اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 503 : HUKUM MENGIMAMKAN SOLAT DALAM KEADAAN DUDUK DAN MAKMUM MENGIKUT IMAM DALAM KEADAAN BERDIRI

IF503

Soalan :

Assalamualaikum tuan. Saya sakit stroke dan solat guna kerusi. Soalan saya bolehkah saya jadi imam pada anak isteri saya yang mana mereka solat secara normal ? Harap dapat beri jawapan terima kasih.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara umumnya, seseorang yang mempunyai keuzuran untuk berdiri tegak, serta uzur untuk melakukan perbuatan ruku’ dan sujud dalam keadaan biasa, mereka diberikan keringanan untuk melakukannya dalam keadaan duduk. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Imran bin Husain R.A beliau berkata : Aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang solat. Baginda bersabda :

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya :  Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.

Riwayat Al-Bukhari (1066)

Merujuk kepada kitab-kitab fiqh para ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu melaksanakan solat secara duduk.

Berikut kami nyatakan beberapa contohnya :

  • Tidak mampu untuk berdiri.
  • Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
  • Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang berasa khuatir akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
  • Seseorang yang berasa pening kepala.
  • Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.

Ini semua adalah berdasarkan kata-kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah : ‘’Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan (berasa khuatir) kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika melakukan solat secara berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala, maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).

Justeru, berdasarkan beberapa hujahan dan kenyataan di atas dapat disimpulkan bahawa seseorang yang melaksanakan solat secara duduk disebabkan keuzuran maka solatnya adalah sah. Oleh yang demikian, merujuk kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa secara umumnya seseorang yang melaksanakan solat secara duduk adalah dibolehkan untuk menjadi imam solat.

Antara dalil yang menyebutkan hal ini adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mu’minin ‘A’isyah R.Anha beliau berkata :

 اشْتَكَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَدَخَلَ عَلَيْهِ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِهِ يَعُودُونَهُ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم جَالِسًا فَصَلَّوْا بِصَلاَتِهِ قِيَامًا فَأَشَارَ إِلَيْهِمْ أَنِ اجْلِسُوا فَجَلَسُوا فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ‏ إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا

Maksudnya : Rasulullah S.A.W jatuh sakit pada suatu hari maka datanglah ramai dari kalangan sahabat untuk menziarahi baginda. Kemudian Rasulullah S.A.W mendirikan solat dalam keadaan duduk, dan para sahabat mengikut baginda solat dalam keadaan mereka berdiri. Rasulullah S.A.W kemudiaannya memberi isyarat kepada mereka supaya solat secara duduk dan sebaik sahaja baginda selesai solat, baginda berkata : ‘’Sesungguhnya dijadikan imam untuk diikuti, apabila imam rukuk, hendaklah kamu rukuk, dan apabila imam bangun, hendaklah kamu bangun, dan apabila imam solat secara duduk, hendaklah kamu solat secara duduk’’.

Riwayat Muslim (412)

Imam Al-Nawawi ketika mengulas berkenaan isu ini beliau berkata :

قَالَ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ يُسْتَحَبُّ لِلْإِمَامِ إذَا لَمْ يَسْتَطِعْ الْقِيَامَ اسْتِخْلَافُ مَنْ يُصَلِّي بِالْجَمَاعَةِ قَائِمًا كَمَا اسْتَخْلَفَ النَّبِيُّ صلي الله عليه وسلم لان فِيهِ خُرُوجًا مِنْ خِلَافِ مَنْ مَنَعَ الِاقْتِدَاءَ بالقاعد ولان الْقَائِمَ أَكْمَلُ وَأَقْرَبُ إلَى إكْمَالِ هَيْئَاتِ الصَّلَاةِ

Maksudnya : Al-Syafi’e dan ashab (Al-Syafi’eyyah) berpendapat : Disunatkan bagi seorang imam itu apabila dia tidak mampu untuk solat secara berdiri agar menggantikannya dengan seseorang yang boleh solat secara berdiri dari kalangan jemaah sebagaimana Nabi S.A.W menggantikan orang lain untuk memimpin solat. Ini kerana, perbuatan tersebut sebagai keluar dari khilaf mereka yang tidak membenarkan untuk mengikut imam yang duduk. Juga kerana orang yang berdiri itu lebih sempurna dan lebih dekat ke arah menyempurnakan pergerakan-pergerakan solat.

Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/264)

Kemudian beliau berkata lagi :

أَنَّ مَذْهَبَنَا جَوَازُ صَلَاةِ الْقَائِمِ خَلْفَ الْقَاعِدِ الْعَاجِزِ وَأَنَّهُ لَا تَجُوزُ صَلَاتُهُمْ وَرَاءَهُ قُعُودًا

Maksudnya : Sesungguhnya mazhab kami berpendapat bahawa harus (dibolehkan) bagi orang yang solat berdiri untuk solat di belakang imam yang solat secara duduk, dalam keadaan (imam tersebut) tidak mampu (untuk solat berdiri). Juga (kami berpendapat) tidak boleh bagi mereka (orang yang mampu melaksanakan solat secara berdiri untuk) solat secara duduk di belakangnya (imam yang solat duduk).

Para fuqaha’ Al-Syafi’eyyah menyatakan pendapat tersebut dengan berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘A’isyah R.Anha beliau berkata :

لَمَّا مَرِضَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مَرَضَهُ الَّذِي مَاتَ فِيهِ أَتَاهُ بِلاَلٌ يُؤْذِنُهُ بِالصَّلاَةِ فَقَالَ ‏ مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ ‏‏ قُلْتُ إِنَّ أَبَا بَكْرٍ رَجُلٌ أَسِيفٌ، إِنْ يَقُمْ مَقَامَكَ يَبْكِي فَلاَ يَقْدِرُ عَلَى الْقِرَاءَةِ‏.‏ قَالَ ‏ مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ ‏‏ فَقُلْتُ مِثْلَهُ فَقَالَ فِي الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ ‏"‏ إِنَّكُنَّ صَوَاحِبُ يُوسُفَ، مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ ‏ فَصَلَّى وَخَرَجَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُهَادَى بَيْنَ رَجُلَيْنِ، كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ يَخُطُّ بِرِجْلَيْهِ الأَرْضَ، فَلَمَّا رَآهُ أَبُو بَكْرٍ ذَهَبَ يَتَأَخَّرُ، فَأَشَارَ إِلَيْهِ أَنْ صَلِّ، فَتَأَخَّرَ أَبُو بَكْرٍ ـ رضى الله عنه ـ وَقَعَدَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِلَى جَنْبِهِ، وَأَبُو بَكْرٍ يُسْمِعُ النَّاسَ التَّكْبِيرَ

Maksudnya : Ketika Rasulullah S.A.W sakit yang membawa kepada kewafatan baginda, Bilal datang mengajak baginda untuk solat. Kemudian baginda berkata : ‘’Suruhlah Abu Bakr memimpin solat’’. Aku berkata : ‘’Sesungguhnya Abu Bakr adalah seorang lelaki yang bersedih sekiranya dia menggantikan tempat kamu, dia akan menangis serta tidak mampu untuk membaca (bacaan dalam solat). Kemudian baginda berkata lagi : ‘’Perintahkan Abu Bakr untuk memimpin solat’’. Maka aku pun berkata seperti yang sebelum ini. Lalu baginda berkata pada kali yang ketiga atau keempat : ‘’Sesungguhnya kamu adalah sahabat-sahabat kepada Yusuf, perintahkan Abu Bakr untuk solat’’. Kemudian Abu Bakr pun mendirikan solat, dan Nabi S.A.W keluar dengan dipimpin oleh dua orang lelaki, seakan aku melihat baginda mengheret sahaja kedua kaki baginda di atas tanah. Ketika Abu Bakr melihat baginda, beliau mengundur sedikit ke belakang. Rasulullah bagi isyarat agar dia meneruskan solat. Abu Bakr kemudiannya mengundur sedikit ke belakang dan Nabi S.A.W duduk di sisi beliau, dan Abu Bakr memperdengarkan takbir kepada orang ramai (para jemaah solat).

Riwayat Al-Bukhari (712)

Imam Al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah tajuk : ‘’Bab mereka yang memperdengarkan kepada para jemaah solat akan takbir imam’’.

Maka difahami dari feqh Imam Al-Bukhari ini bahawa Abu Bakr dalam situasi ini merupakan seorang makmum kepada Rasulullah S.A.W. Abu Bakr mendirikan solat dalam keadaan berdiri manakala Rasulullah S.A.W solat dalam keadaan duduk.

Begitu juga Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas Sahih Muslim, beliau meletakkan hadis ini di bawa tajuk : ‘’Bab menggantikan imam apabila dia mengalami keuzuran seperti sakit, permusafiran, dan selainnya’’.

Kemudian Imam Al-Nawawi berkata : ‘’Dan sesiapa yang solat di belakang imam yang solat secara duduk disebabkan tidak mampu berdiri, dia dituntut untuk berdiri sekiranya dia mampu. Dan solat secara duduk di belakang imam yang duduk telah dimansukhkan pada hak mereka yang mampu untuk solat secara berdiri’’.

Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (4/135)

Kemudian dalam tempat yang lain Imam Al-Nawawi berkata :

وَيَحْصُلُ الْمَقْصُودُ وَهُوَ أَنَّ صَلَاةَ الْقَادِرِ وَرَاءَ الْقَاعِدِ لَا تَجُوزُ إلَّا قَائِمًا

Maksudnya : Dan tercapailah maksud bahawa solat orang yang mampu (untuk berdiri) di belakang seorang yang (solat) secara duduk adalah tidak dibolehkan melainkan dengan cara (solat) berdiri.

Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/266)

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami menekuni beberapa nas dan hujahan di atas, kami akhiri kenyataan ini dengan beberapa noktah yang berikut :

  • Solat seseorang dalam keadaan duduk disebabkan tidak mampu untuk berdiri adalah sah. Kami telah mengulas isu ini secara panjang lebar dalam Tahqiq Al-Masail Siri Ke-2: Penjelasan Berkaitan Solat Secara Duduk Di Atas Kerusi (Edisi Kemas Kini) yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/3eGIEnB
  • Seseorang yang melaksanakan solat secara duduk boleh menjadi imam. Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, jika situasi keluarga melibatkan seorang ayah yang solat dalam keadaan duduk, dan dua orang lagi adalah isteri dan anak perempuan, maka boleh untuk ayah ini memimpin solat sebagai imam.
  • Meskipun begitu, sekiranya ada lelaki lain dalam keluarga seperti anak lelaki, maka yang lebih afdhal adalah anak lelaki ini yang menjadi imam solat kerana dia mampu untuk mendirikannya secara berdiri.
  • Manakala solat makmum yang mampu berdiri di belakang imam yang duduk, kami katakan bahawa ia dibolehkan dan solat mereka sah. Namun, hendaklah mereka melaksanakan solat secara berdiri kerana mereka mampu untuk berdiri. Wallahu A’lam.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.