اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-875: SUSUNAN TERTIB SOLAT KETIKA SOLAT JAMAK

SUSUNAN_TERTIB_SOLAT_KETIKA_SOLAT_JAMAK.jpg

 

SOALAN:

Telah berlaku perselisihan dalam keluarga kami pada ketika hendak melaksanakan solat jamak takhir. Ada yang kata perlu solat Maghrib dulu, kemudian baru Isyak. Ada yang kata Isyak dulu, lepas tu baru Maghrib. Macam mana yang sepatutnya ya? Mohon pencerahan. Tq

RINGKASAN JAWAPAN:

Susunan tertib solat di dalam solat jamak takhir adalah merupakan perkara sunat. Justeru, seseorang yang ingin melaksanakan solat secara jamak takhir bolehlah memilih untuk memulakan solat dengan mana-mana solat, sama ada Solat waktu yang pertama ataupun waktu yang kedua.

 

HURAIAN JAWAPAN:

Solat secara jamak adalah merupakan salah satu daripada rukhsah (keringanan) yang diberikan oleh syarak dalam ibadah solat. Solat secara jamak bermaksud seseorang itu menghimpunkan dua solat di dalam satu waktu, sama ada menghimpunkan antara solat zohor dan solat asar, atau antara solat maghrib dan solat isyak.

Solat secara jamak boleh berlaku dalam dua bentuk, sama ada dilaksanakan pada waktu pertama, ataupun dilakukan pada waktu kedua. solat jamak yang dilakukan pada waktu pertama diistilahkan sebagai jamak taqdim (تقديم), manakala solat jamak yang dilakukan pada waktu kedua pula diistilahkan sebagai jamak takhir (تأخير).

Rasulullah SAW sendiri juga pernah melaksanakan solat secara jamak dalam kedua-dua bentuk, sama ada jamak secara taqdim mahupun secara takhir.Saidina Mu’adh bin Jabal ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah melaksanakan solat jamak taqdim pada ketika peperangan Tabuk seperti berikut:

وإذا ارْتَحَلَ بعدَ زَيغِ الشَّمسِ، عَجَّلَ العصرَ إلى الظُّهرِ ، وصلَّى الظُّهرِ والعصْرَ جميعًا ، ثُم سارَ . وكانَ إذا ارْتَحَلَ قَبلَ المغرِبِ ، أخَّرَ المغرِبَ حتى يُصلِّيها مع العِشاءِ ، وإذا ارْتَحَلَ بعدَ المغرِبِ عَجَّلَ العِشاءَ فصلَّاها مع المغرِبِ

Terjemahan: “Pada ketika Baginda bergerak selepas gelincir matahari, Baginda menyegerakan solat asar kepada solat zohor, dan menunaikan solat zohor dan asar bersama-sama. pada ketika baginda bergerak selepas maghrib, baginda akan menyegerakan solat isyak lalu baginda menunaikan solat isyak bersama-sama dengan solat maghrib ”.

[Riwayat al-Tirmizi]

Begitu juga Rasulullah SAW pernah melaksanakan solat secara jamak takhir, seperti yang diriwayatkan oleh Saidina Anas bin Malik:

كانَ النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ إذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ أنْ تَزِيغَ الشَّمْسُ أخَّرَ الظُّهْرَ إلى وقْتِ العَصْرِ، ثُمَّ يَجْمَعُ بيْنَهُمَا

Terjemahan: “Pada ketika Rasulullah SAW bergerak sebelum gelincir matahari, Baginda melewatkan zohor sehingga masuknya waktu asar, kemudian Baginda menghimpunkan antara kedua-duanya”.

[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Oleh kerana "solat jamak" dikerjakan dengan menghimpunkan dua waktu solat, maka persoalan yang timbul ialah apakah tertib susunan antara kedua-dua solat tersebut? Solat manakah yang perlu didirikan terlebih dahulu?

Jawapan bagi permasalahan yang disebutkan di atas adalah berbeza antara solat jamak taqdim dan juga solat jamak takhir, seperti yang akan dibincangkan dengan terperinci di dalam artikel ini.

Tertib Solat Jamak Ketika Solat Jamak Taqdim

Bagi mereka yang ingin melaksanakan solat jamak secara taqdim, maka disyaratkan ke atasnya untuk melaksanakan solat mengikut susunan tertib. Misalnya seseorang yang ingin menghimpunkan solat zohor dan solat asar pada waktu zohor secara jamak taqdim, dia mestilah menunaikan solat zohor terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan solat asar.

al-Shiekh Sa'id Muhammad Ba 'Ali menjelaskan perkara ini seperti berikut:[1]

البداية بالأولى؛ إذ الوقت لها، والثانية تبع لها، والتابع لا يتقدم على المتبوع.

Terjemahan: "(disyaratkan) untuk memulakan dengan solat waktu pertama, kerana waktu tersebut adalah bagi waktu Solat pertama, dan waktu Solat kedua hanyalah mengikutnya. Sesuatu yang mengikuti tidak boleh mendahului apa yang diikuti".

Berdasarkan penjelasan di atas, persyaratan tertib susunan ketika jamak taqdim ini adalah kerana solat waktu kedua (solat asar atau solat isyak) adalah mengikuti solat waktu pertama (solat zohor atau solat maghrib). Justeru, disyaratkan untuk diselesaikan terlebih dahulu solat waktu pertama, barulah diikuti berikutnya dengan solat waktu kedua.

Tertib Solat Jamak Ketika Solat Jamak Takhir

Berbeza dengan solat jamak taqdim, solat jamak takhir pula tidak disyaratkan mestilah mengikut tertib susunan waktu-waktu solat. Misalnya seseorang yang ingin menghimpunkan solat zohor dan solat asar pada waktu asar secara jamak takhir, dia bolehlah memilih sama ada untuk menunaikan solat zohor terlebih dahulu, ataupun boleh juga untuk memulakannya dengan solat asar.

Penjelasan di atas disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Shirbiniy:[2]

(وَإِذَا أَخَّرَ) الصَّلَاةَ (الْأُولَى) إلَى وَقْتِ الثَّانِيَةِ (لَمْ يَجِبْ التَّرْتِيبُ) بَيْنَهُمَا

Terjemahan: “Jika dia melewatkan (jamak takhir) solat yang pertama kepada waktu yang kedua, maka tidak wajib untuk mengikut susunan antara kedua-duanya”.

Hal ini demikian kerana, di dalam pelaksanaan solat secara jamak takhir, waktu solat itu adalah secara asalnya waktu bagi solat kedua (iaitu sama ada waktu asar atau waktu zohor). Justeru, tidak disyaratkan mesti melaksanakan solat waktu pertama terlebih dahulu kerana solat waktu kedua ini bukanlah mengikuti solat waktu pertama.[3]

Sungguhpun begitu, namun digalakkan (mustahabb) bagi mereka yang ingin melaksanakan solat jamak secara takhir untuk melaksanakannya mengikut susunan tertib waktu solat. Walau bagaimanapun, jika solat jamak takhir dilakukan tanpa mengikut susunan tertib sekalipun, kedua-dua solat itu tetap sah. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Shirazi:[4]

وأما الترتيب فليس بواجب لأن وقت الثانية وقت الأولى فجاز البداية بما شاء منهما وأما التتابع فلا يجب لأن الأولى مع الثانية كصلاة فائتة مع صلاة حاضرة فجاز التفريق بينهما

Terjemahan: “Ada pun susunan tertib, maka ia bukanlah sesuatu yang wajib kerana waktu yang kedua itu juga adalah waktu (untuk menunaikan) solat yang kedua. Justeru, dibolehkan untuk memulakan dengan mana-mana solat. Begitu juga tidak diwajibkan untuk berterusan (antara kedua-dua solat) kerana hubungan antara solat yang pertama dan kedua itu hanyalah seperti solat yang telah lepas waktunya dan solat waktu sekarang, maka dibolehkan untuk dipisahkan antara kedua-duanya”.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian di dalam artikel ini, perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:

  1. Tertib susunan antara kedua-dua solat ketika solat jamak hanya diwajibkan ketika solat jamak taqdim sahaja.
  1. Seseorang yang ingin melaksanakan solat secara jamak takhir boleh memilih sama ada hendak memulakan solat dengan solat waktu yang pertama, ataupun hendak memulakannya dengan solat waktu kedua.
  1. Hukum memulakan solat jamak takhir dengan solat waktu pertama adalah sunat.

WaLlāhu A’lam

 

Rujukan: 

[1] Sa'id Muhammad Ba 'Ishin (2004). Bushra al-Karim bi Sharh Masail al-Ta’lim. Jeddah: Dar al-Minhaj li al-Nashr wa al-Tawzi’, 377-378.

[2] Shams al-Din Muhammad al-Khatib al-Shirbiniy (1994), Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifah Ma'ani al-Minhaj, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1:532.

[3] Ibid.

أَمَّا عَدَمُ التَّرْتِيبِ فَلِأَنَّ الْوَقْتَ لِلثَّانِيَةِ فَلَا تُجْعَلُ تَابِعَةً

[4] Abu Ishaq al-Shirazi (1431H). Al-Muhadhdhab fi fiqh al-Imam al-Shafi'i. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1:197.