Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

 

 

ih391_15291523.png

 

Soalan: Apakah terdapat petunjuk daripada Nabi SAW apabila diberi salam ketika sedang solat?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hukum mengucapkan salam adalah sunnah yang amat digalakkkan (سنة مستحبة) dan amat dituntut oleh Rasulullah SAW. Ini kerana, di sana terdapat perintah atau arahan daripada Nabi SAW agar kita menyebarkan serta mengucapkan salam kepada orang lain. Namun, perintah tersebut bukanlah bersifat wajib tetapi ia hanyalah sunnah yang amat digalakkan. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam kalangan para ulama. Adapun hukum menjawab salam adalah wajib, berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا

al-Nisa’: 86

Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).”

 

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam kitabnya iaitu daripada Bilal RA apabila Ibn Umar R.anhuma bertanya kepadanya:

 

كَيْفَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرُدُّ عَلَيْهِمْ حِينَ كَانُوا يُسَلِّمُونَ عَلَيْهِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ؟ قَالَ: كَانَ يُشِيرُ بِيَدِهِ

Maksudnya: “Bagaimanakah Nabi SAW menjawab salam sekiranya Baginda SAW diberi salam dalam keadaan sedang mendirikan solat?. Bilal menjawab: Baginda SAW mengisyaratkan dengan tangannya.” [Riwayat al-Tirmizi (368)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini adalah sahih]

 

Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa Baginda SAW pernah mengisyaratkan dengan jarinya berdasarkan kepada riwayat yang lain daripada Suhaib dan tidak ada percanggahan dengan hadith ini bahawa Baginda SAW mengisyaratkan dengan tangannya. Ini kerana, ia boleh difahami bahawa kadang-kadang Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan jarinya dan kadang-kadang dengan tangannya. Selain itu, ia juga boleh difahami bahawa yang dimaksudkan dengan tangan adalah jari kerana perkara yang muqayyid itu termasuk di dalam perkara yang mutlak sepertimana yang dinyatakan oleh al-Syaukani. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 2/305]

Di dalam mazhab al-Syafie, tidak dibenarkan menjawab salam dengan lafaz di dalam solat dan tidak wajib ke atasnya untuk menjawabnya, bahkan hukumnya adalah sunat pada waktu itu menjawabnya dengan isyarat atau dia boleh menjawabnya selepas daripada salam secara lafaz. [Lihat: al-Majmu’, 4/104]

 

Penutup

Kesimpulannya, cara menjawab salam bagi orang yang diberi salam adalah dengan memberi isyarat kepadanya atau boleh menjawabnya selepasa daripada selesai mendirikan solat. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunnah Nabi SAW serta memelihara kita daripada sifat-sifat yang dikeji oleh Allah SWT dan juga Rasulullah SAW. Amin.

 

Wallahua’lam