Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #87: HUKUM MUSLIM (BUKAN KERABAT) MENGURUSKAN MAYAT BUKAN ISLAM

 

 

 

 

1.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti, maaf saya ingin bertanya, saya pelajar perubatan tahun akhir ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak Dato’ Seri mengenai program yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan NGO. Secara ringkasnya program ini memberi peluang kepada pelajar perubatan untuk menggunakan badan pesakit non-muslim yang telah meninggal dunia untuk kami belajar dalam membuat prosidur di badan si mati. Prosedur yang kami belajar ialah ‘chest tube drainage, suturing, incision, intubation dan CVP line’. Sebelum ini telah kami ajukan soalan berkenaan tunduk hormat kepada jenazah dan terima kasih kerana sudah dijawab oleh S.S Mufti. Terdapat beberapa soalan lain yang timbul dan perlu untuk mendapatkan jawapan pencerahan daripada S.S Mufti. Soalannya: Apakah hukum saya menguruskan mayat bukan Islam seperti memasukkan mayat bukan Islam ke dalam keranda (Coffining) dan hukum turut serta berarak menghantar jenazah ke perkuburan (Line-up Tribute for sending-off to Crematorium)?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Para ulama’ terdahulu ada menyatakan bahawa hukum memandikan mayat kafir zimmi adalah harus. Bahkan merupakan satu kewajipan ke atas jasadnya untuk dikafan dan disemadikan.

(Rujuk Kitab Matla’ al-Badrain, m/s 188; Kitab al-Taqrirat al-Sadidah, m/s 365; al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 1/628 dan al-Hawi al-Kabir, 3/19)

Begitu juga telah kami jawab isu ini dahulu melalui beberapa artikel di laman web dan media sosial. Seperti contoh:

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/898-apa-yang-boleh-dibuat-bila-ada-ahli-keluarga-non-muslim-meninggal-dunia

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1247-irsyad-al-fatwa-ke-117-hukum-mengiringi-jenazah-bukan-islam

http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3720-irsyad-al-fatwa-siri-ke-321-menghadiri-upacara-majlis-pengebumian-jiran-bukan-islam

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1422-irsyad-al-fatwa-siri-ke-151-hukum-menghadiri-majlis-pengebumian-bukan-muslim

Namun begitu, keharusan hukum ini diberikan atas dasar jika sekiranya mayat bukan Islam tersebut merupakan ahli dan kerabat bagi dirinya. Lalu jika mayat bukan Islam tersebut bukan daripada kalangan kerabat adakah hukumnya masih lagi sama?

Merujuk kepada soalan yang diajukan, apakah hukum menguruskan mayat seperti memasukkan mayat bukan Islam ke dalam keranda (Coffining) dan hukum turut serta berarak (Line-up Tribute for sending-off to Crematorium)?

Para ulama’ berbeza pandangan dalam menentukan hukum bagi isu ini.

Pertama, haram bagi bukan kerabat untuk menguruskan mayat bukan Islam. Ini adalah sepertimana pendapat yang dinyatakan oleh Imam as-Syasyi as-Syafie. Pendapat ini masyhur kerana ramai ulama’ fiqh mazhab Syafie mencatatkan pandangan beliau di dalam penulisan mereka. Imam as-Syasyi menyatakan bahawa;

تَحْرِيمَ تَشْيِيعِ الْمُسْلِمِ جِنَازَةَ الْكَافِرِ غَيْرَ نَحْوِ الْقَرِيبِ ، وَبِهِ صَرَّحَ الشَّاشِيُّ

Maksudnya: Haram Muslim menguruskan mayat kafir yang bukan daripada kalangan kerabat dan ini adalah pandangan as-Syasyi.

(Rujuk Kitab Hasyiah al-Jamal, 3/172)

Begitu juga:

تحريم اتباع المسلم جنازة الكافر غير القريب وبه صرح الشاشي

Maksudnya: Haram bagi Muslim mengikut atau turut berarak bagi jenazah kafir yang bukan daripada kalangan kerabat dan ini adalah pandangan as-Syasyi.

(Rujuk Kitab Mughni al-Muhtaj, 1/356; Kitab Hawasyi al-Syarwani, 3/220; Kitab Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj, 3/200; )

Kedua. Dibolehkan untuk mengurus mayat bukan Islam dengan syarat jika mayat itu tidak ada kerabat yang bukan Islam untuk menguruskannya atau terlucut hak mereka untuk memandikan mayat itu. Ini adalah pendapat yang dinukilkan oleh Imam Nawawi di dalam penulisannya:

فان لم يكن له قَرَابَةٌ مِنْ الْكُفَّارِ أَوْ كَانُوا وَتَرَكُوا حَقَّهُمْ مِنْ غُسْلِهِ جَازَ لِقَرِيبِهِ الْمُسْلِمِ وَلِغَيْرِ قَرِيبِهِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ غُسْلُهُ وَتَكْفِينُهُ وَدَفْنُهُ

Maksudnya: Jika mayat itu tidak ada kerabat daripada kalangan bukan Islam atau terlucut hak mereka untuk memandikan jenazah, maka dibolehkan untuk kerabat daripada kalangan Muslim atau bukan daripada kerabat Muslim untuk memandikannya, mengkafannya seterusnya mengkebumikannya.

(Lihat Kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/144)

Ketiga, harus bagi muslim untuk mengurus jenazah bukan Islam atas sebab tidak ada perbezaan diantara kerabat dan bukan kerabat. Pendapat ini dinukilkan dalam penulisan Imam al-Syarwani:

أنه لا فرق بين القريب والاجنبي و يؤخذ من ذلك عدم الحرمة أيضا في اتباع جنازته لقريب أو أجنبي

Maksudnya: Tidak ada perbezaan diantara kerabat atau bukan kerabat dan ia turut digunakan kepada tidak haram juga bagi mengiringi jenazah bukan Islam sama ada kerabat atau bukan daripada kerabat.

(Rujuk Kitab Hawasyi Tuhfah al-Manhaj, 3/200; Kitab Hawasyi al-Syarwani, 3/200 )

Merujuk kepada tatacara pengurusan mayat bukan Islam yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, proses bedah siasat (post moterm) akan dilakukan oleh doktor yang bertugas sama ada sama atau berlainan agama. Selepas selesai proses bedah siasat (post moterm), mayat akan dijahit dan dibersihkan menggunakan air. Namun begitu, proses pengurusan mayat selanjutnya seperti memandikan, dipakaikan pakaian dan diletakkan ke dalam keranda sehingga jenazah dibawa ke perkuburan akan diserahkan kepada persatuan agama yang dipertangungjawab untuk menguruskannya. Maka tidak ada isu bagi kakitangan Muslim untuk menguruskan mayat bukan Islam kerana tangungjawab ini telah diamanahkan oleh kerajaan kepada persatuan agama yang terbabit.

(Rujuk Laman web www.myhealth.gov.my)

Begitu juga dari segi maklumat dan informasi yang diterima berkenaan program yang dianjurkan oleh pertubuhan NGO tersebut, kebanyakkan mayat tersebut masih mempunyai kerabat atau rakan seagama yang boleh menguruskan proses pengebumian. Malahan di dalam amalan agama Buddha sendiri, ahli keluarga digalakkan untuk memandikan dan memakaikan pakaian ke atas mayat sepertimana yang dinyatakan di dalam buku yang bertajuk “Tatacara lengkap pemakaman pengikut agama Buddha (A Guide to a Proper Buddhist Funeral):

Family members are encouraged to clean and dress the body of the deceased…because the body of the deceased is being handled gently with the greatest love and respect.

Maksudnya: ahli keluarga adalah digalakkan untuk membersihkan badan dan memakaikan pakaian kepada mayat..kerana tubuh badan mayat akan diuruskan berhati-hati dengan penuh kasih sayang dan hormat.

(Rujuk A Guide to a Proper Buddhist Funeral, m/s 10)

Bagi menjawab persoalan yang diajukan, khususnya bagi isu ini, hukum menguruskan mayat bukan Islam dengan mengemaskan mayat seperti menjahit semula dan membasuh darah selepas melakukan pembedahan bagi tujuan pembelajaran adalah harus. Namun proses lanjutan selepas itu seperti memandikan, memakaikan pakaian, memasukkan mayat ke dalam keranda (Coffining) adalah makruh. Begitu juga dielakkan daripada turut serta berarak menghantar jenazah ke perkuburan (Line-up Tribute for sending-off to Crematorium). Ini adalah selari sepertimana pendapat yang dinyatakan oleh sebahagian ulama’ yang berpendapat sedemikian dalam menguruskan mayat bukan Islam yang bukan daripada kalangan kerabat.

Tambahan pula, perbuatan ini merupakan perkara tasyabbuh kerana bersangkut-paut kepada ritual amalan keagamaan dan resam dalam tatacara pengebumian jenazah bagi agama Buddha. Maka atas sebab berikut adalah wajar kepada umat Islam untuk tidak melakukannya supaya tidak menjadi fitnah kepada masyarakat Islam dalam membenarkan I’tikad agama mereka.

WallahuA’lam.