اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE - 222: PERSIDANGAN LIGA PARLIMEN AL-QUDS: MENYUSUN STRATEGI, MEMPERTAHANKAN HAK

liga_parlimen_al-quds_pertahan_hak.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke hari kesudahan.

Pada 8-9 Februari 2019, Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds kali ke-3 telah dianjurkan oleh Liga Parlimen Untuk Al-Quds[1] di bawah naungan parlimen Malaysia. Persidangan tersebut berakhir dengan memberi penekanan terhadap beberapa ketetapan berkaitan krisis yang sekian lama melanda Palestin. Pendirian paling lantang difokuskan terhadap penolakan dan keputusan mengutuk Pelan Damai[2] oleh Amerika Syarikat (AS) yang kononnya berupaya mengakhiri pertelagahan di antara Palestin dan Israel.

Penganjuran persidangan tersebut kami lihat amat penting susulan pelan damai Timur Tengah diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang bersifat amat tidak adil, berat sebelah serta menindas hak rakyat Palestin. Justeru kami tajukkan Bayan Linnas pada kali ini dengan Persidangan Liga Parlimen Al-Quds: Menyusun Strategi, Mempertahankan Hak. Semoga ia memberi satu pencerahan dan kecaknaan kepada semua berkenaan isu penindasan terhadap rakyat Palestin yang wajib dipertahan dan diperjuangkan.

 

Ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds

Kami mulakan dengan beberapa inti pati daripada ucapan serta sidang media oleh Tun Dr Mahathir semasa hadir merasmikan Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds tersebut.

  • Pelan Damai Amerika Syarikat adalah Tidak Adil

Dalam kritikannya terhadap Pelan Damai tersebut, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia akan hanya meneruskan dominasi pendudukan seperti dasar aparteid ke atas rakyat Palestin. Beliau menegaskan: “Malaysia mendapati cadangan itu tidak dapat diterima dan amat tidak adil.”

Beliau menyebut bahawa pelan damai yang dinyatakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hanya akan mencetuskan lebih banyak konflik kepada Palestin dan membuatkan lebih banyak bantahan daripada jutaan penduduk di seluruh dunia.[3] Tambah memburukkan lagi keadaan, bandar suci Jerusalem telah diserahkan dengan mudah kepada pihak Israel. Tegas beliau: “Perkara ini hanya akan membawa lebih banyak konflik di rantau ini, dan kemarahan berbilion masyarakat di seluruh dunia.” [4]

  • Pelan Damai Trump Hanya Menindas Rakyat Palestin dan Berat Sebelah

Beliau turut menegaskan, pelan tersebut adalah satu tawaran berat sebelah yang dipelopori oleh Amerika Syarikat dan Israel tanpa konsultasi dengan Palestin dan menolak usaha untuk membawa keamanan ke Palestin. Kata beliau: “Pelan keamanan ini hanya mengiktiraf kuasa besar yang melakukan pendudukan dan pada masa yang sama mengetepikan hak mereka yang ditindas.”

Beliau turut menyatakan kekecewaan apabila selepas tujuh dekad, hanya satu pihak daripada ‘Two-Side Solution’ dibentuk iaitu Israel, sedangkan rakyat Palestin masih lagi ketinggalan bergelut menuntut keadilan, keamanan dan sebuah negara berdaulat mereka sendiri.[5]

  • Dasar Luar Malaysia Terhadap Palestin Adalah Sama

Tun Dr Mahathir turut menegaskan bahawa dasar luar Malaysia terhadap Palestin adalah kekal sejak berdekad lalu iaitu tetap menyokong Palestin dengan mengiktiraf Deklarasi Kemerdekaan Palestin pada 15 November 1988. Beliau berkata: “Walaupun Malaysia mahu bersahabat dengan semua negara dan menghormati kedaulatan tanpa mengira kepercayaan ideologi, kita mesti kekal memperjuangkan ketidakadilan dan mempertahankan hak mereka yang tertindas.” [6]

  • Isu Penindasan Merupakan Isu Ketidakadilan dan Krisis Kemanusiaan

Kepada satu soalan semasa sidang media, Tun Dr Mahathir menegaskan bahawa isu Palestin adalah satu isu keadilan dan kemanusiaan. Beliau mahu semua pihak membuka mata dan tidak menganggap isu penindasan yang membelenggu Palestin sejak sekian lama adalah berkaitan agama semata-mata. Sebaliknya, beliau menegaskan, isu yang menimpa negara di Asia Barat itu lebih cenderung kepada soal ketidakadilan dan krisis kemanusiaan. Sehubungan itu, katanya, tanggungjawab menjaga keamanan dan memastikan keadilan ditegakkan wajar dipikul semua pihak, merentasi segenap kepercayaan agama. [7]

  • Perancangan Membela Hak Rakyat Palestin Mesti Dilakukan Dengan Strategi yang Sesuai

Tun Dr Mahathir turut menegaskan, sebarang perancangan untuk membela hak dan nasib rakyat Palestin yang ditindas AS, Israel dan beberapa negara blok Eropah tidak boleh dilakukan bermatlamatkan dendam dan marah. Jika berbekalkan dendam, beliau bimbang pihak berkenaan akan bertindak di luar jangka sehingga mengancam nyawa manusia tidak bersalah berikutan marah dan kecewa dengan apa yang berlaku terhadap penduduk Palestin.

Justeru, beliau menegaskan, untuk memenangi perjuangan Palestin itu, satu strategi yang betul perlu dibuat. Kata beliau: “Sebab itulah kami rasakan mesti ada satu strategi yang betul digunakan oleh Palestin dan disokong oleh semua penyokong mereka, dalam usaha untuk memenangi hati dan pemikiran manusia, iaitu perkara ini adalah perjuangan demi keadilan dan keamanan.” [8]

 

Resolusi Persidangan Liga Parlimen Al-Quds Kali ke-3

Persidangan Liga Parlimen Al-Quds kali ke-3 yang telah berakhir, antara lain turut meluluskan sembilan resolusi, iaitu:

  • Terus komited memperjuangkan hak Palestin dan mempertahankan Baitulmaqdis daripada ditakluk Israel.
  • Mendesak komuniti antarabangsa memenuhi kewajipan mempertahankan hak asasi manusia dan norma antarabangsa dalam krisis Palestin.
  • Menggesa Parlimen di seluruh dunia mengutarakan peraturan dan tatacara mengutuk penjajahan Israel terhadap bumi Palestin.
  • Memberi tekanan kepada pertubuhan antarabangsa dan badan perundangan untuk bekerjasama membebaskan tahanan rakyat Palestin.
  • Mendesak supaya negara Muslim memenuhi komitmen untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada dana Al-Quds dan mendapatkan sokongan Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
  • Menubuhkan jawatankuasa pemantau isu penjajahan bumi Palestin didalangi Israel dan menyebarkan fakta sebenar mengenai tindakan rejim terbabit menerusi kerjasama media.
  • Mengutarakan deklarasi antarabangsa menerusi pentas persidangan memperjuangkan hak rakyat Palestin dan menolak usaha penjajahan dilakukan Israel.
  • Bekerjasama melaksanakan pelan dirangka pelbagai persidangan bagi mengakhiri kemelut Palestin.
  • Meraikan dan menghargai usaha golongan Muslim serta Arab susulan kelantangan mereka memperjuangkan nasib rakyat Palestin.[9]

Justeru, sewajarnya resolusi ini disokong sepenuhnya bagi memastikan keadilan terhadap rakyat Palestin dapat ditegakkan serta hak asasi mereka dikembalikan.

 

Kenyataan Ulama’ Berkenaan Pelan Damai Amerika Syarikat

Dalam isu ini, beberapa tokoh ulama turut mengeluarkan kenyataan mereka dalam menyatakan pandangan dan sikap terhadap pelan damai yang diumumkan oleh Amerika tersebut. Kami kemukakan di sini beberapa kenyataan tokoh ulama, antaranya:

  • Syeikh al-Azhar Dr. Ahmad al-Tayyib

Beliau menyebut: Sesungguhnya keperibadian kita seperti bangsa Arab dan kaum Muslimin, pada hari ini sudah tiada apa-apa nilai. Urusan-urusan kita telah diatur oleh orang luar. Kita sudah berada di kemuncak kehinaan. Aku melihat Donald Trump bersama Benjamin Netanyahu. Sudah tentu, merekalah yang telah merancang,  memberi pandangan, membuat keputusan, dan menyelesaikan permasalahan buat kita. Tidak ada seorang pun (daripada kalangan mereka) bangsa Arab, mahupun orang Islam. Inilah perkara yang sepatutnya kita perangi (lawan dan tentang).[10]

  • Syeikh Dr. Ali al-Qarrahdaghi, Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia

Beliau menegaskan bahawa Kesatuan Ulama Islam Sedunia mempunyai pendirian yang tegas dan tetap iaitu tidak akan bertoleransi sama sekali dengan negara penjajah Zionis yang telah menjajah al-Quds. Beliau mengingatkan agar berhati-hati dengan propaganda perjanjian tersebut, yang mana di dalamnya berkait dengan hak-hak rakyat Palestin, orang-orang Islam dan bangsa Arab. Sesungguhnya pada perjanjian tersebut, pengaruh dan kesan yang sangat besar, antaranya yang paling penting mengisytiharkan al-Quds sebagai ibu negara penjajah (Yahudi), seterusnya sekaligus mengiktiraf negara penjajah Yahudi dan lain-lain.

Beliau juga menegaskan bahawa Washington yang akan memperoleh manfaat perjanjian itu. Pertamanya, dari sudut sokongan ekonomi. Dan keduanya, dari sudut sokongan negara penjajah tersebut. Oleh itu, wajib ke atas pemerintah negara-negara Islam dan bangsa Arab, khususnya negara teluk supaya berpegang dengan apa yang telah menjadi pegangan bangsa-bangsanya. Juga bersama dengan pelan perjalanan bangsa Arab serta Islam dan bersama dengan isu-isu umat Islam. Juga bersama perkara-perkara yang telah tetap di dalam Islam.

Beliau menambah lagi, bangsa-bangsa Arab dan orang – orang Islam bersama dalam isu Palestin. Akan tetapi, ada berlaku perpecahan dalam kalangan bangsa Arab serta sebahagian pemerintah negara Arab dan Islam yang mana mereka memilih untuk bersama dengan entiti Zionis.

Menurut beliau, perpecahan ini tidak memberi sebarang kebaikan kepada umat sama ada dalam kalangan bangsa Arab mahupun orang Islam kerana ia akan membawa kepada keadaan kucar kacir dan porak peranda. Sepatutnya, seorang pemimpin ataupun raja ataupun pemerintah bersama (berpegang) dengan perkara-perkara yang telah tetap di dalam agama.[11]

 

Menjawab Donald Trump Dengan al-Quran dan al-Hadis

Kami tertarik dengan satu ucapan oleh ahli parlimen Jordan, Dr. Mohammad Nouh al-Qudah berkenaan Masjid al-Aqsa dan Palestin.[12] Beliau menukilkan kata-kata Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat dan seterusnya memberi jawapan balas dengan memetik ayat-ayat al-Quran dan juga hadis Nabi SAW. Kami kongsikan di sini sebahagian dari ucapannya.

Trump berkata, “al-Quds adalah milik kami.”

Manakala, Allah SWT berfirman:

فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الْآخِرَةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا

Maksudnya: Apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.[13]

Surah al-Isra’ (7)

Trump berkata, “Sesungguhnya pasukanku telah bekerja siang dan malam untuk merealisasikan kesepakatan ini.”

Sebaliknya, Nabi SAW bersabda:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ

Maksudnya: “Akan selalu ada sekumpulan dari umatku yang akan terus mempertahankan kebenaran, dan mampu mengalahkan musuh-musuh mereka. Tidak akan membahayakan mereka orang-orang yang menyelisihi mereka kecuali hanya sekadar kesulitan hidup yang menimpa mereka, sehingga tiba ketetapan Allah SWT, dan mereka tetap berada dalam keadaan itu. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah! Di manakah kumpulan itu?” Rasulullah SAW bersabda: “Di Bait al-Maqdis dan sekitar Bait al-Maqdis.”[14]

Riwayat Ahmad (22320)

Trump berkata, “Kepentingan penduduk setempat adalah alasan kami melakukan perkara ini. Justeru, mereka hendaklah menerimanya.”

Sebaliknya, Nabi SAW bersabda:

لَوْ لَمْ يَبْقَ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ يَوْمٌ لَطَوَّلَ اللَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ حَتَّى يَبْعَثَ فِيهِ رَجُلاً مِنِّي

‏Maksudnya: “Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya dengan satu hari, nescaya Allah SWT akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalanganku..”[15]

Riwayat Abu Daud (4282) dan al-Tirmizi (2231)

Nabi SAW turut bersabda:

لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي يُقَاتِلُونَ عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ عَلَى مَنْ نَاوَأَهُمْ ، حَتَّى يُقَاتِلَ آخِرُهُمُ الْمَسِيحَ الدَّجَّالَ

Maksudnya: “Akan senantiasa ada sekumpulan dari umatku yang berperang di atas kebenaran dan menang melawan orang yang memerangi mereka sampai generasi terakhir mereka akan berperang melawan al-Masih al-Dajjal.”[16]

Riwayat Abu Daud (2484) dan Ahmad (19920)

Nabi SAW bersabda lagi:

لا تَقُومُ السَّاعَةُ حتَّى يُقاتِلَ المُسْلِمُونَ اليَهُودَ، فَيَقْتُلُهُمُ المُسْلِمُونَ حتَّى يَخْتَبِئَ اليَهُودِيُّ مِن وراءِ الحَجَرِ والشَّجَرِ، فيَقولُ الحَجَرُ أوِ الشَّجَرُ: يا مُسْلِمُ يا عَبْدَ اللهِ هذا يَهُودِيٌّ خَلْفِي، فَتَعالَ فاقْتُلْهُ،

Maksudnya: Tidak akan terjadi hari kiamat, sehingga kaum Muslimin memerangi Yahudi. Orang-orang Islam membunuh Yahudi sehingga Yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pohon. Namun batu atau pohon berkata, “Wahai Muslim, wahai hamba Allah, inilah Yahudi di belakangku. Kemarilah dan bunuhlah dia..”[17]

Riwayat al-Bukhari (2926) dan Muslim (2922)

Trump berkata, “Orang Arab mesti berhenti dan meminta maaf atas peperangan yang mereka cetuskan.”

Sebaliknya, Allah SWT berfirman:

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”[18]

Surah Ali Imran (169)

Pilihannya adalah, sama ada kita akan dibunuh dengan kata-kata Trump,

Atau kita akan dihidupkan dengan firman Allah SWT dan sabda Nabi-Nya!

 

Cadangan

Dalam menyatakan kebersamaan kita bersama rakyat Palestin, di samping menyokong resolusi yang telah dikeluarkan, kami cadangkan seperti berikut:

  • Menganjurkan Solat Subuh berjemaah secara beramai-ramai di satu dataran atau tanah lapang yang sesuai. Ini bertujuan menzahirkan diri kita sebagai hamba Allah yang patuh kepada perintah-Nya. Di Masjidil Aqsa sekarang, sedang digerakkan kempen solat Subuh berjemaah sehingga solat tersebut telah dihadiri lebih ramai daripada bilangan jemaah ketika solat Jumaat. Solidariti ummah untuk Masjidil Aqsa dan al-Quds menjadi amat tinggi dan hebat.

Justeru, alangkah baiknya kita gerakkan kesatuan ummah dengan melaksanakan solat Subuh berjemaah. Ini akan meningkatkan lagi semangat juang ummah di samping memohon kepada-Nya. Inilah yang dilakukan oleh Sultan Muhammad al-Fateh dalam peristiwa pembukaan Kota Konstantinopel.

  • Khutbah Jumaat diisi dengan membicarakan isu Palestin, hadis-hadis berkenan Bait al-Maqdis dan peranan kita dalam mempertahankan bumi berkat ini. Berita terkini dan isu jenayah terhadap umat Islam Palestin perlu diwar-warkan dari semasa ke semasa. Begitu juga meniupkan kecaknaan masyarakat terhadap isu ini. Ini juga selaras dengan Resolusi al-Azhar yang diputuskan pada 2018 yang lalu.

 

Penutup

Isu Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa sentiasa menjadi hangat dan penting dalam jantung hati umat. Mudah-mudahan, dengan terwujudnya keamanan di sana, maka amanlah dunia sepertimana yang dinyatakan oleh ramai tokoh.

Isu kezaliman dan kebejatan Zionis sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Justeru, kesepaduan umat perlu digerakkan dan digembleng dengan penuh kesungguhan. Buah fikiran disertai tindakan yang benar-benar menunjukkan kesatuan sudah pasti akan menatijahkan kejayaan yang cemerlang.

Kami berdoa semoga Palestin dapat tegak sebagai sebuah negara yang berdaulat. Begitu juga Masjidil Aqsa terbebas daripada cengkaman regim Zionis Yahudi.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar bumi Palestin merdeka dari sebarang campur tangan asing. Pada saat yang sama, rakyat Palestin yang ditindas, dizalimi dan dipenjara terbebas serta selamat daripada bencana dan tragedi tersebut. Kami menutup dengan doa:

اللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا فِي فِلَسْطِين، اللّهُمّ ثَبِّتْ أَقْدَامَهُم، اللّهُمَّ قَوِّي عَزَائِمَهُمْ، اللَّهُمَّ صَبِّرْهُم عَلَى مُصِيْبَتِهِم، اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ شُهَدَاءَهُمْ

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ، رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

 

Nota Hujung:

[1] Liga Parlimen Al-Quds ialah gabungan ahli Parlimen seluruh dunia yang menyokong Al-Quds. Ia adalah satu kumpulan bebas antarabangsa yang ditubuhkan pada 2015 bertujuan untuk mengaktifkan peranan anggota parlimen dalam menyokong hak asasi manusia Palestin mengikut undang-undang antarabangsa. Ia terdiri daripada 700 ahli parlimen daripada 70 negara pada 2018. Sehingga kini (Februari 2020), dicatatkan kira-kira 3,000 ahli Parlimen sudah menandatangani ikrar Al-Quds/Baitulmaqdis. (Dipetik dari laporan dalam portal Berita Harian bertajuk Pelan damai Trump hanya tindas Palestin – PM)

[2] Pelan Damai ini merujuk kepada dokumen bertajuk Peace to Prosperity (Keamanan Menuju Kemakmuran) setebal 81 halaman yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Ia pada hakikatnya adalah bertujuan untuk memadamkan tuntutan rakyat Palestin dan melenyapkan negara Palestin dari peta dunia. Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu seperti cuba merasuah penduduk Palestin untuk meninggalkan perjuangan membebaskan tanah air mereka dan melupakan cita-cita untuk mendirikan negara Palestin berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

Mereka menjanjikan kemakmuran kononnya dengan menawarkan suntikan dana bagi membangunkan infrastruktur, mewujudkan rangkaian perdagangan bebas dengan Gaza sebagai pelabuhan antarabangsa di bawah kedaulatan Israel atau lebih tepat di bawah penindasan sistem aparteid Israel. Di bawah tawaran itu, AS dan Israel secara sepihak mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel; sementara rakyat Palestin ditawarkan satu tempat tidak jelas kedudukannya di luar Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Lihat tulisan bertajuk Pelan damai Trump cubaan hapus Palestin oleh Dr Hafidzi Mohd Noor pada 4 Februari 2020. [https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/653599/umat-islam-berarak-tolak-deal-century]

[3] Lihat laporan bertajuk Pelan damai Trump hanya tindas Palestin – PM dalam portal Berita Harian Online pada 8 Februari 2020. [https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/653731/pelan-damai-trump-hanya-tindas-palestin-pm]

[4] Lihat laporan ‘Deal of the Century' tak dapat diterima, tak adil: Dr Mahathir dalam portal Bernama pada 8 Februari 2020. [https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1812433] Lihat juga portal Sinar Harian dengan tajuk yang sama pada tarikh 8 Februari 2020. [https://www.sinarharian.com.my/article/69223/BERITA/Nasional/Deal-of-The-Century-tak-dapat-diterima-tak-adil-Dr-Mahathir]

[5] Lihat laporan ‘Deal of the Century' tak dapat diterima, tak adil: Dr Mahathir dalam portal Bernama pada 8 Februari 2020.

[6] Lihat laporan bertajuk Pelan damai Trump hanya tindas Palestin – PM dalam portal Berita Harian Online pada 8 Februari 2020.

[7] Lihat laporan bertajuk 'Isu Palestin bukan soal agama' - Dr Mahathir dalam portal Berita Harian Online.

[8] Lihat 'Deal of the Century' tak adil dalam My Metro bertarikh 8 Februari 2020. Lihat juga laporan bertajuk 'Isu Palestin bukan soal agama' - Dr Mahathir dalam portal Berita Harian Online.

[9] Lihat Ahli Parlimen 40 negara kutuk 'Deal of the Century' dalam portal Berita Harian Online pada 9 Februari 2020 [https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/654150/ahli-parlimen-40-negara-kutuk-deal-century]

[10] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=tgbSG3oEJxw. Minit 15:12 hingga 15:42. Lihat juga Cairo 24, bertajuk Ulasan awal daripada Syeikh al-Azhar berkenaan ‘Perjanjian Abad Ini’, https://www.cairo24.com/2020/01/28/أول تعليق من شيخ الأزهر بشأن صفقة القرن/. Lihat juga CNN, https://arabic.cnn.com/middle-east/article/2020/01/29/azhar-remarks-us-israel-social-reactions. Telah diakses pada 12 Februari 2020.

[11] Lihat al-Syarq, bertajuk Kesatuan Ulama Islam Sedunia memberi amaran mengenai propaganda ‘Perjanjian Kurun Ini’. Bertarikh 17 November 2018 di Anatolia-Istanbul. https://al-sharq.com/article/17/11/2018/ اتحاد-العلماء-يحذر-من-تداعيات-صفقة-القرن . Telah diakses pada 12 Februari 2020.

[12] Lihat video yang dimuatnaik di facebook beliau, Dr. Mohammad Nouh د. محمد نوح (https://www.facebook.com/DrMNouh/) pada 2 Februari 2020 [https://www.facebook.com/DrMNouh/videos/195037928365343/]

[13] Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut: Ayat ini antaranya mengajarkan akan kebenaran berita Allah SWT tentang Bani Israel bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan kemaksiatan. Hal ini kerana Allah dengan ilmu-Nya yang azali mengetahui bahawa Bani Israel adalah para pelaku penyimpangan, kerosakan dan kehancuran. Maksud dari kerosakan di sini adalah menyalahi hukum-hukum Taurat.

Beliau seterusnya menyebut: Orang-orang Yahudi pada kali pertama dihukum melalui Nebuchadnezzar II, dan pada kali kedua dihukum melalui Raja Babylon; Birdus dari Parsi atau Kaisar Rom. Pada kali pertama, mereka telah membunuh Ermiya atau Sya’ya, - keduanya nabi Allah – serta mencederakan dan memenjarakan mereka berdua. Pada kali kedua, mereka membunuh Nabi Yahya dan Nabi Zakariya. Keduanya dibunuh oleh Hirdus atau saudari perempuan salah seorang raja Bani Israel. Mereka juga berusaha untuk membunuh Nabi Isa AS. Hukuman yang ditimpakan kepada kedua keadaan itu sangat berat, di antaranya adalah terbakarnya Taurat dan hancurnya Baitul Maqdis. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 8/48)

[14] Al-'Aini menyebut: "Al-aknaf (الأكناف) bermaksud berhampiran atau berdekatan" (Lihat Umdah al-Qari, 25/48)

[15] Imam al-Munawi menyebut: “Beliau memimpin selama 7 tahun. Dalam satu riwayat ada tambahan, 8 tahun atau 9 tahun.” (Lihat Faidh al-Qadir, 6/278)

[16] Al-Khattabi berkata: Di dalamnya terkandung bahawa jihad tidak akan terputus selamanya. (Lihat Ma'alim al-Sunan, 2/236)

[17] Dalam lafaz penuh hadis ini menyebut bahawa hanya pohon Gharqad yang tidak memberitahu kerana ia dari pohon Yahudi. Imam al-Nawawi menjelaskan: Al-Gharqad adalah sejenis pohon liar berduri yang diketahui umum di bumi Bait al-Maqdis. Di sanalah akan berlakunya peperangan dan pembunuhan al-Dajjal dan al-Yahud. (Lihat al-Minhaj, 18/45)

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: Merekalah yang akan membunuh Zionis Yahudi dan pembebas Palestin. Merekalah Muslim hakiki yang bukan orang Jordan, orang Syria, orang Palestin dan orang Arab, tetapi mereka berlepas diri dari sebarang bentuk alamat. Hanya yang tinggal alamat mereka ialah Muslim sahaja. (Lihat Dars al-Nakbah al-Thaniah, hlm. 89)

Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi menyebut: Telah banyak hadis yang menunjukkan bahawa akan sampai pada satu masa, golongan Yahudi akan memiliki kekuatan dan menguasai Palestin serta kedatangan Dajjal yang memimpin kekuatan ini. Mereka akan berhimpun di suatu tempat dan kemudian orang Islam akan mengalahkan mereka. Para ulama’ sejak 13 kurun lalu – selepas mengkaji hadis-hadis dalam kitab al-Fitan wa al-Malahim – telah yakin dan percaya bahawa tempoh zaman yang panjang ini juga menunjukkan orang Yahudi menjadi begitu hina dan berselerak di muka bumi. Kemudian mereka mula berfikir untuk mendirikan tanah watan Yahudi dan negara haram Israel. Hal ini sudah berlaku sehingga mengiyakan penyudah berdasarkan kepada mukjizat Nabawiyyah. (Lihat al-Muslimun wa Qadiyyah Filistin, hlm. 206)

[18] Ibn Kathir menjelaskan ayat ini, katanya: Allah SWT memberitahu berkenaan keadaan orang-orang yang mati syahid bahawa mereka itu meskipun telah mati di dunia ini, namun ruh mereka tetap hidup dan mendapat rezeki di akhirat. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 2/180)

Ibnu Qayyim berkata: “Allah SWT telah mengkhabarkan kepada kita berkenaan perihal orang yang syahid bahawa mereka hidup di sisi Tuhan dengan mendapat rezeki, mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara mereka) orang-orang (Islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal di belakang yang belum sampai kepada mereka, mereka juga bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnianya. Kesemua ini menunjukkan bahawa mereka bertemu melalui 3 perkara tersebut." Terang beliau lagi: “Lafaz Istibsyar pada bahasa membawa maksud saling mengkhabarkan antara satu sama lain seperti يتباشرون”  (Lihat Kitab al-Ruh, hlm. 18)