اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-880: STATUS DARAH YANG MENGIRINGI KELAHIRAN ANAK KEMBAR

STATUS_DARAH_YANG_MENGIRINGI_KELAHIRAN_ANAK_KEMBAR.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum, saya sedang mengandungkan anak kembar. Namun salah seorang anak kembar telah keguguran pada awal kandungan, Namun masih ada lagi seorang anak dalam kandungan. Adakah darah yang keluar semasa keguguran seorang daripada anak kembar itu nifas?

Ringkasan Jawapan:

Status darah yang keluar ketika melahirkan anak kembar seperti berikut :

  1. Status darah yang keluar mengiringi antara anak kembar yang pertama dan kedua adalah darah haid jika menepati syarat-syaratnya menurut pendapat muktamad. Hal ini kerana syarat darah nifas hanya akan dikira selepas kosongnya kandungan rahim menurut pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’i.
  2. Status darah yang keluar setelah kelahiran anak kembar yang kedua (terakhir) setelah kosong rahim dihukum sebagai darah nifas.
  3. Sekiranya tempoh darah yang keluar antara kelahiran dua bayi kembar selama enam bulan atau lebih, maka ia dianggap dua kehamilan dan dua darah nifas bagi setiap kelahiran bayi.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Definisi Kembar

Kembar (taw’am) ialah istilah bagi dua orang anak atau lebih dalam satu kandungan.[1] Selain itu, kembar juga membawa maksud dua orang anak dalam satu kandungan dan tempoh kelahiran antara kedua-dua bayi kembar tersebut kurang daripada enam bulan.[2]

Vanishing Twin Syndrome

Keguguran atau kehilangan salah satu kembar atau dipanggil sebagai Vanishing Twin Syndrome merupakan komplikasi kelahiran kembar yang kebiasaannya boleh terjadi seawal trimester pertama. Perkara ini terjadi saat pemeriksaan Ultrasonografi (USG) awal menunjukkan kehamilan kembar, namun pada akhirnya hanya satu bayi yang terlihat pada pemeriksaan USG selanjutnya.Jika kematian salah satu janin ditemukan pada trimester kedua atau ketiga, kehamilan bisa dianggap berisiko tinggi.

Dalam kebanyakan kes, punca kehilangan kembar masih tidak diketahui, akan tetapi terdapat beberapa faktor yang dikaitkan dengan kehilangan embrio ini seperti berikut[3]:

  1. Umur ibu yang lanjut (biasanya lebih daripada 30 tahun)
  2. Keabnormalan kromosom pada kembar yang telah meninggal dunia
  3. Penggunaan teknik Pembiakan Berbantu (ART) seperti persenyawaan in vitro (IVF)
  4. Meningkatkan kejadian kehamilan berganda
  5. Plasenta kecil atau kelainan anatomi plasenta lain mungkin dikaitkan dengan kehilangan kembar awal
  6. Faktor genetik dan teratogenik[4] (kecacatan )

Sebahagian kes kehilangan kembar atau gugur ini tidak menampakkan gejala sehingga diketahui melalui pemeriksaan USG. Namun sebahagian wanita menunjukkan tanda seperti keguguran kram perut, pendarahan meskipun satu bayi kembar masih hidup dalam keadaan sihat. Walau bagaimanapun, wanita hamil kembar perlu merujuk kepada doktor perubatan untuk pengesahan gejala yang berlaku sepanjang kehamilan.

Definisi Nifas

Nifas pada sudut bahasa ialah kelahiran (wiladah).[5] Sementara, pada sudut syarak ialah darah yang keluar daripada rahim wanita disebabkan kelahiran setelah kosongnya rahim daripada kandungan walaupun dalam bentuk segumpal darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin. Selepas tempoh tersebut darah yang keluar tidak dihukumi nifas.[6]

Darah nifas hanya akan dikira selepas terpisahnya bayi daripada kandungan menurut pendapat muktamad mazhab Syafi’i.[7] Oleh itu, apa - apa darah yang keluar sebelum selesainya bersalin, maka ia bukan termasuk kategori darah nifas.

Status darah antara bayi kembar

Para ulama bersepakat bahawa syarat jarak kelahiran antara dua bayi kembar tidak kurang 6 bulan. Sekiranya jarak antara kelahiran dua bayi adalah enam bulan dan lebih, maka ia merupakan dua kehamilan dan dua nifas bagi setiap kelahiran bayi. [8]

Namun, para fuqaha berselisih pendapat mengenai status darah bagi kelahiran anak kembar yang dilahirkan secara sekaligus atau kurang daripada enam bulan. Adakah nifas bermula dari kelahiran kembar pertama atau kedua?

Menurut fuqaha Syafi’i, syarat darah yang nifas adalah setelah kosongnya rahim. Oleh yang demikian, darah yang keluar antara anak kembar tidak memenuhi syarat darah nifas. Menurut pendapat muktamad, status darah yang keluar antara kelahiran anak kembar adalah haid jika menepati syarat-syaratnya.[9]

Perkara ini dijelaskan oleh Khatib al-Syirbini dalam kitabnya al-Mughni al-Muhtaj:

الدَّمُ بَيْنَ التَّوْأَمَيْنِ حَيْضٌ كَالْخَارِجِ بَعْدَ عُضْوٍ انْفَصَلَ مِنْ الْوَلَدِ الْمُجْتَنِّ لِخُرُوجِهِ قَبْلَ فَرَاغِ الرَّحِمِ

Maksudnya:Darah yang mengalir keluar antara kelahiran anak kembar adalah haid seperti organ yang terpisah daripada janin akibat keluarnya sebelum rahim kosong.

Oleh yang demikian, status darah nifas hanya akan dikira dan bermula selepas selesai kelahiran kembar (bayi terakhir) berdasarkan pendapat kebanyakan ulama.[10] Sementara itu, status darah yang keluar mengiringi antara kelahiran anak kembar yang pertama dan kelahiran kembar terakhir adalah darah haid (jika cukup syarat syaratnya) menurut pendapat muktamad. [11]

Menurut pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’i, status darah yang keluar antara kelahiran anak kembar adalah haid jika menepati syarat-syaratnya iaitu mencukupi syarat tempoh minimum haid iaitu sehari semalam bersamaan 24 jam dan tidak melebihi 15 hari 15 malam, Namun, sekiranya darah yang keluar tidak mencukupi 24 jam, maka status darah dianggap rosak(fasad) seperti hukum istihadah.

Kesimpulan

Status darah keluar ketika melahirkan anak kembar tertakluk kepada ciri-ciri seperti berikut :

  1. Status darah yang keluar mengiringi antara anak kembar yang pertama dan kedua adalah darah haid jika menepati syarat-syaratnya menurut pendapat muktamad. Hal ini kerana syarat darah nifas hanya akan dikira selepas kosongnya kandungan rahim menurut pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’i.
  2. Status darah yang keluar selepas selesai kelahiran bayi kembar terakhir (kosong rahim) dihukum sebagai nifas.
  3. Sekiranya tempoh darah yang keluar antara kelahiran dua bayi kembar selama enam bulan atau lebih, maka ia dianggap dua kehamilan dan dua darah nifas bagi setiap kelahiran bayi.

 Wallahu a'lam

 

Rujukan:

[1] Ahmad Bin Muhammad Bin ‘Alī al-Fayūmī, Al-Misbah al-Munir fi Gharīb al-Sharḥ al-Kabīr, (Beirut, Lubnan: Maktabah al-‘ilmiyyah, t.t), Jil. 1 ,hlm. 78

وَالتَّوْأَمُ اسْمٌ لِوَلَدٍ يَكُونُ مَعَهُ آخَرُ فِي بَطْنٍ وَاحِدٍ لَا يُقَالُ تَوْءَمٌ إلَّا لِأَحَدِهِ

[2] Ali bin Muhamad bin ‘Ali al-Zayn al-Sharif al-Jurjani. Kitab al-Ta’rifat. (Beirut Lubnan: Dār al-Kutub al-Ilmiyyah, 1983),hlm. 70.

‌التوأمان: هما ولدان من بطن واحد بين ولادتهما أقل من ستة أشهر

[3] “Vanishing Twin Syndrome”, Zarlakhta Zamani; Utsav Parekh. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK563220/

[4] Teratogenik: perkembangan tidak normal dari sel selama kehamilan yang menyebabkan kerosakan pada embrio

[5] Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini   Al-Iqna’ Fi Hall al-Faz Abi Syuja’ (Beirut: Dar al-Fikr, t.t) Jil. 1, hlm. 96

تَعْرِيف النّفاس (وَالنّفاس) لُغَة الْولادَة

[6] Ibn Hajar al-Haitami.Tuhfah al-Muhtaj fi Syarah al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Ibadi ( Beirut :Dar Ihya’ al-Turath al-A’rabi, 1983 ), Jil. 1, hlm. 383

وَالنِّفَاسُ الدَّمُ الْخَارِجُ بَعْدَ فَرَاغِ الرَّحِمِ (قَوْلُهُ بَعْدَ فَرَاغِ الرَّحِمِ) أَيْ مِنْ الْحَمْلِ وَلَوْ عَلَقَةً أَوْ مُضْغَةً أَيْ وَقَبْلَ مُضِيِّ خَمْسَةَ عَشَرَ يَوْمًا فَإِنْ كَانَ بَعْدَ ذَلِكَ لَمْ يَكُنْ نِفَاسًا

[7] Abu Zakariya Muhyiddin Bin Syaraf al-Nawawi, Al-Majmuk Sharh al-Muhadzab, (Dar al-Fikr t.t), Jil. 2, Hlm. 521.

قَالَ الرَّافِعِيُّ فَحَصَلَ في وقت ابتداء النفاس أوجه أحدها   ………وَالثَّالِثُ وَهُوَ الْأَصَحُّ مِنْ وَقْتِ انْفِصَالِ الْوَلَدِ

[8] Abu Zakariya Muhyiddin Bin Syaraf al-Nawawi, Al-Majmu’ Sharh al-Muhadzab, (Dar al-Fikr t.t), Jil. 2, Hlm. 526

وَشَرْطُ كَوْنِهِمَا تَوْأَمَيْنِ أَنْ يَكُونَ بَيْنَهُمَا دُونَ سِتَّةِ أَشْهُرٍ فان كان سِتَّةَ أَشْهُرٍ فَهُمَا حَمْلَانِ وَنِفَاسَانِ بِلَا خِلَافٍ

[9] Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mugni Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1994), Jil.1, Hlm. 119.

والمذهب عند فقهاء الشافعية هو أن شرط النفاس كون الدم نازلا بعد فراغ الرحم، والدم النازل بين التوأمين لم يتحقق فيه هذا الشرط، فلم يقولوا بأنه دم نفاس، والمعتمد عندهم أنه دم حيض، كما قال الخطيب الشربيني رحمه الله: "الدم بين التوأمين حيض" انتهى

[10] Abu Zakariya Muhyiddin Bin Syaraf al-Nawawi, Al-Majmuk Sharh al-Muhadzab, (Dar al-Fikr t.t), Jil, 2, hlm. 526

وَحَكَى ابْنُ الْقَاصِّ فِي التَّلْخِيصِ أَنَّ بَعْضَ أَصْحَابِنَا حَكَاهَا أَقْوَالًا وَالْمَشْهُورُ أَنَّهَا أَوْجُهٌ أَصَحُّهَا عِنْدَ الشَّيْخِ أَبِي حَامِدٍ وَأَصْحَابِنَا الْعِرَاقِيِّينَ وَالْبَغَوِيِّ وَالرُّويَانِيِّ وَصَاحِبِ الْعُدَّةِ وَغَيْرِهِمْ مِنْ الْخُرَاسَانِيِّينَ أَنَّ النِّفَاسَ مُعْتَبَرٌ مِنْ الْوَلَدِ الثَّانِي وَهُوَ مَذْهَبُ مُحَمَّدٍ وَزَفَرَ وَرِوَايَةٌ عَنْ أَحْمَدَ وَدَاوُد وَصَحَّحَ ابْنُ الْقَاصِّ وَإِمَامُ الْحَرَمَيْنِ وَالْغَزَالِيُّ كَوْنَهُ مِنْ الْأَوَّلِ وَهُوَ مَذْهَبُ أَبِي حَنِيفَةَ وَمَالِكٍ وَأَبِي يُوسُفَ وَأَصَحُّ الرِّوَايَتَيْنِ عَنْ أَحْمَدَ وَرِوَايَةٌ عَنْ دَاوُد وَتَوْجِيهُ الْجَمِيعِ مَذْكُورٌ فِي الْكِتَابِ

[11] Wizarah al-Awqaf wa Al-Syuun al-Islamiyyah, Mausu’ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwitiyah, (Beirut: Dar al-Salasil, t.th)Jil 14, hlm 103.

أَمَّا الْجَدِيدُ عِنْدَ الشَّافِعِيَّةِ فَإِنَّ الدَّمَ الْخَارِجَ بَيْنَ التَّوْأَمَيْنِ أَوِ التَّوْأَمِ حَيْضٌ، وَهُوَ الرَّاجِحُ عِنْدَهُمْ