اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-879: MUSTAHADAH GOLONGAN KELIMA: MUTAHAYYIRAH MUTLAQAH

MUSTAHADAH_GOLONGAN_KELIMA_-_MUTAHAYYIRAH_MUTLAQAH.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Saya pernah didatangi haid pada bulan-bulan sebelum ini tetapi tidak pernah membuat catatan. Pada bulan terkini, darah datang melebihi 15 hari sehingga tempoh sebulan, namun saya tidak boleh membezakan yang mana satu haid atau istihadah. Bolehkah SS Datuk Mufti memberikan pencerahan berkenaan hal ini?

Ringkasan jawapan:

Mutahayyirah mutlaqah merupakan wanita yang pernah didatangi haid dan suci, namun darah yang datang pada bulan terkini melebihi tempoh maksimum haid (15 hari 15 malam). Mereka tidak mengingati adat (kebiasaan) haid bulan sebelumnya dari segi bilangan hari dan waktunya, serta tidak mampu membezakan sifat darah sama ada kuat atau lemah. Oleh itu, hukumnya adalah mereka perlu mengambil langkah berhati-hati pada setiap ibadat yang dilakukan kerana ibadat golongan mutahayyirah tidak sama seperti ibadat wanita istihadah yang lain. Mereka dianggap sebagai wanita haid pada sebahagian ibadat dan juga dianggap sebagai wanita suci pada sebahagian ibadat yang lain.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Dalam mazhab al-Syafi’i, golongan mutahayyirah mutlaqah adalah mereka yang pernah didatangi haid dan suci pada bulan sebelumnya, tidak mampu membezakan sifat-sifat darah serta tidak mengingati bilangan hari haid dan waktu keluarnya sama ada pada awal, pertengahan atau akhir bulan. [1]

Menurut para ulama mazhab Syafi’i, golongan ini disebut sebagai muhayyirah(kebingungan) kerana permasalahan mereka bukan sahaja membingungkan diri sendiri bahkan turut membingungkan orang yang perlu mengeluarkan hukum kepada mereka. Situasi seperti ini kadang-kadang boleh terjadi disebabkan kelalaian, tidak membuat catatan, sakit berpanjangan yang mengganggu ingatan, gila atau sebagainya.[2]

Hukum bagi golongan ini adalah mereka wajib berhati-hati (ihtiyat) dalam melakukan ibadat pada setiap waktu keluarnya darah, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:

متحيرة بأن نسيت عادتها قدرا ووقتا ففي قول كمبتدأة والمشهور وجوب الاحتياط

Maksudnya: “Mutahayyirah iaitu wanita yang lupa adat (kebiasaan) haidnya dari segi kadar dan waktu. Berdasarkan satu pendapat (qaul Syafi’i), hukumnya adalah seperti hukum wanita yang pertama kali didatangi haid. Manakala menurut pendapat yang muktamad, (wanita mutahayyirah) wajib berhati-hati”.[3]

Imam Ibn Hajar menyatakan bahawa setiap waktu tersebut mempunyai kemungkinan berlakunya haid, suci dan terputus darah. Hal ini kerana, tidak mungkin sepanjang tempoh tersebut mereka dihukumkan suci selama-lamanya sedangkan ada darah yang masih keluar atau dihukumkan haid selama-lamanya. Maka, wanita berkenaan perlu berhati-hati kerana keadaan darurat yang berlaku. Hukum bagi golongan ini terbahagi kepada dua iaitu hukum wanita haid pada sebahagian ibadat dan hukum wanita suci pada sebahagian ibadat yang lain sepertimana berikut: [4]

  1. Haram melakukan persetubuhan dengan suami atau mengambil keseronokan antara pusat hingga lutut. Namun, kewajipan nafkah terhadap isteri masih lagi tertanggung oleh suami.[5]
  2. Haram menetap dan melewati masjid kecuali untuk tujuan iktikaf, tawaf atau solat sama ada solat fardu atau solat sunat, bahkan mereka juga wajib memastikan bahawa keberadaannya itu tidak akan mencemar dan mengotorkan kawasan masjid. Syeikh Khatib al-Syirbini bersetuju dengan pandangan yang membenarkan wanita mutahayyirah solat di dalam masjid. Manakala Imam Syamsudddin al-Ramli berpandangan sebaliknya di mana beliau menyatakan wanita mutahayyirah tidak boleh melakukan solat di dalam masjid kerana pada hakikatnya solat itu tetap sah jika ia dilakukan di luar masjid.[6]
  3. Haram menyentuh dan membawa mushaf al-Quran.
  4. Haram membaca al-Quran selain daripada waktu solat.
  5. Wajib melakukan solat fardu pada setiap waktu walaupun solat nazar. Solat jenazah juga boleh dilakukan oleh wanita mutahayyirah sepertimana dinyatakan oleh al-Isnawi. Begitu juga sunat melakukan solat-solat sunat yang lain seperti solat sunat rawatib menurut pendapat yang kuat dalam mazhab.
  6. Wajib berpuasa di bulan Ramadan sepertimana puasa wanita mutahayyirah. Tatacara berpuasa boleh dirujuk pada pautan artikel berikut: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-ramadhan/5234-irsyad-al-fatwa-edisi-khas-ramadan-siri-ke-199-kaedah-puasa-bagi-wanita-kebingungan-mutahayyirah-mutlaqah
  7. Wanita mutahayyirah boleh melakukan tawaf sama ada tawaf sunat atau wajib.
  8. Sah talak yang dilafazkan oleh suami kepada isteri semasa tempoh darah keluar.
  9. Wajib mandi junub setiap kali hendak solat fardu dan ia dilakukan setelah masuknya waktu solat. Begitu juga, dia wajib berwuduk apabila telah masuk waktu solat fardu kerana ada kemungkinan darah berhenti pada setiap waktu. Kewajipan ini adalah sekiranya wanita itu tidak mengingati kemungkinan waktu berhenti darah pada bulan lepas. Adapun jika dia mengingati kemungkinan waktu berhenti darah pada bulan lepas, maka dia diwajibkan mandi sehari sekali sahaja pada waktu darah itu berhenti. Contohnya, wanita mengingati darah berhenti pada waktu maghrib bulan sebelumnya, maka dia diwajibkan mandi junub pada waktu maghrib sahaja. Manakala, memadai bagi baki solat fardu yang lain dengan wuduk sahaja.[7]

Pandangan muktamad mazhab Syafi’i mewajibkan golongan mutahayyirah mutlaqah mandi junub pada setiap waktu solat. Namun, terdapat keharusan untuk beramal dengan pandangan kedua dalam mazhab yang menetapkan hukum mutahayyirah mutlaqah sama seperti mubtadaah. Pengamalan pandangan kedua dianggap lebih sesuai dan kurang membebankan terutama bagi wanita bekerjaya yang tidak memungkinkan dirinya untuk mandi wajib setiap waktu di pejabat. Biarpun begitu, digalakkan agar mengambil pandangan muktamad sebagai satu pendekatan yang lebih berhati-hati dan galakan keluar daripada khilaf.

Justeru, berikut merupakan contoh-contoh gambaran permasalahan mutahayyirah mutlaqah:

  • Wanita keluar darah selama 30 hari berturut-turut dan warna darah yang dilihat adalah sama iaitu merah. Dia juga tidak mengingati bilangan hari haid bulan sebelumnya bahkan lupa akan waktu permulaan darahnya.

Screenshot_2025-01-02_085657.png

  • Wanita keluar darah secara berterusan melebihi 15 hari. Dia melihat darah keluar dengan berbagai warna iaitu hari pertama darah berwarna hitam, diikuti darah merah selama 14 hari dan kemudiannya berakhir dengan darah hitam secara berterusan melebihi 15 hari. Wanita tersebut adalah wanita yang berkerja dan merasa terbeban untuk melakukan mandi wajib pada setiap kali solat fardu.

Screenshot_2025-01-02_090002.png

Kesimpulan

  1. Gambaran kelima dalam permasalahan wanita istihadah adalah golongan      mutahayyirah mutlaqah. Mereka merupakan wanita yang pernah didatangi haid dan suci, namun darah yang datang pada bulan terkini melebihi tempoh maksimum haid. Mereka juga tidak mengingati kebiasaan haid bulan sebelumnya dari segi bilangan hari dan waktunya, serta tidak mampu membuat perbezaan pada sifat-sifat darah.
  2. Hukum bagi golongan ini adalah dengan mengambil pendekatan berhati-hati pada setiap ibadat yang dilakukan. Mereka dihukumkan sebagai wanita haid pada sebahagian ibadat dan juga dihukumkan sebagai wanita suci pada sebahagian ibadat yang lain.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Hassan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff. Al-Taqrirat al-Sadidah fi Masail al-Mufidah. (Hadramaut: Dar al-Mirath al-Nabawi, 2003). Hlmn 169.

معتادة غير مميزة ناسية لعادتها قدرا ووقتا

[2] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Qaherah: Idarah al-Taba’ah al-Munirah, 1344 H). Jld 2. Hlm 435.

وَاتَّفَقَ أَصْحَابُنَا الْمُتَقَدِّمُونَ وَالْمُتَأَخِّرُونَ عَلَى أَنَّ نَاسِيَةَ الْوَقْتِ وَالْعَدَدِ تُسَمَّى مُتَحَيِّرَةً قَالَ الدَّارِمِيُّ وَالْقَاضِي حُسَيْنٌ وَغَيْرُهُمَا وَتُسَمَّى أَيْضًا مُحَيِّرَةً بِكَسْرِ الْيَاءِ لِأَنَّهَا تُحَيِّرُ الْفَقِيهَ فِي أَمْرِهَا وَلَا يُطْلَقُ اسْمُ الْمُتَحَيِّرَةِ إلَّا عَلَى مَنْ نَسِيَتْ عَادَتَهَا قَدْرًا وَوَقْتًا وَلَا تَمْيِيزَ لَهَا......  ثُمَّ إنَّ النِّسْيَانَ قَدْ يَحْصُلُ بِغَفْلَةٍ أَوْ إهْمَالٍ أَوْ عِلَّةٍ مُتَطَاوِلَةٍ لِمَرَضٍ وَنَحْوِهِ أَوْ لِجُنُونٍ وَغَيْرِ ذَلِكَ

[3] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf. Minhaj al-Talibin wa Umdat al-Muftin fi al-Fiqh. (t.p: Dar al-Fikr, 2005). Hlm 20.

[4] Ibn Hajar al-Haitami, Ahmad Ibn Muhammad. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1983). Jld 1. Hlm 407.

(وَالْمَشْهُورُ وُجُوبُ الِاحْتِيَاطِ) الْآتِي؛ لِأَنَّ كُلَّ زَمَنٍ يَمُرُّ عَلَيْهَا مُحْتَمِلٌ لِلْحَيْضِ وَالطُّهْرِ وَالِانْقِطَاعِ وَإِدَامَةُ حُكْمِ الْحَيْضِ عَلَيْهَا بَاطِلٌ إجْمَاعًا وَالطُّهْرُ يُنَافِيهِ الدَّمُ وَالتَّبْعِيضُ تَحَكُّمٌ فَاقْتَضَتْ الضَّرُورَةُ الِاحْتِيَاطَ .....(فَيَحْرُمُ) عَلَى حَلِيلِهَا (الْوَطْءُ) وَمُبَاشَرَةُ مَا بَيْنَ سُرَّتِهَا وَرُكْبَتِهَا وَيَحْرُمُ عَلَيْهَا تَمْكِينُهُ لِاحْتِمَالِ الْحَيْضِ لَا طَلَاقُهَا لِأَنَّ عِلَّةَ تَحْرِيمِهِ مِنْ تَطْوِيلِ الْعِدَّةِ لَا يَتَأَتَّى هُنَا لِمَا تَقَرَّرَ فِي عِدَّتِهَا وَعَلَى زَوْجِهَا مُؤَنُهَا وَلَا خِيَارَ لَهُ؛ لِأَنَّ وَطْأَهَا مُتَوَقَّعٌ (وَمَسُّ الْمُصْحَفِ) وَالْمُكْثُ بِالْمَسْجِدِ إلَّا لِصَلَاةٍ أَوْ طَوَافٍ أَوْ اعْتِكَافٍ، وَلَوْ نَفْلًا (وَالْقِرَاءَةُ فِي غَيْرِ الصَّلَاةِ) ، .....

(وَتُصَلِّي) وُجُوبًا (الْفَرَائِضَ) وَلَوْ مَنْذُورَةً، وَكَذَا صَلَاةُ الْجِنَازَةِ كَمَا بَحَثَهُ الْإِسْنَوِيُّ (أَبَدًا) لِاحْتِمَالِ الطُّهْرِ (وَكَذَا النَّفَلُ) الرَّاتِبُ وَغَيْرُهُ (فِي الْأَصَحِّ) نَدْبًا؛...(وَتَصُومُ رَمَضَانَ) لِاحْتِمَالِ أَنَّهَا طَاهِرٌ جَمِيعَهُ

[5] Syihabuddin al-Ramli, Muhammad Ibn Abi al-Abbas. Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). Jld 1. Hlm 347.

وَيَسْتَمِرُّ وُجُوبُ نَفَقَتِهَا وَكُسْوَتِهَا عَلَى زَوْجِهَا، وَلَا خِيَارَ لَهُ فِي فَسْخِ نِكَاحِهَا لِأَنَّ وَطْأَهَا مُتَوَقَّعٌ

[6] Ibn Hajar al-Haitami, Ahmad Ibn Muhammad. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1983). Jld 1. Hlm 408.

(قَوْلُهُ إلَّا لِصَلَاةٍ) وِفَاقًا لِلْمُغْنِي وَخِلَافًا لِلنِّهَايَةِ عِبَارَتُهُ وَمَا أَفْهَمَهُ كَلَامُهُ أَيْ الْإِسْنَوِيِّ فِي الْمُهِمَّاتِ مِنْ جَوَازِ دُخُولِهَا لَهُ لِلصَّلَاةِ فَرْضًا أَوْ نَفْلًا رَدَّهُ الْوَالِدُ - رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى - بِمَفْهُومِ كَلَامِ الرَّوْضَةِ مِنْ أَنَّهُ لَا يَجُوزُ لَهَا دُخُولُهُ لِذَلِكَ لِصِحَّةِ الصَّلَاةِ خَارِجَهُ بِخِلَافِ الطَّوَافِ وَنَحْوِهِ فَإِنَّهُ مِنْ ضَرُورَتِهِ اهـ .....(قَوْلُهُ إلَّا لِصَلَاةٍ أَوْ طَوَافٍ إلَخْ) أَيْ إذَا أَمِنَتْ التَّلْوِيثَ أَسْنَى وَمُغْنِي وَنِهَايَةٌ قَوْلُ الْمَتْنِ

[7] Ibn Hajar al-Haitami, Ahmad Ibn Muhammad. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1983). Jld 1. Hlm 407.

(وَتَغْتَسِلُ لِكُلِّ فَرْضٍ) فِي وَقْتِهِ كَمَا بِأَصْلِهِ وَكَأَنَّهُ اكْتَفَى بِقَوْلِهِ وَتَتَوَضَّأُ وَقْتَ الصَّلَاةِ وَذَلِكَ لِاحْتِمَالِ الِانْقِطَاعِ كُلَّ وَقْتٍ وَمِنْ ثَمَّ لَوْ ذَكَرَتْ وَقْتَهُ كَعِنْدَ الْغُرُوبِ اغْتَسَلَتْ عِنْدَهُ كُلَّ يَوْمٍ فَقَطْ أَوْ كَانَتْ ذَاتَ تَقَطُّعٍ لَمْ تُكَرِّرْهُ مُدَّةَ النَّقَاءِ؛