اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-304: PERBEZAAN ANTARA KRITIKAN DAN CELAAN DALAM WACANA ILMU

PERBEZAAN_ANTARA_KRITIKAN_DAN_CELAAN_DALAM_WACANA_ILMU.jpg

 

Mukadimah

Fenomena berbalas kritikan dalam wacana ilmu telah menjadi kebiasaan dan lumrah dalam kalangan ulama. Hal ini kerana, setiap individu mempunyai cara fikir dan sudut pandang yang berbeza dalam sesuatu permasalahan. Bahkan, terkadang kritikan berlaku apabila wujudnya penambahbaikan, teguran atau membantah sesuatu pandangan mahupun kenyataan yang dikeluarkan oleh seseorang ulama yang lain. Justeru kritikan seperti ini merupakan salah satu tradisi yang sering berlaku dalam kalangan ulama dan sangat membantu dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan hukum secara tuntas dan teliti.

Budaya kritikan ilmiah ini sehingga ke hari ini masih berlaku dalam kalangan ahli ilmu di seluruh dunia. Namun jangan menunggang budaya kritikan ilmiah ini dengan tujuan menghina dan mencela orang lain kerana merasakan dirinya saja yang memahami dan pakar dalam sesuatu permasalahan agama. Oleh itu, penting untuk membezakan antara kritikan ilmiah dan penghinaan atau celaan terhadap pandangan seseorang tokoh mahupun individu tertentu.

Hakikat Perbezaan Pandangan

Pada hari ini, media sosial menjadi ejen sebaran maklumat yang utama dalam pelbagai bidang. Oleh itu, masyarakat sering terdedah dengan perbezaan pandangan yang berlaku dalam kalangan tokoh dan ilmuan. Setiap individu boleh berbeza pandangan kerana apabila wujud satu pandangan maka akan muncul pandangan-pandangan yang lain. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Syafie, kata beliau:

الرأي إذا كان تفرق فيه

Maksudnya: Sekiranya muncul satu pandangan maka akan muncul pandangan-pandangan yang lain.[1]

Kemudian, apabila wujud perbezaan pandangan maka akan wujud pula kritikan antara dua pihak yang berbeza pandangan tidak kira dalam apa bidang keilmuan sekalipun. Namun perbezaan bukanlah satu alasan untuk umat Islam berpecah belah apatah lagi bergaduh dan menghina sehingga tidak bertegur antara satu sama lain.

Dalam hal ini, ramai ulama mengarang buku yang menyeru kepada perpaduan dalam berbeza pandangan seperti Imam Ibn Taimiyyah menulis satu risalah khusus bertajuk Risalah al-Ulfah Baina al-Muslimin wa Fiha Amr al-Islam bi al-Tawahhud wa al-I’tilaf wa Hazruhu al-Tanazuʻ wa al-Tafarruq ‘Inda al-Ikhtilaf. Dalam risalahnya, beliau sering menekankan tentang kepentingan perpaduan sesama umat Islam dan perbezaan bukanlah sebab untuk berpecah belah dan saling berbalah.[2]

Selain itu, Syeikh Taha Jabir al-‘Alwani turut mengarang bukunya Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam demi menjelaskan kepada masyarakat Islam pentingnya menjaga adab ketika mengkritik saat berbeza pandangan dan mengekalkan perpaduan umat Islam. Hal ini kerana, menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk menjaga persaudaraan serta menyatukan barisan kaum muslimin daripada perpecahan.[3]

Perbezaan Kritikan Ilmiah dan Celaan dalam Wacana Ilmu

Kritikan Bukan Tujuan Menjatuhkan

Kritikan ilmiah adalah perkara yang sering berlaku dalam kalangan ilmuan Islam semenjak dahulu lagi. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan sesuatu kritikan itu berlaku antaranya ialah wujud kesilapan dalam memahami nas atau tidak bersetuju dengan pandangan seseorang ilmuan yang dikritik.

Kritikan seharusnya bertujuan untuk membina dan memperbaiki, bukan untuk merendahkan atau menjatuhkan maruah individu lain. Jika diperhatikan budaya kritikan ulama dahulu maka didapati bahawa ia dilontarkan dengan cara yang berhemah dan tidak menjatuh atau merendahkan orang yang berbeza pandangan dengannya. Contohnya, Imam al-Syafiʻi yang berbahas dengan Imam Muhammad bin al-Hasan tentang sesuatu isu. Imam al-Syafiʻi pernah menyebutkan, “pada suatu hari, aku berbincang dengan Imam Muhammad bin al-Hasan dan kami berbeza pendapat, sehingga aku lihat peluh memancar di lehernya dan terputus butang bajunya.”[4] Lalu Imam Muhammad bin al-Hasan berkata, kalaulah ada orang yang menyalahi pendapat kami, maka orang yang paling teguh pendapatnya dalam pandangan kami ialah al-Syafiʻi. Hal ini kerana, keterangan dan keteguhannya dalam bersoal jawab dan beliau amat teliti.[5]

Begitulah adab ulama walaupun mereka berbalas kritikan dalam sesuatu perkara tapi dalam masa yang sama mereka tidak menghina apatah lagi mencela individu yang berbeza pandangan dengan mereka. Budaya kritik dalam wacana ilmu pada hari ini sangat gersang dengan adab dan akhlak seperti yang dicontohkan oleh ulama silam. Lebih menyedihkan setiap kritikan itu turut mengundang komentar daripada orang awam yang amatlah jauh daripada pengetahuan tentang sesuatu perbahasan yang dibincangkan.

Setiap individu tidak kira daripada mana-mana aliran perlu mengembalikan perbicangan sesuatu perbahasan ilmiah kepada tempatnya yang sepatutnya. Jika perbahasan isu yang ingin dibahaskan tersebut bersifat mendalam dan kompleks maka sebaiknya tidaklah diwacanakan secara terbuka kerana perkara tersebut lebih mendatangkan banyak mafsadah daripada maslahah dalam kalangan masyarakat awam. Perlu diketahui bahawa tidak semua perbahasan ilmiah atau isu yang kompleks sesuai untuk diwacanakan secara terbuka dan meluas khususnya di media sosial.

Sikap Mencela adalah Dilarang

Islam sangat menggalakkan umatnya untuk sentiasa mengucapkan perkataan-perkataan yang baik kepada saudaranya sama ada muslim atau bukan Islam. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran, firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah SWT, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh.”

(Surah Fussilat: 33)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ‎﴿١١﴾‏

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka merekalah orang yang zalim.”

Surah al-Hujurat (11)

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟‏‏ قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ‏.‏ قَالَ:‏ ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ.‏ قِيلَ أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ؟ قَالَ: إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ، فَقَدِ اغْتَبْتَهُ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ

Maksudnya: Apakah kamu tahu apa itu ghibah? Para sahabat menjawab: Allah SWT dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Engkau menyebut tentang hal saudara kamu yang dia tidak sukai.” Baginda SAW ditanya lagi: Bagaimana pendapatmu jika apa yang ada pada saudaraku sesuai dengan apa yang aku bicarakan? Baginda SAW menjawab: Jika apa yang engkau katakan itu memang benar maka engkau telah melakukan ghibah, namun jika perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan fitnah.”[6]

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa ghibah membawa makna menyebut hal-hal yang tidak disukai oleh seseorang ketika dia tidak ada.[7] Perkara yang tidak disukai itu mencakupi segala perkara yang dibenci sama ada berkaitan dengan agama mahupun masalah duniawi seperti harta, fizikal, keluarga, anak dan pakaian. Ini menunjukkan betapa luasnya konsep ghibah dan pentingnya menjaga lidah.

Oleh itu, tidak salah untuk melakukan kritikan terhadap pandangan orang lain namun jangan sampai mencela atau menghina. Hal ini kerana, sifat mencela merupakan perbuatan yang sangat dilarang dan dianggap sebagai akhlak yang buruk. Islam menekankan pentingnya menjaga lidah dan adab dalam berinteraksi dengan orang lain serta menganjurkan umatnya menjauhkan diri mereka daripada sikap suka mencela orang lain, ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ المُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الفَاحِشِ وَلَا البَذِيءِ

Maksudnya: “Seorang mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar.”[8]

(Riwayat al-Tirmizi)

Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyebutkan dalam kitabnya al-Farq Baina al-Nasihah wa al-Taʻyir, “Sekiranya tujuan seorang pengkritik itu sekadar untuk menampakkan kekurangan orang yang dikritiknya, merendahkan tarafnya, menjelaskan kebodohan dan kekurangan ilmunya dan seumpama dengannya maka hukumnya adalah haram. Tidak kira sama ada dia mengkritik dihadapan orang itu ataupun melakukan dibelakangnya, sama ada dibuat ketika dia masih hidup atau setelah orang yang dikritik itu telah pun meninggal dunia”.[9]

Kesimpulan

  1. Islam tidak pernah melarang umatnya untuk saling berbalas kritikan ilmiah tetapi yang dilarang adalah perkara mencela dan menghina.
  2. Ambillah pengajaran daripada kisah imam-imam terdahulu, meskipun mereka berbeza pandangan dan sering berbalas kritikan tetapi mereka masih menjaga adab bahkan tawaduk serta Ikhlas antara satu sama lain.
  3. Justeru mesti dibezakan antara kritikan dan celaan kerana kritikan bertujuan untuk membina dan memperbaiki, bukan untuk merendahkan atau menjatuhkan maruah individu lain, manakala celaan adalah sebaliknya.

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Muhammad bin Idris al-Syafiʻi, al-Umm (Beirut: Dar al-Maʻrifah, 1990), jld. 7: hlm. 293.

[2] Ibn Taimiyyah, Risalah al-Ulfah Baina al-Muslimin wa Fiha Amr al-Islam bi al-Tawahhud wa al-I’tilaf wa Hazruhu al-Tanazuʻ wa al-Tafarruq ‘Inda al-Ikhtilaf, ed. ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (Beirut: Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah, 1999), hlm. 23-32.

[3] Taha Jabri Fayyad al-Alwani, Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam, terj. Muhammad Rivai Batubara (Putrajaya: JAKIM dan ABIM, 2023), hlm. 157.

[4] Ibid., hlm. 120.

[5] Ibid.

[6] Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t.), hadis no. 2589, jld. 4: hlm. 2001.

[7] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1392), jld. 16: hlm. 142.

والغيبة ذِكْرُ الْإِنْسَانِ فِي غَيْبَتِهِ بِمَا يَكْرَهُ

[8] Muhammad bin ‘Isa bin Sawrah al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, ed. Ibrahim ‘Atuwwah ‘Aud (Mesir: Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1975), hadis no. 1977, jld. 4: hlm. 350.

[9] Ibn Rajab al-Hanbali, al-Farq Baina al-Nasihah wa al-Taʻyir, ed. ‘Ali Hasan ‘Ali ‘Abd al-Hamid (Amman: Dar Amman, 1988), hlm. 13.

وأما إذا كان مرادُ الرادِّ بذلك إظهارَ عيب من ردَّ عليه وتنقصَه وتبيينَ جهله وقصوره في العلم ونحو ذلك كان محرماً سواء كان ردُّه لذلك في وجه من ردِّ عليه أو في غيبته وسواء كان في حياته أو بعد موته