudnya dengan tidak sengaja telah melakukan sujud di atas pakaiannya sendiri, maka dia wajib mengulangi semula sujud tersebut.
Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang itu dengan sengaja melakukan sujud tersebut secara tidak sempurna, maka solatnya dikira terbatal. Imam al-Khaṭīb al-Shirbīniy menghuraikan permasalahan ini seperti berikut:[4]
فَإِنْ كَانَ مُتَعَمِّدًا عَالِمًا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ أَوْ نَاسِيًا أَوْ جَاهِلًا لَمْ تَبْطُلْ وَأَعَادَ السُّجُودَ
Terjemahan: “Sekiranya dia sengaja dan mengetahui (tentang perbuatan sujud yang tidak sah) maka solatnya terbatal. Jika dalam keadaan terlupa atau tidak tahu, maka tidak batal dan dia mestilah mengulangi solat”.
Dalam permasalahan ini, perbuatan seseorang yang mengulangi sujud tersebut tidaklah dianggap sebagai menambahkan rukun dalam solat ataupun melakukan Sujud 3 kali. Hal ini kerana walaupun secara zahirnya nampak seperti melakukan 3 kali sujud, namun hakikatnya dia hanya melakukan 2 kali sujud sahaja kerana salah satu sujud tidak dikira sah, sebagai contoh sujud yang tiada tomakninah.
Justeru, sesiapa yang tidak sengaja melakukan perkara-perkara yang menyebabkan sujudnya itu tidak sah, maka dia mestilah mengulangi semula sujud tersebut. Hal ini demikian kerana Sujud merupakan salah satu daripada rukun solat dan mestilah dilaksanakan dengan sempurna.
Walaubagaimana pun, sekiranya seseorang hanya syak sahaja bahawa sujud yang dilakukannya itu tidak sah, maka dia hendaklah meneruskan sahaja solat tanpa diulangi semula perbuatan sujud tersebut.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian yang diberikan di dalam artikel ini, maka perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:
i. Sujud merupakan salah satu daripada rukun-rukun yang wajib dilaksanakan di dalam solat. Sekiranya salah satu rukun itu tidak sah, maka kesannya solat itu juga dikira tidak sah.
ii. Jika seseorang dengan tidak sengaja melakukan sujud secara tidak sah, maka dia wajib mengulangi semula sujud tersebut.
iii. Jika seseorang dengan sengaja melakukan sujud secara tidak sah, maka solatnya dikira terbatal.
WaLlāhu A’lam
Rujukan:
[1] Abū Zakariyyā Muḥyi al-Dīn al-Nawawi (2005), Minhāj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, Beirut: Dār al-Fikr, 27.
[2] Shams al-Din Muhammad al-Khatib al-Shirbiniy (1994), Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifah Ma'ani al-Minhaj, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1:376.
[3] Abū Zakariyyā Muḥyi al-Dīn al-Nawawi (2005), Minhāj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, Beirut: Dār al-Fikr, 27.
السجود وأقله مباشرة بعض جبهته مصلاه فإن سجد على متصل به جاز إن لم يتحرك بحركته ولا يجب وضع يديه وركبتيه وقدميه في الأظهر.
قلت: الأظهر وجوبه والله أعلم ويجب أن يطمئن وينال مسجده ثقل رأسه وأن لا يهوى لغيره فلو سقط لوجهه وجب العود إلى الاعتدال وأن ترتفع أسافله على أعاليه في الأصح
[4] Shams al-Din Muhammad al-Khatib al-Shirbiniy (1994), Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifah Ma'ani al-Minhaj, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1:376.