اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-501: BOLEHKAH WANITA MEMAKAI PAKAIAN PANJANG MELERET ?

 

DRESSSS

 

SOALAN

Saya lihat trend  gaun wanita sengaja direka  panjang meleret atas tuntutan fesyen dan gaya semasa. Kebiasaannya gaun tersebut dipakai pada hari majlis persandingan dan majlis-majlis berprestij. Persoalannya, apakah hukum  wanita memakai pakaian panjang meleret?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Allah SWT memerintahkan hamba-hambaNya untuk memakai pakaian yang menutup aurat. Ini berdasarkan dalil al-Quran :

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ

Maksudnya: Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya

Surah Al-A’raf  (26)

Berdasarkan  ayat di atas, terdapat  tiga jenis pakaian yang disebut oleh Allah SWT iaitu pakaian untuk menutup aurat, pakaian untuk perhiasan dan pakaian takwa.  Perkataan “اللباس” dalam ayat tersebut merujuk pakaian asas (dharuriyah) untuk menutup aurat.  Manakala  “الريش” ialah sesuatu yang dipakai supaya nampak cantik pada luarannya (takmilat).  Sementara,   pakaian  taqwa yang dimaksudkan  secara majazi (kiasan) ialah amal soleh menurut Ibnu Abbas( Lihat. Tafsir al-Quran al-Azim   (3/400). 

Secara umumnya, Islam tidak menetapkan jenama  khusus bagi pakaian individu  muslim. Ini menunjukkan keluasan dalam menggayakan pakaian    mengikut pakaian adat setempat sekalipun berfesyen. Namun, perkara yang perlu dititikberatkan ketika mengayakan pakaian ialah menepati ciri-ciri  pakaian yang menutup aurat dengan sempurna  selain mengikut piawaian yang telah ditentukan syarak.  

Seterusnya, kaum wanita boleh melabuhkan pakaiannya sehasta daripada buku lali  agar tidak tersingkap  aurat  di bahagian tumit  kakinya. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin  Umar RA.anhuma,  sabda Rasullullah SAW :

مَن جرَّ ثوبَهُ خيلاءَ لم ينظُرِ اللَّهُ إليهِ يومَ القيامةِ ، فقالَت أمُّ سَلمةَ كيف يصنع النساء بذيولهن؟  قالَ : يُرخينَ شبرًا ، فقالت : إذًا تنكشفَ أقدامُهُنَّ ، قالَ: فيُرخينَهُ ذراعًا ، لا يزِدنَ علَيهِ 

Maksudnya: Sesiapa yang melabuhkan  pakaiannya kerana kesombongan, Allah SWT tidak melihatnya pada hari kiamat. Maka, Ummu Salamah telah bertanya : Bagaimana  wanita menguruskan bahagian bawah jubahnya? Maka Baginda SAW menjawab: Labuhkan ia sebanyak sejengka. Maka Ummu salamah berkata: Jika masih terlihat di bahagian bawah kaki. Baginda bersabda :“Maka labuhkan sebanyak sehasta dan jangan lebih dari itu”.

Riwayat al-Tirmidzi (1731)

Hadis ini menjelaskan  bahawa kaki wanita adalah aurat (Lihat, Nail al-Authar (301). Sementara,  Ibn Hajar al-Asqalani  ketika mensyarahkan hadis diatas  menyatakan :

حُكْمِ النِّسَاءِ فِي ذَلِكَ لِاحْتِيَاجِهِنَّ إِلَى الْإِسْبَالِ مِنْ أَجْلِ سَتْرِ الْعَوْرَةِ لِأَنَّ جَمِيعَ قَدَمِهَا عَوْرَةٌ فَبَيَّنَ لَهَا أَنَّ

حُكْمَهُنَّ فِي ذَلِكَ خَارِجٌ عَنْ حُكْمِ الرِّجَال  . وَقَدْ نَقَلَ عِيَاضٌ الْإِجْمَاعَ عَلَى أَنَّ الْمَنْعَ فِي حَقِّ الرِّجَالِ دُونَ النِّسَاء

“Wanita perlu melabuhkan kain melebihi buku lali (isbal)  bagi  menutupi  keseluruh kawasan kakinya kerana aurat. Hal ini berbeza hukumnya terhadap  kaum lelaki  yang dilarang melabuhkan kain atau seluar melebihi paras  mata buku lali ( isbal). al-Qadhi  Iyadh telah menukilkan  ijma’ ulama bahawa larangan isbal  hanya khusus bagi kaum lelaki  tidak termasuk  kaum wanita” ( Lihat Fath al-Bari 10/259). Perbahasan lanjut  berkaitan hukum isbal bagi lelaki, rujuk artikel kami pada ruangan Irsyad al-Fatwa siri 205

Bagi menjawab  persoalan yang diajukan berkisar  wanita yang memanjangkan pakaiannya  kerana tuntutan fesyen seperti  gaun pengantin  atau selainnya yang melebihi sehasta. Maka, kami cenderung menyatakan bahawa   wanita hanya dibenarkan melabuhkan pakaiannya sehasta dari buku lali untuk menutupi aurat keseluruhan kakinya berdasarkan hadis yang telah dinyatakan. Namun sekiranya memakai pakaian yang sengaja direka terlalu panjang meleret melebihi sehasta, maka ia merupakan satu bentuk pembaziran dalam berpakaian, apatah lagi disertakan niat untuk  bermegah dengan  mempamerkan  kecantikan secara berlebihan. Islam melarang umatnya melakukan  pembaziran serta sikap bermegah berdasarkan  dalil-dalil berikut:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-A’raf : 31)

Ayat di atas menunjukkan bahawa manusia  perlu bersikap sederhana dalam melakukan sesuatu kerana Allah tidak suka sama sekali mereka yang melampaui batas.  (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 4/2174).   Ayat ini turut menjelaskan bahawa Allah SWT tidak suka  kepada mereka yang  melakukan pembaziran  pada  makanan, minuman dan semua aspek lain (Rujuk Tafsir al-Muyassar 1/154).  Bahkan, Allah menjelaskan bahawa  perbuatan membazir adalah  amalan syaitan berdasarkan firman berikut:

إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوٰنَ ٱلشَّيٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًا 

Maksudnya Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Surah al-Isra’ (27)

Setiap muslim perlu menjauhkan diri daripada perkara yang boleh menyebabkan kesombongan dan  rasa bangga  diri. Hal tersebut berdasarkan dalil dalam al-Quran dan hadis berikut:    

Firman Allah SWT :

وَاللَّـهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Maksudnya“Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”

Surah al-Hadid : (23)

Berlebih-lebihan dalam berpakaian akan dapat menimbulkan rasa  bangga diri dan berlagak  angkuh kepada orang lain. Rasulullah SAW melarang memakai pakaian untuk meraih kemasyhuran. Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ أَلْبَسَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ

Maksudnya“Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.”

Riwayat Ibn Majah (3606)

Maksud pakaian syuhrah  ialah baju yang ketara perbezaannya dengan manusia lain dari sudut warnanya  atau bentuknya yang mampu untuk meraih pandangan manusia lain untuk melihat kearahnya sehingga menimbulkan perasaan ujub dan takbur dalam diri pemakai.  Hadis tersebut turut menunjukkan larangan memakai pakaian syuhrah  (Lihat, Nail al-Authar  (303).

Hal tersebut berbeza bagi mereka yang berkemampuan untuk berpakaian cantik disertakan niat tawadhuk  (rendah diri) kerana ingin menzahirkan  nikmat  kurniaan Allah SWT.  Ini bertepatan dengan sebuah hadis Nabi SAW yang menasihatkan sahabatnya yang kaya dan bersabda:

فَإِذَا آتَاكَ اللَّهُ مَالاً فَلْيُرَ أَثَرُ نِعْمَةِ اللهِ عَلَيْكَ ، وَكَرَامَتِهِ

MaksudnyaJika Allah mengurniakan kepada kamu harta, maka perlihatlah kesan nikmat Allah ke atas kamu dan kemuliaannya.

Riwayat Abu Daud (40)

Penutup

Tuntasnya, setelah meneliti hujah yang dikemukakan, kaum wanita hanya dibenarkan  melabuhkan pakaiannya melebihi  sehasta daripada buku lali bagi tujuan menutup aurat di bahagian kaki. Namun, sekiranya kaum wanita  memakai pakaian yang  direka labuh panjang meleret atas alasan tuntutan fesyen dan gaya semasa, ianya  kelihatan satu bentuk pembaziran dan melambangkan kemegahan. Hal ini, Islam  memberi peringatan  supaya tidak membazir dan bermegah  dalam berpakaian bagi mengelakkan sifat angkuh dan rasa bangga diri terhadap orang lain. Justeru, umat Islam sewajarnya   memilih ciri-ciri pakaian yang  menutup aurat dengan sempurna  disamping mengikut piawaian  yang telah ditetapkan  syarak.

Akhir kalam, semoga pencerahan tersebut dapat memberi kefahaman kepada masyarakat dan marilah berdoa agar  kita dapat menjalankan kehidupan mengikut neraca syariah yang sebenar.

 

[1] https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1789-hukum-isbal-bagi-lelaki