Soalan
Apakah hukum menindik hidung bagi perempuan? Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih
Ringkasan Jawapan
Hukum menindik hidung adalah haram menurut mazhab Syafi’i. Hal ini kerana perbuatan meletakkan barang kemas pada hidung bukan bentuk perhiasan yang menjadi kebiasaan masyarakat setempat. Selain itu, pengharaman menindik hidung kerana unsur penyerupaan (tasyabbuh) tradisi agama lain yang berkait rapat dengan ritual keagamaan.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.
Budaya Menindik Hidung
Budaya menindik hidung yang dilakukan bagi tujuan kecantikan atau simbolik. Ia berasal lebih daripada 4000 tahun yang lalu di Timur Tengah dan Negara India. Begitu juga ia dilakukan oleh masyarakat asli Amerika dan Australia.[1] Wanita Afrika Utara secara tradisinya menindik hidung atas pelbagai sebab seperti untuk menunjukkan status perkahwinan seseorang, menghormati dewi dan menunjukkan kekayaan.[2] Seterusnya, kebanyakan wanita di India secara tradisinya menindik hidung bagi tujuan yang pelbagai seperti upacara ritual kedewasaan, kewanitaan dan keanggunan. Gaya dan juga kedudukan tindikan berbeza-beza sama ada lubang hidung kiri atau kanan gelung berat atau berlian.[3]
Hukum Menindik Hidung
Hukum menindik hidung adalah haram sama ada lelaki mahupun perempuan. Begitu juga haram ke atas kanak-kanak menurut fuqaha mazhab Syafi’i.[4] Imam Ibn Hajar menyatakan bahawa menebuk lubang hidung bagi memasukkan cincin emas mahupun perak adalah haram. Hal ini kerana, menindik hidung untuk meletakkan barang kemas bukan satu bentuk perhiasan yang menjadi kebiasaan (urf) masyarakat setempat.[5]
Seterusnya, perbuatan menindik hidung juga merupakan adat tradisi golongan bukan islam yang mempunyai unsur keagamaan. Celaan yang dasyat terhadap penyerupaan agama lain bersandarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”
Riwayat Abu Daud (4031)
Al-San’ani mensyarahkan hadis diatas bahawa larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang meniru orang kafir dari segi pemakaian mahupun penampilan.[6]
Kesimpulannya, hukum menindik (piercing) mana-mana bahagian hidung untuk memakai cincin daripada emas, perak atau menindik hidung dengan batu berlian adalah haram sama ada lelaki dan wanita dewasa mahupun untuk kanak-kanak.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Nose_piercing
[2] https://aapirc.ucsc.edu/swana/what-is-swana.html
[3] https://www.naturaldiamonds.com/culture-and-style/natural-diamonds-nose-pin-history-legacy/
[4] Al-Malbariy. Zainuddin Abd Aziz, Fath al-Mu’in Bi Syarh Qurrat al-Ain Bi Muhimmat Al-Din, (Dar Ibn Hazam. t.th) hlmn 592
وحرم تثقيب أنف مطلقا
(قوله: وحرم تثقيب أنف مطلقا) أي لصبي أو صبية.
[5] Syamsuddin Sihabuddin Al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (Beirut: Dar Fikr, 1984) J:8: P:34
وَأَمَّا ثَقْبُ الْمَنْخَرِ فَلَا يَجُوزُ أَخْذًا مِنْ اقْتِصَارِهِ عَلَى الْآذَانِ وَهُوَ ظَاهِرٌ حَيْثُ لَمْ تَجْرِ عَادَةُ أَهْلِ نَاحِيَةٍ بِهِ وَعَدُّهُمْ لَهُ زِينَةً، وَإِلَّا فَهُوَ كَتَثْقِيبِ الْآذَانِ، ثُمَّ رَأَيْت فِي حَجّ مَا نَصُّهُ: وَيَظْهَرُ فِي خَرْقِ الْأَنْفِ بِحَلْقَةٍ تُعْمَلُ فِيهِ مِنْ فِضَّةٍ أَوْ ذَهَبٍ أَنَّهُ حَرَامٌ مُطْلَقًا؛ لِأَنَّهُ لَا زِينَةَ فِي ذَلِكَ يُغْتَفَرُ لِأَجْلِهَا إلَّا عِنْدَ فِرْقَةٍ قَلِيلَةٍ وَلَا عِبْرَةَ بِهَا مَعَ الْعُرْفِ
Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa ‘Ibadi (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1883) J:9 P:195
وَيَظْهَرُ فِي خَرْقِ الْأَنْفِ بِحَلْقَةٍ تُعْمَلُ فِيهِ مِنْ فِضَّةٍ أَوْ ذَهَبٍ أَنَّهُ حَرَامٌ مُطْلَقًا؛ لِأَنَّهُ لَا زِينَةَ فِي ذَلِكَ يُغْتَفَرُ لِأَجْلِهَا إلَّا عِنْدَ فِرْقَةٍ قَلِيلَةٍ وَلَا عِبْرَةَ بِهَا مَعَ الْعُرْفِ
[6] Muhammad Bin Isma'il Al-Amir Al-San'ani , Subulussalam Syarh Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam, (Dar Al-Hadis, tth) 2: 647
وَالْحَدِيثُ دَالٌّ عَلَى أَنَّ مَنْ تَشَبَّهَ بِالْفُسَّاقِ كَانَ مِنْهُمْ أَوْ بِالْكُفَّارِ أَوْ بِالْمُبْتَدِعَةِ فِي أَيِّ شَيْءٍ مِمَّا يَخْتَصُّونَ بِهِ مِنْ مَلْبُوسٍ أَوْ مَرْكُوبٍ أَوْ هَيْئَةٍ.