اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-332: ROBLOX: KEBEBASAN DIGITAL MESTI TERIKAT DENGAN KESELAMATAN GENERASI MUDA MALAYSIA

ROBLOX_-_KEBEBASAN_DIGITAL_MESTI_TERIKAT_DENGAN_KESELAMATAN_GENERASI_MUDA_MALAYSIA.jpg

PENDAHULUAN

Platform permainan dalam talian seperti Roblox kini menjadi kegilaan ramai. Populariti ini mencetuskan perbahasan besar dalam negara. Ia adalah konflik antara kebebasan digital dengan keselamatan fizikal, moral dan psikologi generasi muda. Masalah ini menjadi perhatian serius selepas laporan mengenai insiden kekerasan. Kekerasan yang berlaku didakwa berpunca daripada obsesi permainan. Terdapat juga risiko kanak-kanak terdedah kepada kandungan negatif dan ancaman jenayah siber.

Demografi menunjukkan risiko ini amat nyata. Statistik menunjukkan kira-kira 40% daripada pengguna aktif harian Roblox (DAU) adalah kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.[1] Data ini mengesahkan platform tersebut beroperasi dengan majoriti pengguna yang belum mencapai usia matang untuk menapis kandungan secara efektif. Data ini mengesahkan platform tersebut beroperasi dengan majoriti pengguna yang belum mencapai usia matang untuk menapis kandungan secara efektif.

Pihak berkuasa telah memberi perhatian serius termasuk mengeluarkan amaran keras dan mempertimbangkan sekatan seperti yang berlaku di negara jiran. Terdapat perbezaan pandangan sama ada perlu melarang segera atau menilai permainan ini terlebih dahulu, walaupun begitu keutamaan tetap tidak berubah kerana keselamatan generasi muda mesti diutamakan. Isu ini memerlukan panduan yang jelas agar kebebasan berinteraksi dalam talian dapat dinilai semula mengikut syarak dengan perlindungan generasi muda sebagai matlamat utama selaras dengan maqasid syariah.

MEMPERBAIKI NERACA KEBEBASAN DIGITAL DEMI PERLINDUNGAN AKAL DAN MORAL

Penilaian terhadap isu ini bermula dengan asas bahawa Islam menuntut untuk memperbaiki neraca kebebasan (islah mizan al-hurriyah). Kebebasan tidak boleh dianggap sebagai mutlak tetapi terikat dengan tanggungjawab (al-Masuliyah).[2] Dalil asas yang mengharamkan kemudaratan dalam Islam adalah firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.

Surah al-Baqarah (2)

Menurut al-Tabari, larangan Allah SWT bersifat menyeluruh dan tidak dikhususkan kepada satu aspek sahaja. Allah SWT melarang manusia mencampakkan diri kepada segala yang membawa kebinasaan termasuk azab akibat meninggalkan kewajipan fardu. Oleh yang demikian, seseorang tidak dibenarkan terlibat dalam perkara yang dibenci Allah. Setiap bentuk keterlibatan seperti itu menjadikan dirinya layak menerima azab-Nya.[3]

Kandungan yang dihasilkan oleh pengguna platform permainan digital termasuk simulasi kekerasan, tembak-menembak atau kata-kata kesat berpotensi menjejaskan perkembangan akal kanak-kanak yang belum matang. Kawalan dan penyaringan kandungan digital penting untuk memastikan pemeliharaan mizan iaitu minda yang sihat dan fikiran yang bernas untuk membezakan benar daripada batil.[4] Langkah ini juga menjaga maqasid diri dan akal (hifz al-nafs) serta membentuk moral generasi muda yang terpelihara. Langkah ini selaras dengan prinsip menutup jalan kepada keburukan (sadd al-dhari‘ah) yang menekankan pencegahan awal terhadap semua bentuk kerosakan akal dan akhlak.

Ancaman lain termasuk perjudian dalam talian yang tersembunyi dalam permainan digital boleh menyebabkan ketagihan, kerugian harta dan kelalaian dalam tanggungjawab agama. Kebebasan tanpa kawalan membuka ruang kepada maksiat dan kemudaratan. Justeru itu, pengekangan kandungan berbahaya perlu dilaksanakan bagi memelihara agama dan harta (hifz al-din dan hifz al-mal), sekaligus memastikan maqasid tadayyun dan nilai pengabdian (ta‘abbud) terpelihara. Langkah ini penting untuk menjamin ekosistem digital yang selamat, sihat dan beretika bagi seluruh pengguna.

ANCAMAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN GENERASI MUDA MELANGGAR AMANAH ZURIAT

Selaras dengan prinsip maqasid syariah, keselamatan dan kesejahteraan generasi muda mesti dipelihara bagi memastikan pemeliharaan nyawa, akal dan keturunan. Tanggungjawab ini memerlukan usaha menjaga mereka dalam persekitaran yang selamat, sihat dan beretika serta membantu membentuk masyarakat yang sejahtera dan generasi yang bertanggungjawab. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala).

Surah at-Tahrim (6)

Ayat ini seperti dihuraikan oleh al-Zuhaili menegaskan kewajipan orang beriman untuk memelihara diri dan keluarga daripada api neraka yang digambarkan sebagai bentuk kebinasaan paling dahsyat. Tanggungjawab ini dipenuhi melalui pematuhan terhadap perintah Allah SWT penghindaran daripada larangan-Nya serta pelaksanaan proses pendidikan, bimbingan dan pencegahan maksiat secara berterusan dalam kalangan ahli keluarga. Usaha yang konsisten ini bertujuan mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam kebinasaan tersebut.[5]

Kebebasan digital yang tidak terkawal seperti dalam platform Roblox menimbulkan ancaman nyata terhadap keselamatan dan kesihatan generasi muda. Ketagihan permainan boleh menyebabkan anak malas bergerak, terganggu tidur dan menjejaskan pembelajaran. Dalam kes yang lebih serius, ketagihan yang mencapai tahap memerlukan rawatan pemulihan memberi tekanan fizikal dan mental, sekaligus mengancam hifz al-nafs iaitu pemeliharaan nyawa dan kesihatan.

Selain itu, ketiadaan kawalan umur membuka ruang kepada risiko pedofilia, jenayah digital dan aktiviti siber lain yang merbahaya. Ancaman ini jelas melanggar hifz al-nasl, tanggungjawab menjaga zuriat dan menuntut penjaga untuk bertindak proaktif bagi menghalang kemudaratan. Jenayah siber yang mensasarkan kanak-kanak adalah satu bentuk kezaliman yang mesti dicegah demi menegakkan keadilan dan keselamatan.

Maqasid Sunnah menekankan perlunya mengangkat rahmat, menegakkan keadilan dan memperbaiki kerosakan dalam semua neraca.[6] Dalam konteks ancaman digital terhadap generasi muda, prinsip ini menuntut agar semua usaha melindungi mereka dilakukan dengan penuh rahmat, menegakkan keadilan dan membetulkan kerosakan yang berlaku, selaras dengan maqasid ‘umran yang menekankan pembangunan masyarakat yang selamat, sihat dan sejahtera.

PENUTUP

Isu Roblox menunjukkan bahawa kebebasan digital yang tidak terkawal boleh memberi impak negatif kepada kecemerlangan akademik, hubungan keluarga dan keterlibatan mereka dalam masyarakat. Keadaan ini melemahkan maqasid tadayyun dengan mengurangkan nilai keagamaan dalam diri generasi muda. Ia juga menjejaskan maqasid ‘umran dengan membentuk masyarakat yang kurang produktif, kurang berdisiplin dan kurang beretika.

Ibu bapa memainkan peranan kritikal dalam menjaga anak-anak. Mereka mesti mendampingi, memantau penggunaan media dan aplikasi, memberi bimbingan, mencontohi akhlak baik serta menasihati anak dalam setiap aspek kehidupan. Anak-anak perlu diberi ruang untuk membina keyakinan, menetapkan matlamat, memilih rakan yang baik dan mengikuti perkembangan pelajaran melalui komunikasi berterusan dengan sekolah. Pendekatan ini memastikan anak-anak menjadi pengguna teknologi yang bijak dan bertanggungjawab, sekaligus menghindari risiko ketagihan dan kerosakan sosial.

Pihak berkuasa dan kerajaan pula perlu mengambil langkah tegas dengan mengawal platform berisiko tinggi, memantau penggunaan secara berterusan dan bersedia mengambil tindakan termasuk pemblokiran jika berlaku pelanggaran batas. Dasar digital yang bijak, penguatkuasaan efektif dan pengawasan aktif memastikan keselamatan generasi muda sebagai keutamaan. Gabungan tindakan ibu bapa, pihak berkuasa dan dasar negara adalah kunci memastikan keselamatan generasi muda terpelihara dan berdaya menghadapi cabaran dunia moden.

Wallahua'lam 

 

Rujukan:

[1] Takeaway Reality [https://www.takeaway-reality.com/post/roblox-demographics-statistics]

[2] Al-Qaradaghi, Ali Muhyi al-Din, al-Irtiqa’ min Maqasid al-Shari’ah ila al-Manzumah al-Maqasidiyyah, (Istanbul: Dar al-Asalah, 2023), 103. Teks asal:

إصلاح ميزان الحرية:فقد كانت الحرية تقع بين الإفراط والتفريط، فجاء الإسلام فأقرّ حرية المسؤولية

[3] Al-Ṭabarī, Abu Ja‘far Muhammad ibn Jarir, Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Qur’an, (Kaherah: Dar Hajar, 2001), 3: 325. Teks asal:

فإذا كانت هذه المعاني كلُّها يَحْتَمِلُها قولُه: ﴿وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ﴾ ولم يكنِ اللهُ ﷿ خصَّ منها شيئًا دون شيْءٍ، فالصوابُ مِن القولِ في ذلك أن يُقالَ: إنَّ اللهَ تعالى ذكرُه نهى عن الإلقاءِ بأيدِينا لِما فيه هلاكُنا والاستسلامِ للهَلَكَةِ - وهي العذابُ - بتركِ ما لزِمَنا مِن فرائضِه، فغيرُ جائزٍ لأحدٍ منا الدخولُ في شيْءٍ يَكْرَهُه اللهُ منا مما نَسْتَوْجِبُ بدُخولِنا فيه عذابَه، غيرَ أنَّ الأمرَ وإن كان كذلك، فإنَّ الأغلبَ مِن تأويلِ الآيةِ: وأنْفِقُوا أيها المؤمنون في سبيلِ اللهِ، ولا تَتْرُكوا النفقةَ فيها فتَهْلِكُوا باستحقاقِكم بتركِكم ذلك عذابي.

[4] Muhammad Rashid bin Ali Rida, Tafsir al-Quran al-Hakim (Tafsir al-Manar) (Kaherah: al-Hay’ah al-Misriyah al-‘Ammah lil-Kitab, 1990), 3: 133. Teks asal:

وَالْغَزَالِيُّ يُفَسِّرُ الْمِيزَانَ بِالْعَقْلِ الَّذِي يُؤَلِّفُ الْحُجَجَ وَيُمَيِّزُ بَيْنَ الْحَقِّ وَالْبَاطِلِ وَالْعَدْلِ وَالْجَوْرِ وَغَيْرِ ذَلِكَ

[5] Wahbah Al-Zuhaili, Al-Tafsir Al-Munir fi Al-Aqidah wa Al-Syariah wa Al-Manhaj, Ed. 1 (Dimashq: Dar Al-Fikr; Beirut: Dar Al-Fikr Al-Muasir, 1991), 28: 316. Teks asal:

يا أيها الذين صدّقوا بالله تعالى ورسوله صلى الله عليه وسلم، أدبوا أنفسكم وعلموها، واتخذوا لها وقاية من النار، وحافظوا عليها بفعل ما أمركم به وترك ما نهاكم عنه، وعلّموا أهليكم وأمروهم بطاعة الله وانهوهم عن معاصيه، وانصحوهم وأدبوهم حتى لا تصيروا معهم إلى النار العظيمة الرهيبة التي تتوقد بالناس وبالحجارة، كما يتوقد غيرها بالحطب.

[6] Al-Qaradaghi, Ali Muhyi al-Din, al-Irtiqa’ min Maqasid al-Shari’ah ila al-Manzumah al-Maqasidiyyah, (Istanbul: Dar al-Asalah, 2023), 103. Teks asal:

وكذلك من مقاصد السنة إبراز الرحمة والعدل وبقية القيم الأخلاقية، وتنزيلها على الواقع، ليظهر أمام العالم أن رسول الله ﷺ هو رحمة للعالمين، وأنه قرآن يمشي على الأرض مطبقًا القرآن الكريم في أحكامه وأخلاقه.