Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

4.jpg

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti, maaf saya ingin bertanya, apakah hukum menyamakan tahlil dengan majlis pengkebumian bukan Islam?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Apabila meninggalnya seorang muslim itu, maka akan terputuslah segala amal kebajikannya kecuali tiga perkara. Tiga perkara tersebut adalah sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadis Nabi SWT:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila seseorang meninggal dunia, maka terputuslah segala amalnya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakan kedua orang tuanya”.

(Hadis riwayat Muslim, no. 1631)

Di atas sebab itu, kelaziman di dalam masyarakat Islam, ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga akan berkumpul bagi membaca al-Qur’an, surah Yaasin, berzikir, bertahlil dan sebagainya untuk menghadiahkan pahalanya kepada kaum kerabat atau muslim yang telah meninggal dunia. Kebiasaannya majlis ini dipanggil dengan nama majlis tahlil.

Tahlil bermaksud kalimah yang diucap berulang-ulang bagi memuji Allah SWT. Dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, jika diucapkan perkataan tahlil sudah pasti akan digambarkan sebuah majlis doa dan zikir kepada Allah SWT yang dibuat untuk mendoakan keampunan dan rahmat Allah SWT keatas jenazah.

(Rujuk pautan berikut http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2340-al-kafi-719-mayat-mendapat-manfaat-sedekah-orang-hidup)

Bagi menjawab soalan yang ditanyakan, bolehkah menyamakan majlis tahlil dengan majlis pengkebumian bukan Islam? Maka jawabnya adalah tidak boleh dan berdosa kerana tujuan majlis tahlil dibuat untuk menghadiahkan pahala kepada muslim yang telah meninggal dunia sahaja.

Bahkan dengan jelas bagi setiap Muslim dilarang untuk mendoakan keampunan kepada jenazah bukan Islam, walaupun ia adalah kaum kerabatnya:

Firman Allah SWT:

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

Maksudnya: “Tidak sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, memintakan ampun (kepada Allah SWT) untuk orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabatnya, sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka.

(Surah at-Taubah: 113)

WallahuA’lam.