اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-872: ADAKAH ORANG YANG MURTAD SEBANYAK TIGA KALI TIDAK AKAN DITERIMA TAUBATNYA?

ADAKAH_ORANG_YANG_MURTAD_SEBANYAK_TIGA_KALI_TIDAK_AKAN_DITERIMA_TAUBATNYA.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum. Saya pernah mendengar ada seorang ustaz di tiktok yang kata kalau dah murtad sebanyak 3 kali maka dia tidak akan diterima lagi taubatnya berdasarkan ayat 137 surah al-Nisa. Saya dan kawan-kawan jadi takut dan putus asa kerana kami ini berkali-kali ada timbul ragu-ragu kepada Tuhan. Saya mohon pihak mufti menjelaskan isu ini.

Ringkasan Jawapan

Syaitan akan sentiasa memberikan keraguan ke dalam hati anak Adam. Setiap muslim perlu berusaha untuk melawan segala hasutan dan waswas yang muncul dalam hati. Rahmat Allah SWT tidak ada batasnya dan seorang Muslim itu dilarang untuk sesekali berputus asa dengan keluasan rahmat Allah SWT. Meskipun seseorang itu melakukan kemurtadan berkali-kali, selagi mana dia bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan berazam tidak mengulangi dosa tersebut sudah tentu Allah akan membukakan pintu taubat kepadanya. Allah SWT sentiasa menerima taubat hambanya selagi mana nyawa belum sampai ke kerongkong. Sabda Nabi SAW:

إنَّ اللهَ يَقبَلُ توبةَ العبدِ ما لم يُغَرْغِرْ

Maksudnya: “Allah SWT menerima taubat hambanya selama nyawanya belum sampai ke kerongkong”

(Riwayat al-Tirmizi)

 

Huraian Jawapan

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat murtad bermaksud orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada melalui perbuatan, perkataan atau niat. Orang yang begitu ialah orang yang kufur. Dalam Irsyad Al-Fatwa Ke-25: Pengertian Murtad kami telah pun membincangkan mengenai maksud murtad dari sudut bahasa dan istilah.

Antara perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu murtad melalui niat adalah seperti berazam akan murtad esok hari. Manakala perasaan ragu-ragu pula merupakan permainan syaitan yang setiap anak Adam wajib berusaha untuk melawannya. Dalam sebuah hadis menyebutkan:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْتِي أَحَدَكُمْ، فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ السَّمَاءَ؟ فَيَقُولُ: اللهُ عَزَّ وَجَلَّ، فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ الْأَرْضَ؟ فَيَقُولُ: اللهُ، فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ اللهَ؟ فَإِذَا أَحَسَّ أَحَدُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ، فَلْيَقُلْ: آمَنْتُ بِاللهِ وَبِرُسُلِهِ.

Maksudnya: “Syaitan datang kepada seorang kamu dan berkata siapa yang menciptakan langit? Siapakah yang menciptakan bumi? Siapakah yang menciptakan bukit bukau dan gunung ganang? Kemudian dia bertanya, siapakah yang menciptakan Allah? Jika ini berlaku katakanlah: Aku beriman kepada dan senyap.”

(Riwayat Muslim)

Menurut Imam al-Nawawi, sesiapa yang mendapati perkara itu hendaklah dia berkata, “Saya beriman kepada Allah.” dan berlindung kepada Allah SWT di samping berpaling dari kebatilan tersebut[1]. Lintasan hati terbahagi kepada dua iaitu lintasan yang bukan berpunca dari syubhah dan keraguan maka ia perlu dilawan sepertimana yang dimaksudkan oleh hadis. Manakala lintasan yang kedua adalah lintasan yang kuat dan tidak boleh dihilangkan melainkan dengan dalil dan hujah.

Berkenaan dengan soalan yang ditanyakan iaitu surah al-Nisa ayat 173 yang mana Allah SWT berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا ثُمَّ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا لَّمْ يَكُنِ اللَّهُ لِيَغْفِرَ لَهُمْ وَلَا لِيَهْدِيَهُمْ سَبِيلًا

Maksudnya:Sesungguhnya orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberikan keampunan kepada mereka dan tidak akan memberi pertunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.”

(Surah al-Nisa’: 137)

Dalam ayat di atas, Allah SWT mendatangkan perkhabaran bahawa orang yang berulang kali murtad dan semakin bertambah kekufurannya mereka tidak akan sesekali mendapat pengampunan dan rahmat Allah SWT. Para ulama berbeza pandangan mengenai makna ayat ini. Dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar terdapat beberapa penjelasan ulama tentang maksud ayat suci tersebut, antaranya:

  1. Syeikh Tahir Ibn Asyur berkata: Ayat tersebut bermaksud orang yang bermudah-mudah mendustakan para rasul dan meleraikan ikatan agama, mereka adalah kaum yang tidak akan diampuni dosa-dosanya karena mereka telah merendahkan Allah dan Rasul-Nya[2].
  2. Imam al-Syaukani berkata: Allah Taala memberitahu kita tentang golongan yang beriman, kemudian kafir, kemudian beriman, kemudian kafir, kemudian bertambah kekafirannya setelah semua itu, bahawa Allah tidak akan mengampuni dosa-dosa mereka dan membawa mereka ke jalan yang mereka yang boleh menyampaikan kepada kebenaran dan berjalan menuju kepada kebaikan. Hal ini kerana sangat jauh dari mereka untuk ikhlas kepada Tuhan dan mempunyai iman yang benar. Keraguan di kalangan mereka yang kadang-kadang mendakwa mereka beriman, dan pada masa lain meninggalkan iman lalu kembali kepada kekufuran, menunjukkan bukti yang kuat bahawa mereka bermain-main dengan agama, mereka tidak mempunyai niat yang baik dan murni[3].
  3. Imam Ibn Kathir berkata: Allah SWT menceritakan tentang seseorang yang masuk ke dalam iman, kemudian berpaling daripadanya, kemudian kembali kepadanya, kemudian kembali, dan berterusan dalam kesesatannya serta bertambah sehingga dia meninggal dunia, maka tidak ada taubat lagi untuknya setelah kematiannya dan Allah SWT tidak akan mengampuninya[4].

Manakala Imam al-Qatadah pula berpandangan bahawa ayat ini ditujukan kepada golongan Yahudi kerana mereka beriman kepada Nabi Musa AS, kemudian mereka kafir sesudah itu dengan menyembah anak lembu, kemudian mereka beriman kepada Taurat, kemudian mereka kafir kepada Nabi Isa AS, kemudian mereka menambah kekafiran mereka kepada Nabi Muhammad[5]. Dakwaan bahawa ayat ini bermaksud orang yang telah melakukan murtad sebanyak tiga kali tidak akan diterima taubatnya adalah tidak tepat.

Syeikh Jamaluddin al-Qasimi dalam tafsirnya menjelaskan:

وليس المعنى أنهم لو أخلصوا الإيمان بعد تكرار الردّة ونصحت توبتهم لم يقبل منهم ولم يغفر لهم، لأنّ ذلك مقبول حيث هو بذل للطاقة واستفراغ للوسع، ولكنه استبعاد له واستغراب وإنه أمر لا يكاد يكون

Maksudnya:Ayat tersebut bukan bermakna jika mereka ikhlas dalam iman mereka selepas berulang kali murtad dan taubat dengan hati yang ikhlas maka taubat mereka tidak akan diterima dan mereka tidak akan diampunkan. Taubat yang dia lakukan pasti akan diterima selagi mana dia bersungguh-sungguh namun ia perkara yang sangat jarang berlaku[6].”

Selagi mana seseorang itu bertaubat dengan bersungguh-sungguh serta menyesali kesalahan yang dilakukan di samping berazam tidak akan mengulanginya pasti taubatnya akan diterima oleh Allah SWT. Hal ini seperti mana disebut oleh Imam Ibn Rajab:

أَنَّ مَنْ تَابَ إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا، وَاجْتَمَعَتْ شُرُوطُ التَّوْبَةِ فِي حَقِّهِ، فَإِنَّهُ يُقْطَعُ بِقَبُولِ اللَّهِ تَوْبَتَهُ، كَمَا يُقْطَعُ بِقَبُولِ إِسْلَامِ الْكَافِرِ إِذَا أَسْلَمَ إِسْلَامًا صَحِيحًا، وَهَذَا قَوْلُ الْجُمْهُورِ، وَكَلَامُ ابْنِ عَبْدِ الْبَرِّ يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ إِجْمَاعٌ

Maksudnya:Sesiapa yang bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha di samping memenuhi semua syarat taubat, maka pasti Allah SWT akan menerima taubatnya sebagaimana boleh dipastikan penerimaan Islam orang kafir yang masuk Islam dengan benar. Inilah pendapat majoriti ulama. Keterangan Ibn Abd al-Bar menunjukkan bahawa perkara tersebut telah menjadi ijmak di kalangan ulama[7].”

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ

Maksudnya“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya).”

(Surah al-Nisa’: 48)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT memberitahu bahawa Dia tidak mengampuni perbuatan syirik dengan maksud Dia tidak mengampuni seseorang hamba Allah yang mati dalam keadaan mensyirikkan Allah SWT. Sebaliknya Allah SWT mengampuni dosa yang selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya daripada kalangan hamba-Nya[8].

Taubat yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas ia pasti diterima Allah. Sekalipun selepas itu dia tergelincir ke dalam dosa yang sama. Sebagai manusia, seseorang itu sudah pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa. Terdapat banyak dalil-dalil yang menyebutkan tentang perkara ini. Di antaranya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: “Semua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.”

(Riwayat Ibn Majah)

Kesimpulan

Syaitan akan sentiasa memberikan keraguan ke dalam hati anak Adam. Setiap muslim perlu berusaha untuk melawan segala hasutan dan waswas yang muncul dalam hati. Rahmat Allah SWT tidak ada batasnya dan seorang Muslim itu dilarang untuk sesekali berputus asa dengan keluasan rahmat Allah SWT. Meskipun seseorang itu melakukan kemurtadan berkali-kali, selagi mana dia bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan berazam tidak mengulangi dosa tersebut sudah tentu Allah SWT akan membukakan pintu taubat seluas-luasnya kepadanya.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:

[1] Yahya bin al-Syaraf al-Nawawi. (t.t). Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, Beirut: Dar Ihya’ al-Thurast al-Arabiy, 2:155

فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَقُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ وَفِي الرِّوَايَةِ الْأُخْرَى فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ فَمَعْنَاهُ الْإِعْرَاضُ عَنْ هَذَا الْخَاطِرِ الْبَاطِلِ وَالِالْتِجَاءُ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى فِي إِذْهَابِهِ ... أَنَّ الْخَوَاطِرَ عَلَى قِسْمَيْنِ فَأَمَّا الَّتِي لَيْسَتْ بِمُسْتَقِرَّةٍ وَلَا اجْتَلَبَتْهَا شُبْهَةٌ طَرَأَتْ فَهِيَ الَّتِي تُدْفَعُ بِالْإِعْرَاضِ عَنْهَا وَعَلَى هَذَا يُحْمَلُ الْحَدِيثُ وَعَلَى مِثْلِهَا يَنْطَلِقُ اسْمُ الْوَسْوَسَةِ فَكَأَنَّهُ لَمَّا كَانَ أَمْرًا طَارِئًا بِغَيْرِ أَصْلٍ دُفِعَ بغير نظر فى دليل اذ لا أَصْلَ لَهُ يُنْظَرُ فِيهِ وَأَمَّا الْخَوَاطِرُ الْمُسْتَقِرَّةُ الَّتِي أَوْجَبَتْهَا الشُّبْهَةُ فَإِنَّهَا لَا تُدْفَعُ إِلَّا بِالِاسْتِدْلَالِ وَالنَّظَرِ فِي إِبْطَالِهَا

[2] Tahir Ibn Asyur. (1984). al-Tahrir wa al-Tanwir, Tunis: al-Dar al-Tunisiyyah li al-Nasyr, 5:321.

ويَكُونُ المُرادُ مِنَ الآيَةِ أنَّ الَّذِينَ عُرِفَ مِن دَأْبِهِمُ الخِفَّةُ إلى تَكْذِيبِ الرُّسُلِ، وإلى خَلْعِ رِبْقَةِ الدِّيانَةِ، هم قَوْمٌ لا يُغْفَرُ لَهم صُنْعُهم، إذْ كانَ ذَلِكَ عَنِ اسْتِخْفافٍ بِاللَّهِ ورُسُلِهِ.

[3] Muhammad bin Ali al-Syaukani. (1414H). Fath al-Qadir, Beirut: Dar Ibn Kathir, 1:606.

أخْبَرَ اللَّهُ سُبْحانَهُ عَنْ هَذِهِ الطّائِفَةِ الَّتِي آمَنَتْ ثُمَّ كَفَرَتْ ثُمَّ آمَنَتْ ثُمَّ كَفَرَتْ ثُمَّ ازْدادَتْ كُفْرًا بَعْدَ ذَلِكَ كُلِّهِ أنَّهُ لَمْ يَكُنِ اللَّهُ سُبْحانَهُ لِيَغْفِرَ لَهم ذُنُوبَهم ولا لِيَهْدِيَهم سَبِيلًا يَتَوَصَّلُونَ بِهِ إلى الحَقِّ ويَسْلُكُونَهُ إلى الخَيْرِ؛ لِأنَّهُ يَبْعُدُ مِنهم كُلَّ البُعْدِ أنْ يُخْلِصُوا لِلَّهِ ويُؤْمِنُوا إيمانًا صَحِيحًا، فَإنَّ هَذا الِاضْطِرابَ مِنهم تارَةً يَدَّعُونَ أنَّهم مُؤْمِنُونَ وتارَةً يَمْرُقُونَ مِنَ الإيمانِ ويَرْجِعُونَ إلى ما هو دَأْبُهم وشَأْنُهم مِنَ الكُفْرِ المُسْتَمِرِّ والجُحُودِ الدّائِمِ يَدُلُّ أبْلَغَ دَلالَةٍ عَلى أنَّهم مُتَلاعِبُونَ بِالدِّينِ لَيْسَتْ لَهم نِيَّةٌ صَحِيحَةٌ ولا قَصْدٌ خالِصٌ،

[4] Ismail bin Umar, Ibn Kathir. (1419H). Tafsir al-Quran al-Azim, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2:384.

يُخْبِرُ تَعَالَى عَمَّنْ دَخَلَ فِي الْإِيمَانِ ثُمَّ رَجَعَ عَنْهُ، ثُمَّ عَادَ فِيهِ ثُمَّ رَجَعَ، وَاسْتَمَرَّ عَلَى ضَلَالِهِ(وَازْدَادَ حَتَّى مَاتَ، فَإِنَّهُ لَا تَوْبَةَ بَعْدَ مَوْتِهِ،

[5] Husain bin Mas’ud al-Baghawi. (1420H). Maalim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran, Beirut: Dar Ihya’ al-Thurast al-Arabiy, 1:713.

قَالَ قَتَادَةُ: هُمُ الْيَهُودُ آمَنُوا بِمُوسَى ثُمَّ كَفَرُوا مِنْ بَعْدُ بِعِبَادَتِهِمُ الْعِجْلَ، ثُمَّ آمَنُوا بِالتَّوْرَاةِ ثُمَّ كَفَرُوا بِعِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ، ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا بِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

[6] Jamaluddin al-Qasimi. (1418H). Mahasin al-Ta’wil, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 3:370.

[7] Ibn Rajab al-Hanbali. (1997). Jami’ al-Ulum wa al-Hikam fi Syarh Khamsin Hadisan min Jawami’ al-Kalim, Beirut: Muassasah al-Risalah, 1:418.

[8] Ismail bin Umar, Ibn Kathir. (1419H). Tafsir al-Quran al-Azim, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2:327.