اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-881: HUKUM PENGGUNAAN KAD DISKAUN YANG BERBAYAR

 HUKUM_PENGGUNAAN_KAD_DISKAUN_YANG_BERBAYAR.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti. Terdapat sebahagian kedai atau pasaraya yang menyediakan kad diskaun yang berbayar sama ada bayaran tersebut sekali sahaja pada awal langganan atau secara berkala sama ada tahunan atau bulanan. Adakah penggunaan kad diskaun seperti ini diharuskan?

Ringkasan Jawapan

Hukum pengeluaran dan penggunaan kad diskaun yang berbayar adalah harus dengan syarat caj yang dikenakan mestilah pada kadar yang minimum tanpa mengambil untung daripada pengeluaran kad tersebut dan pelanggan mestilah dimaklumkan dengan terma, syarat dan tempoh sah laku yang jelas. Kad tersebut juga mestilah tidak mengandungi unsur perjudian dan tidak menyediakan apa-apa manfaat yang tidak patuh syariah.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kad diskaun ialah satu produk yang disediakan oleh sebahagian premis dan syarikat perniagaan yang membolehkan pemiliknya menikmati manfaat diskaun dengan peratusan tertentu apabila melakukan pembelian item-item di premis yang telah ditentukan. Ia merupakan salah satu cara untuk memasarkan produk dengan lebih meluas dan menarik lebih ramai pelanggan tetap untuk berurus niaga di premis perniagaan tersebut. Kad diskaun tidak semestinya berbentuk kad fizikal, bahkan terdapat pelbagai bentuk seperti langganan keahlian (membership) dan langganan bulanan yang memberi manfaat diskaun.

Kad diskaun yang terdapat di pasaran boleh dibahagikan kepada beberapa jenis:

  1. Kad diskaun yang diberi oleh pihak penjual secara percuma atau selepas melepasi had pembelian tertentu. Sebagai contoh:
    1. Ali mendaftar menjadi ahli (member) di Farmasi A secara percuma yang memberi faedah diskaun 5% bagi setiap pembelian akan datang dengan hanya memberitahu nombor telefon.
    2. Ali memperoleh kad diskaun daripada pasaraya A secara percuma kerana telah membeli barang melebihi RM 300 di pasaraya tersebut.

Kad diskaun jenis ini adalah harus kerana ia dikira sebagai janji oleh pihak peniaga untuk memberi hibah kepada pelanggan dalam bentuk diskaun.

  1. Kad diskaun yang disediakan oleh pihak penjual sendiri dengan bayaran sama ada dibayar sekali sahaja atau secara berkala sama ada bulanan atau tahunan. Sebagai contoh:
    1. Ali mendaftar sebagai ahli di kedai buku A dengan bayaran sebanyak RM15 pada awal pendaftaran. Dengan menjadi ahli, Ali mendapat diskaun 10% dengan setiap pembelian barang di kedai buku tersebut.
    2. Ali melanggan keahlian (membership) sebuah kedai atas talian dengan bayaran RM5 sebulan. Keahlian tersebut memberi manfaat diskaun bagi semua barang atau barang-barang tertentu di kedai tersebut.
  1. Kad diskaun yang disediakan oleh pihak ketiga secara berbayar yang memberi manfaat diskaun bagi pembelian di premis-premis tertentu. Sebagai contoh:
    1. Ali melanggan kad diskaun daripada Syarikat Pelancongan A dengan bayaran RM200 setahun yang memberi diskaun untuk pembelian di sebilangan hotel dan syarikat penerbangan terpilih.

Walau bagaimanapun, hukum penggunaaan kad diskaun yang berbayar seperti jenis yang kedua dan ketiga telah menjadi isu yang diperselisihi ulama dan badan-badan fatwa kontemporari. Hal ini kerana terdapat beberapa isu syariah dalam penggunaan kad diskaun berbayar seperti isu ketidaktentuan (gharar) dan perjudian. Antara prinsip asas dalam muamalat Islam ialah larangan daripada jual beli gharar berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada jual beli dengan membaling batu dan jual beli gharar.”

(Riwayat Muslim)

Adapun perincian mengenai definisi dan hukum gharar dalam jual beli telah dijelaskan dalam artikel berikut.

  1. Irsyad Hukum Siri Ke-705: Hukum Jual Beli Cedok.[1]
  2. Irsyad Hukum Siri Ke-762: Hukum Jual Beli Hidangan Bufet.[2]

Hukum Kad Diskaun Berbayar

Menurut Jabatan Fatwa Jordan, jika kad diskaun diperoleh dengan bayaran yang melebihi kos pengeluaran kad plastik tersebut atau secara yuran tahunan, hukumnya adalah haram sama ada ia dikeluarkan oleh peniaga atau pihak ketiga.[3] Akademi Fiqh Islam (Majma’ al-Fiqh al-Islami) yang bernaung bawah Liga Dunia Islam (Rabitah al-Alam al-Islami) dan Jawatankuasa Tetap Penyelidikan Islam dan Kefatwaan Arab Saudi (al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth wa al-Ifta’) juga memfatwakan haram penggunaan kad diskaun yang berbayar dikeluarkan oleh pihak ketiga, namun tidak menyebut khusus tentang kad diskaun yang dikeluarkan oleh peniaga sendiri.[4] [5]

Berikut adalah antara hujah mereka yang mengharamkan:

  1. Kad diskaun mengandungi unsur gharar kerana imbalan kos yang dibayar oleh pelanggan ialah diskaun yang tidak pasti dan tidak tentu.
  2. Ia mengandungi unsur judi kerana walaupun peniaga sudah pasti untung, namun pembeli mempunyai kebarangkalian untung atau rugi bergantung kepada jumlah pembelian yang dibuat.
  3. Terdapat juga unsur penipuan apabila peniaga tidak memberi manfaat yang benar kepada pembeli seperti menaikkan harga untuk menampakkan seolah-olah pembeli mendapat diskaun, tetapi sebaliknya pembeli hanya mendapat harga asal.

Walau bagaimanapun, Jabatan Fatwa Jordan menambah bahawa jika kad diskaun itu berbayar, namun bayaran itu hanya untuk menanggung kos sebenar untuk menghasilkan dan mengeluarkan kad tersebut tanpa mengambil untung, maka ia adalah syubhah dan ruang yang boleh dibincangkan, namun lebih baik dijauhi sebagai langkah berhati-hati.[6]

Dalam pada itu, Syeikh Yusuf bin Abdullah al-Syubaili pula berpendapat bahawa jika langganan kad diskaun mensyaratkan bayaran yang tertentu secara bulanan atau tahunan, maka hukumnya adalah haram kecuali jika bayaran itu digunakan oleh pengeluar untuk menanggung kos mereka mengeluarkan kad tersebut seperti kos pentadbiran dan pemasaran, dalam hal ini hukumnya menjadi harus dengan syarat bayaran tersebut mestilah berdasarkan kos sebenar pengeluaran kad dan boleh mengambil untung daripada kad tersebut. Adapun jika kos yang dibayar itu digunakan untuk menanggung ganjaran-ganjaran yang akan diberikan kepada pelanggan, maka hukumnya haram kerana mengandungi unsur gharar.[7]

Berdasarkan pernyataan ini, dapat difahami bahawa unsur gharar boleh dihilangkan jika kos yang dibayar oleh pelanggan kad diskaun merupakan kos sebenar yang ditanggung oleh syarikat pengeluar untuk mengeluarkan kad tersebut. Kos sebenar ini termasuk kos pentadbiran seperti penyelenggaraan sistem pangkalan data dan sebagainya. Hal ini kerana dalam keadaan ini, imbalan bagi kos yang dibayar oleh pelanggan diketahui dengan jelas tanpa kesamaran.

Pandangan yang sama juga dinyatakan oleh Mesyuarat Panel Pakar Muamalat, JAKIM yang telah bersidang pada 4 April 2017 yang telah memutuskan:

  1. Penggunaan kad diskaun/kad keahlian/ kad loyalti adalah tertakluk kepada akad upah atas perkhidmatan yang ditawarkan.
  2. Keharusan penggunaan kad-kad tersebut perlu mematuhi syarat-syarat berikut:
    1. Jika ada bayaran yang dikenakan, maka cajnya perlu pada kadar yang minimum.
    2. Tiada unsur-unsur perjudian seperti hadiah cabutan bertuah diambil daripada bayaran pengeluaran kad.
    3. Terma dan syarat yang jelas.
    4. Tempoh sah laku yang jelas.
    5. Tidak menjana keuntungan daripada pengeluaran kad.
    6. Tidak menyediakan manfaat yang tidak patuh syariah
  3. Hukum kad diskaun/ kad keahlian dan kad loyalti yang dikeluarkan secara percuma adalah harus berdasarkan kepada konsep tabarru’at.[8]

Kesimpulan

Hukum pengeluaran dan penggunaan kad diskaun yang berbayar adalah harus dengan syarat caj yang dikenakan mestilah pada kadar yang minimum tanpa mengambil untung daripada pengeluaran kad tersebut dan pelanggan mestilah dimaklumkan dengan terma, syarat dan tempoh sah laku yang jelas.

Kad tersebut mestilah tidak mengandungi unsur perjudian dan tidak menyediakan apa-apa manfaat yang tidak patuh syariah.

WaAllahua’lam

 

Rujukan: 

[1] Lihat: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/5352-irsyad-al-fatwa-siri-ke-705-hukum-jual-beli-cedok

[2] Lihat: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5551-irsyad-al-fatwa-siri-ke-762-hukum-jual-beli-hidangan-bufet

[3] Lihat: https://www.aliftaa.jo/decision/140/Question.aspx?QuestionId=3687 , diakses pada: 10/7/2024.

[4] Lihat: Qararat al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami bi Makkah al-Mukarramah, hlmn 453 https://baitalzakat.com/files/decisions-laws/baitalzakat.com-L100025.pdf

[5] Ahmad bin Abdul Razzaq al-Duwaish, Fatawa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’ al-Majmu‘ah al-’Ula, (Riyadh: Ri’asah Idarah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’, t.t), jld 14, hlmn 14.

لا يجوز إصدار هذه البطاقة، ولا الاشتراك فيها؛ لما تتضمنه من الغرر والتغرير بالمال، وقد نهى النبي صلى الله عليه وسلم عن بيع الغرر؛ وذلك لأن رسوم الإصدار قد تفوق التخفيض المذكور، وقد تقل عنه، على أنه قد علم من المشاهد أن التخفيضات التي يوعد بها حملة هذه البطاقات وهمية غير حقيقية

[6] Lihat: https://www.aliftaa.jo/decision/140/Question.aspx?QuestionId=3687 , diakses pada: 10/7/2024.

أما إذا كانت البطاقات مدفوعة الثمن، يشتريها الزبون بمبلغ من المال، غير أن هذا المبلغ الذي يدفعه إنما هو لتغطية تكاليف استخراج البطاقة وإصدارها، من غير زيادة يربحها المتجر ببيع هذه البطاقات: فهذا محل شبهة ونظر، والأورع والأحوط الابتعاد عن جميع الشبهات.

[7] Lihat: https://ar.islamway.net/fatwa/34116/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%A8%D8%B7%D8%A7%D9%82%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%AA%D8%AE%D9%81%D9%8A%D8%B6 , diakses pada: 16/7/2024

وإن كانت مبالغ مقطوعة يدفعها الشريك للمصدر سنوياً أو شهرياً ونحو ذلك، فهذه لا تجوز إلا إذا كانت لعمل منضبط معلوم، مثل أن يتحمل جزءاً من المصاريف الإدارية لتسويق البطاقة كالدعايات والإعلانات التجارية، فتجوز في هذه الحال بشرط أن تكون بقدر التكاليف الفعلية لذلك العمل، أما إذا روعي في حساب تلك الرسوم أن تغطي قيمة الجوائز والحوافز المقدمة للعملاء فإنها حينئذٍ محرمة، لما فيها من الغرر.

[8] Seksen Muamalat Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKIM, ‘Kertas Cadangan Fatwa Berkenaan Hukum Menggunakan Kad Diskaun yang Dikenakan Bayaran’, (Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, 21 Julai 2017)