اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA #251 : TAUBAT BERULANG-ULANG KALI

Taubat.jpg

 

Soalan

Seseorang bertaubat atas sesuatu maksiat, kemudian nafsunya kembali menguasai dirinya sehingga dia kembali mengulangi melakukan maksiat. Adakah taubatnya diterima?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Konsep Taubat dalam Islam

Ibn Manzur berkata, taubat ialah kembali kepada Allah daripada dosa, kembali kepada Allah sahaja atau kembali mentaati selepas melakukan dosa, atau memberi maksud kembali daripada dosa. (Lihat Lisan al-Arab, 2/61)

Menurut Kamus Dewan, taubat ialah sesal akan dosa (perbuatan jahat dan lain-lain) dan berazam tidak akan berbuat dosa (jahat) lagi, perasaan tidak senang (rasa kesal) kerana telah melakukan kesalahan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Ia juga bermaksud kembali kepada Tuhan (dengan meninggalkan perbuatan -dan lain-lain- yg dilarang dan membuat apa-apa yang disuruh). (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)[1]

Bertaubat daripada dosa hukumnya adalah wajib. Allah SWT berfirman:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

(Surah al-Nur: 31)

Ibn Kathir berkata: Yakni, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu daripada sifat-sifat yang indah dan akhlak-akhlak yang mulia. Tinggalkanlah kebiasaan kaum Jahiliyyah yang memiliki akhlak dan sifat yang tercela, kerana kejayaan hanya dapat dicapai dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/225)

Allah SWT juga berfirman:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu;

(Surah Hud: 3)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, dan aku memerintah kamu untuk memohon keampunan kepada Allah SWT atas dosa-dosa yang telah berlalu serta bertaubat kepada-Nya daripada perbuatan tersebut, dan kamu tetap dan berterusan atas hal yang demikian. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/411)

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadh al-Salihin: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT - yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia - maka syaratnya ada tiga:

  • Menjauhi dan meninggalkan maksiat
  • Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
  • Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah.

Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu):

  • Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 41-42)

 

Hukum Taubat Berulang Kali

Dalam sebuah hadis yang driwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ عَبْدًا أَصَابَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ أَذْنَبْتُ ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَبْتُ ، فَاغْفِرْ لِي ، فَقَالَ رَبُّهُ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَصَابَ ذَنْبًا أَوْ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ ، أَذْنَبْتُ أَوْ أَصَبْتُ آخَرَ ، فَاغْفِرْهُ ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَابَ ذَنْبًا ، قَالَ : قَالَ رَبِّ ، أَصَبْتُ أَوْ قَالَ أَذْنَبْتُ آخَرَ : فَاغْفِرْهُ لِي ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ثَلَاثًا ، فَلْيَعْمَلْ مَا شَاءَ

Maksudnya: Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: “Ya Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diri ku.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”

Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”

Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan-ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku. sebanyak tiga kali. Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki.

Riwayat al-Bukhari (7507)

Imam al-Nawawi berkata: “Hadis ini jelas pada sisi dalalahnya, bahawa walaupun dosa walaupun terulang seratus malah seribu atau lebih, dan dia bertaubat setiap kali daripadanya, maka taubatnya diterima dan gugur dosanya. Meskipun dia bertaubat dari semua (dosa) dengan sekali taubat setelah semua (dosa), maka taubatnya sah.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/128)

Namun, taubat yang dilakukan tersebut hendaklah benar-benar dilakukan dengan sepenuh hati dan perasaan serta merupakan satu keinsafan yang sesungguhnya. Bukan hanya menyebut istighfar semata-mata sedangkan hatinya masih ingin berterusan melakukan maksiat.

Inilah yang disebut oleh al-Imam al-Qurtubi sepertimana dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, beliau berkata: “Hadis (di atas) menunjukkan betapa besarnya faedah istighfar, betapa agungnya kurniaan Allah, betapa luasnya rahmat, kelembutan dan kemurahan Allah. Akan tetapi istigfar ini ialah istighfar dimana hatinya mempunyai niat yang sama dengan apa yang lidah lafazkan untuk meninggalkan maksiat, dan ia disertai dengan rasa penyesalan. Inilah maksud taubat.”

“Ia bermaksud sesiapa yang mengulangi dosa dan taubat, setiap kali terjebak ke dalam dosa dia akan kembali bertaubat. Ia bukan bermaksud sesiapa yang lidahnya memohon ampun kepada Allah, sedangkan hatinya berterusan mahu melakukan maksiat itu.” (Lihat Fath al-Bari, 21/89)

Oleh itu, apabila bertaubat, ia hendaklah dilakukan dengan sepenuh hati dan perasaan. Apabila kemudiannya tergelincir lagi melakukan maksiat, mohonlah keampunan kepada Allah atas ketergelinciran. Jangan merasa berputus asa daripada istighfar.

Seseorang berkata kepada al-Hasan al-Basri: “Apakah salah seorang daripada kita tidak merasa malu kepada Tuhan-Nya. Dia memohon ampun terhadap dosanya kemudian dia mengulangi lagi, memohon ampun kemudian mengulangi lagi?”

Lalu Imam al-Hasan al-Basri berkata: “Syaitan berharap jika dia berjaya menjadikan kamu merasa sedemikian. Maka janganlah jemu daripada istighfar (memohon keampunan).” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 19/26)

Allah SWT juga berfirman:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّـهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّـهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

(Surah Ali Imran: 135)

Ibnu Kathir menyebut, berkenaan firman-Nya, (وَهُمْ يَعْلَمُونَ) “sedang mereka mengetahui,” Mujahid dan ‘Abdullah bin ‘Ubaid bin ‘Umair berkata: “Mereka mengetahui bahawa sesiapa yang bertaubat kepada Allah, nescaya Allah akan menerima taubatnya.” Ayat ini seperti firman-Nya:

أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ هُوَ يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ

Maksudnya: Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dia lah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya,

(Surah Al-Taubah: 104)

Dan juga firman-Nya:

وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّـهَ يَجِدِ اللَّـهَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Nisa’: 110)

 

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, taubat yang dilakukan dengan berulang-ulang serta istighfar yang dilakukan berulang-ulang adalah diterima selagimana tidak terdapat pengulangan dosa setelah bertaubat dan memenuhi syarat taubat yang disebutkan.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

(Surah al-Tahrim: 8)

Ibn Kathir berkata: Iaitu taubat yang sebenarnya dengan tekad yang penuh, yang dapat menghapuskan pelbagai keburukan yang pernah ada sebelumnya, yang akan menyatukan dan mengumpulkan orang yang bertaubat, juga menahan dirinya daripada pelbagai perbuatan hina.

Disebabkan itu, para ulama menyebut: Taubat nasuha adalah bertekad untuk meninggalkan dosa yang akan datang dan menyesali dosa-dosa yang telah lalu, dan kemudian berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengerjakannya kembali pada masa depan. Kemudian, jika dosa tersebut berkait dengan hak manusia, hendaklah dia kembalikan (hak) apa yang telah dia ambil. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/60-61)

Akhir sekali, semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita serta mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Nya.

Untuk maklumat lebih lanjut tentang isu ini, kami pernah menjawabnya dalam Irsyad Al-Fatwa Ke-49: Maksud Taubat Dan Syarat-Syaratnya[2] dan Al-Kafi #651 : Tatacara Solat Sunat Taubat.[3] Bolehlah merujuk pada kedua-duanya.

Wallahua’lam.

[1] http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=taubat

[2] Lihat http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1951-irsyad-fatwa-ke-49-maksud-taubat-dan-syarat-syaratnya

[3] Lihat http://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/725-al-kafi-651-tatacara-solat-sunat-taubat