اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 565: STATUS HADIS TIGA PENYAKIT LAZIM PADA UMAT NABI MUHAMMAD

STATUS_HADIS_TIGA_PENYAKIT_LAZIM_PADA_UMAT_NABI_MUHAMMAD.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Adakah hadith berikut hadith yang sahih?

“Ada tiga perkara (penyakit) yang lazim ada pada umatku: perasaan takut hal buruk bakal terjadi, dengki dan buruk sangka”. (HR al-Tabarani)

Sekian terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Riwayat al-Tabarani yang menceritakan berkenaan tiga penyakit yang lazim terdapat pada umat Nabi Muhammad SAW sanadnya dihukumkan sebagai daif jiddan kerana terdapat perawi bernama Ismail bin Qais yang dikritik oleh al-Bukhari dan al-Daraqutni sebagai munkar al-hadith.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah SWT dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah SWT sekalian.

Hadis berkenaan tiga penyakit yang lazim berlaku pada umat Nabi Muhammad SAW diriwayatkan oleh Ibn Abi ‘Asim dalam al-Ahad wa al-Mathani.[1] Ismaʻil bin Qais bin Saʻd bin Zaid bin Thabit meriwayatkan bahawa, beliau berkata ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Abi al-Rijal telah meriwayatkan daripada ayahnya, daripada datuknya Harithah bin Nuʻman RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda:

‌ثَلَاثٌ ‌لَازِمَاتٌ لِأُمَّتِي: الطِّيَرَةُ، وَالْحَسَدُ، وَسُوءُ الظَّنِّ ". فَقَالَ رَجُلٌ: فَمَا يُذْهِبُهُنَّ يَا رَسُولَ اللهِ مِمَّنْ كُنَّ فِيهِ؟ قَالَ: إِذَا حَسَدْتَ فَاسْتَغْفِرْ، وَإِذَا ظَنَنْتَ فَلَا تَحَقَّقْ، وَإِذَا تَطَيَّرْتَ فَامْضِهِ

Maksudnya: “Tiga penyakit yang lazim terdapat pada umatku: menganggap sial, dengki dan buruk sangka. Lalu seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah yang boleh menghilangkannya?” Baginda SAW menjawab: Apabila kamu merasa dengki maka beristighfarlah kepada Allah SWT, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu dan apabila kamu menganggap sial telah berlaku, maka abaikan dan jangan endahkannya.”

(Riwayat Ibn Abi ‘Asim)

Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Muʻjam al-Kabir juga dengan jalur sama iaitu daripada Ismaʻil bin Qais.[2] Antara ulama hadis yang memberikan komentar terhadap hadis ini ialah al-Bukhari dan al-Daraqutni yang mengkritik perawi dalam sanad hadis ini iaitu Ismaʻil bin Qais sebagai munkar al-hadith.[3] Manakala, Ibn ‘Adi pula menyebut umumnya hadis-hadis yang beliau riwayatkan adalah munkar (periwayatan perawi daif yang bertentangan dengan periwayatan perawi thiqah).[4] Selain itu, al-‘Iraqi menyebutkan bahawa sanad hadis ini adalah daif.[5] Beliau juga menyebutkan sebab kedaifan itu kerana terdapat perawi yang bernama Ismaʻil bin Qais al-Ansari merupakan seorang yang daif.[6] Justeru sanad bagi hadis ini dihukumkan sebagai daif jiddan kerana terdapat perawi yang dinilai munkar al-hadith.

Namun hadis ini mempunyai sokongan daripada jalur Yahya bin al-Sakan yang diriwayatkan dalam Syuʻab al-Iman oleh al-Baihaqi.[7] Walaupun begitu sanad hadis ini juga dihukumkan daif oleh Mukhtar Ahmad al-Nadwi.[8] Hal ini kerana, Yahya bin al-Sakan dikritik oleh Abu Hatim al-Razi sebagai laysa bi al-qawi dan seorang perawi yang daif.[9] Oleh itu, sanad bagi hadis ini adalah daif.

Kesimpulan

Hasil penelitian mendapati bahawa riwayat al-Tabarani yang menceritakan berkenaan tiga penyakit yang lazim terdapat pada umat Nabi Muhammad SAW sanadnya daif jiddan kerana terdapat perawi bernama Ismail bin Qais yang dikritik oleh al-Bukhari dan al-Daraqutni sebagai munkar al-hadith.

Wallahuaʻlam.

Rujukan:

[1] Abu Bakr bin Abi ‘Asim, al-Ahad wa al-Mathani, ed. Basim Faisal Ahmad al-Jawabirah (Riyad: Dar al-Rayah, 1991), jld. 4: hlm. 17.

[2] Abu al-Qasim al-Tabarani, al-Muʻjam al-Kabir, ed. Hamdi ‘Abd al-Majid al-Salafi (Kaherah: Maktabah Ibn Taimiyyah, 1994), hadis no. 3227, jld. 3: hlm. 228.

[3] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Lisan al-Mizan, ed. ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (Beirut: Dar al-Basyair al-Islamiyyah, 2002), jld. 2: hlm. 160.

قال البخاري والدارقطني: منكر الحديث

[4] Ibid.

ثم قال ابن عَدِي: وعامة ما يرويه منكر، انتهى

[5] Al-Iraqi et al., Takhrij Ahadith Ihya’ ‘Ulum al-Din, ed. Abi ‘Abdillah Mahmud bin Muhammad al-Haddad (Riyad: Dar al-‘Asimah, 1987), jld. 4: hlm. 1759.

رواه الطبراني من حديث حارثة بن النعمان بسند ضعيف

[6] Ibid.

قلت: لفظ الطبراني في الكبير ثلاث لازمات لأمتي سوء الظن والحسد والطيرة فإذا فإذا ظننت فلا تحقق وإذا حسدت فاستغفر الله تعالى وإذا تطيرت فامض وفي سنده إسماعيل بن قيس الأنصاري وهو ضعيف

[7] Abu Bakr al-Baihaqi, Syuʻab al-Iman, ed. Mukhtar Ahmad al-Nadwi (Riyad: Maktabah al-Rusyd, 2003), jld. 2: hlm. 401.

[8] Ibid., jld. 2: hlm. 400.

إسناده: ضعيف

[9] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Lisan al-Mizan, ed. ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah, jld. 8: hlm. 447.

ليس بالقوي. وضعفه صالح جزرة. انتهى