اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-947: HUKUM MEMBAYAR YURAN PENYELENGGARAAN RUMAH

HUKUM_MEMBAYAR_YURAN_PENYELENGGARAAN_RUMAH.jpg

SOALAN:

Di kawasan perumahan saya terdapat sebahagian penghuni yang enggan untuk membayar yuran penyelenggaraan rumah, dengan dakwaan bahawa bayaran ini tidak wajib pun untuk dibayar. Mohon pencerahan hukum daripada SS Mufti, sejauh manakah yuran penyelenggaraan rumah ini dihukumkan sebagai wajib untuk dibayar? Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN:

Hukum membayar yuran penyelenggaraan rumah dalam Islam adalah wajib apabila yuran tersebut telah dipersetujui dalam perjanjian serta dipungut mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Hal ini demikian kerana setiap individu wajib untuk mematuhi kontrak yang telah dipersetujui bersama dan arahan pemerintah yang telah ditetapkan demi menjaga kemaslahatan umum. Keengganan menjelaskan yuran penyelenggaraan tersebut dikira sebagai hutang dan merupakan satu bentuk kezaliman yang boleh menjejaskan banyak pihak.

HURAIAN JAWAPAN:

Yuran penyelenggaraan (maintenance fee) dalam konteks perumahan merujuk kepada bayaran yang dikenakan kepada pemilik atau penghuni bagi membiayai pengurusan dan penyelenggaraan kawasan kediaman secara berterusan. Yuran ini meliputi kos penjagaan kemudahan bersama seperti kawasan awam, sistem keselamatan, kebersihan, landskap serta pembaikan infrastruktur yang menyokong keselesaan dan keselamatan penduduk. Pelaksanaan kutipan yuran penyelenggaraan yang teratur dan telus amat penting bagi memastikan persekitaran perumahan sentiasa terjaga, seterusnya mengekalkan nilai hartanah dan keharmonian komuniti setempat.

Secara asasnya, segala kutipan yuran daripada harta milik orang lain adalah dilarang melainkan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang sah, persetujuan yang jelas daripada pihak berkepentingan, serta dilaksanakan oleh individu atau badan yang diberi kuasa mengikut undang-undang. Segala bentuk pungutan harta yang tidak mematuhi syarat yang ditetapkan adalah dikategorikan sebagai pemungutan harta secara batil seperti firman Allah SWT:

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

Surah al-Nisa’ (29)

Dalam konteks kutipan yuran penyelenggaraan bagi sesebuah kawasan kediaman, kutipan yuran ini biasanya diuruskan oleh satu badan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pengurusan Bersama (Joint Management Body - JMB) yang bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara bangunan serta harta secara bersama, yang ditubuhkan di bawah Seksyen 17, Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757].

Seksyen 21 daripada Akta berkenaan turut memperuntukkan beberapa kuasa bagi JMB dalam menguruskan hartanah yang dimiliki dalam bentuk strata, yang antaranya adalah untuk menentukan dan mengenakan caj yuran penyelenggaraan yang perlu didepositkan ke dalam akaun penyenggaraan bagi tujuan penyenggaraan dan pengurusan yang perlu bagi sesebuah hartanah tersebut. Yuran penyelenggaraan tersebut merupakan kewajipan yang perlu diselesaikan oleh pemilik kepada harta tersebut, seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 24(1)(a), Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757].

Berdasarkan kepada penjelasan mengenai yuran penyelenggaraan ini, maka dirumuskan bahawa yuran penyelenggaraan bagi sesebuah kawasan perumahan adalah dihukumkan sebagai harus dikutip oleh pihak JMB, dan wajib untuk dibayar oleh pemilik kepada harta tersebut sekiranya proses kutipan yuran tersebut dijalankan mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang ada serta dilakukan mengikut persetujuan bersama. Hal ini demikian kerana kita diwajibkan untuk mematuhi sesuatu perjanjian yang telah dipersetujui berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

Surah al-Ma’idah (1)

Hal yang sama turut ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah RA:

المسلمونَ على شروطِهم

Maksudnya:Orang-orang Muslim terikat dengan syarat-syarat (yang dipersetujui oleh) mereka.”

[Sunan Abi Dawud]

Walaupun pada kebiasaannya yuran penyelenggaraan rumah ditetapkan tanpa persetujuan penuh oleh semua pihak, namun hal ini tidaklah menjadikan yuran tersebut tidak patuh syariah, atau tidak perlu untuk dibayar. Sebaliknya, yuran penyelenggaraan rumah walaupun bukan dibincangkan dan dipersetujui secara bersama oleh semua pihak, namun kewajipan untuk dibayar yuran tersebut adalah berdasarkan kepada konsep akad iz‘an (contract of adhesion), iaitu akad persetujuan yang berlaku secara tersirat melalui penerimaan terhadap peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan.

Dalam konteks ini, pemilik rumah tersebut dianggap telah memberikan persetujuan terhadap syarat-syarat yang dikenakan, termasuk kewajipan membayar yuran penyelenggaraan bagi tujuan menjaga kemudahan bersama, keselamatan, dan kebajikan komuniti.

Selain itu, peruntukan undang-undang yang membenarkan kepada pihak JMB untuk mengenakan kutipan yuran penyelenggaraan adalah merupakan perintah daripada pihak ulil amri (pemerintah) yang wajib untuk diikuti sebagai menjaga kemaslahatan bersama, berpandukan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

[Surah Al-Nisā’, 59]

Hal ini demikian kerana keengganan membayar yuran penyelenggaraan rumah kediaman yang dimiliki dalam bentuk strata boleh menyebabkan berlakunya kezaliman kepada banyak pihak kerana yuran tersebut merupakan sumber utama bagi memastikan kemudahan bersama seperti keselamatan, kebersihan, penyelenggaraan lif, lampu dan infrastruktur asas dapat berfungsi dengan baik.

Apabila sebahagian pemilik atau penghuni enggan membayar, beban kewangan terpaksa ditanggung oleh pihak pengurusan atau pemilik lain yang patuh, sekali gus menafikan hak mereka terhadap perkhidmatan yang sepatutnya dinikmati secara adil. Keengganan tersebut juga boleh dikategorikan sebagai hutang yang wajib dilangsaikan menurut syarak memandangkan manfaat kemudahan bersama yang telah dinikmati oleh pemilik atau penghuni.

Ketidakadilan dan kezaliman sebegini adalah merupakan perkara yang dilarang oleh syarak seperti firman Allah SWT dalam sebuah hadis qudsi:

يا عِبَادِي، إنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ علَى نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، فلا تَظَالَمُوا

Maksudnya:Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan Aku menjadikannya haram sesama kamu, maka janganlah kamu saling berbuat zalim.”

[Sahih Muslim]

Oleh itu, setiap pemilik atau penghuni hendaklah bersikap amanah dan bertanggungjawab dalam menunaikan kewajipan ini selaras dengan tuntutan syarak, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan bersama.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan dan perincian yang dikemukakan dalam artikel ini, beberapa kesimpulan dapat dirumuskan seperti berikut:

  1. Yuran penyelenggaraan yang dilaksanakan selaras dengan undang-undang serta peraturan yang ditetapkan adalah wajib dibayar oleh setiap individu yang terlibat.
  1. Keengganan untuk menjelaskan bayaran yuran penyelenggaraan merupakan suatu bentuk kezaliman dan dikira sebagai hutang yang wajib dibayar.
  1. Setiap individu berkewajipan untuk mematuhi arahan dan ketetapan pemerintah.

WaLlāhu A’lam