Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ih124 17709312 5

Soalan: Apakah al-Qur’an dan al-Sunnah ada menyebutkan perihal kasyaf?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Definisi Kasyaf

Perkataan kasyaf adalah daripada bahasa Arab (كشف). Ibn Manzur berkata, “Kasyaf didefinisikan sebagai kamu mengangkat daripada sesuatu apa yang menutupinya atau melindunginya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/300)

Al-Jurjani pula berkata: “Kasyaf pada bahasa bererti mengangkat hijab dan pada istilah ialah sesuatu yang dicampak ke dalam hati dengan cara anugerah dari makna ghaibi dan perkara hakiki secara wujud dan syuhud.” (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 237)

Abu Nasr al-Sarraj mentakrifkan kasyaf sebagai menjelaskan apa yang menghalang daripada kefahaman seseorang, disingkapkan kefahaman tersebut kepada hamba seperti dia melihatnya dengan pandangan mata. (Lihat al-Luma’, hlm. 422)

Dalam Kamus Dewan, kasyaf diertikan sebagai penyingkapan rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati; mengkasyaf membuka hati. [1]

Ulama Sufi yang sebenar tidak menerima kasyaf ilmi atau dzauqi atau wujdani kecuali menepati Kitab dan Sunnah. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Abu Sulaiman al-Darani, “Boleh jadi jatuh pada hati aku satu perkara berkenaan dengan satu-satu kaum selama kaum beberapa hari, maka aku tidak menerima daripadanya (kasyaf) kecuali dengan dua saksi yang adil, iaitu al-Quran dan al-Sunnah.” (Lihat Tabaqat al-Sufiyyah, 1/76)

Inilah ketegasan ulama’ Sufi terdahulu dalam menjalani kehidupan dan ibadat. Apa jua yang berlaku pada diri mereka mestilah menepati al-Quran dan Sunnah.

Kasyaf dalam al-Qur’an dan al-Hadith

Kisah utama yang menjadi bukti wujudnya kasyaf ini adalah peristiwa yang berlaku antara Nabi Musa AS dan Nabi Khidir AS. Terdapat tiga persoalan Nabi Musa AS iaitu:

  • Kapal yang dirosakkan.
  • Remaja yang dibunuh.
  • Harta karun di bawah tembok.

Firman Allah SWT:

أ َمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا (79) وَأَمَّا الْغُلَامُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَا أَنْ يُرْهِقَهُمَا طُغْيَانًا وَكُفْرًا (80) فَأَرَدْنَا أَنْ يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِنْهُ زَكَاةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا (81) وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا (82)

Maksudnya: “Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat. Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur. Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya. Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".”

(Surah al-Kahfi: 79-82)

Menurut Imam al-Qusyairi: “Setelah berpisahnya Khidir dan Musa AS, hati Musa tidak tenang seakan-akan tidak bersetuju. Baginda pun segera membuang perasaan tersebut daripada hatinya dengan apa yang diperjelaskan kepadanya. Disingkapkan kepadanya akan rahsia tujuan Khidir yang merosakkan kapal bagi menyelamatkan dan mengekalkan ahlinya agar tidak menjadi mangsa raja yang suka merampas. Kekallah kapal tersebut kepada ahlinya. Ini adalah musibah iaitu kemarahan, (maka apa yang dilakukan itu) baik bagi keselamatan mereka.” (Lihat Lata’if al-Isyarat, 2/412)

Adapun dalam hadith, ianya terzahir sendiri pada diri Rasulullah SAW. Kasyaf yang dimiliki oleh Baginda SAW diterima sebagai mukjizat.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, “Iqamat telah dikumandangkan. Lalu Rasulullah SAW menghadapkan wajahnya kepada kami seraya bersabda:

أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ، وَتَرَاصُّوا، فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي

Maksudnya: "Dirikan saf-saf kamu dan rapatkannya. Sesungguhnya aku melihat kamu semua daripada belakang punggungku."

(Riwayat al-Bukhari, no. 719)

Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW bersabda:

أَخَذَ الرَّايَةَ زَيْدٌ فَأُصِيبَ، ثُمَّ أَخَذَهَا جَعْفَرٌ فَأُصِيبَ، ثُمَّ أَخَذَهَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ رَوَاحَةَ فَأُصِيبَ - وَإِنَّ عَيْنَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَتَذْرِفَانِ - ثُمَّ أَخَذَهَا خَالِدُ بْنُ الوَلِيدِ مِنْ غَيْرِ إِمْرَةٍ فَفُتِحَ لَهُ

Maksudnya: "Zaid membawa panji dan beliau gugur. Setelah itu panji diambil oleh Ja'far, lalu beliau gugur. Setelah itu, panji diambil oelh Abdullah bin Rawahah, kemudian beliau gugur. (Kedua mata Rasulullah SAW mengalirkan air mata). Kemudian panji diambil oelh Khalid bin al-Walid tanpa perintah. Lalu beliau memperoleh kemenangan."

(Riwayat al-Bukhari, no. 1246)

Kematian para Sahabat ini dikhabarkan oleh Rasulullah SAW awal sebelum kematian mereka lagi. Ini membuktikan adanya kasyaf pada Rasulullah SAW sebagaimana yang ditegaskan oleh Syeikh Abdul Qadir ‘Isa al-Syazili. (Lihat Haqa’iq ‘an al-Tasawwuf, m. 340-342)

Penutup

Kasyaf adalah termasuk dalam kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih. Sebarang kasyaf yang bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah baik kepada orang yang mendakwa memilikinya atau apa yang dikhabarkannya, hendaklah ditolak kerana boleh membawa kekeliruan.

Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ

Maksudnya: Ya Allah! Tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikanlah kami jalan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami jalan untuk menjauhinya.

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam agama ini. Amin.

[1] http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kasyaf