Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #97: TAUHID DI SISI AHLI SUFI

ih124 17709312 7

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan tauhid di sisi ahli Sufi?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Ahli Sufi yang mengikut landasan syarak adalah termasuk dalam golongan Ahli Sunnah wal Jama’ah. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Abd al-Qahir al-Baghdadi yang menggolongan ahli Sufi sebagai golongan keenam yang diiktiraf sebagai Ahli Sunnah wal Jama’ah. (Lihat al-Farq bayna al-Firaq, m. 302)

Hal ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Imam Abu al-Muzaffar al-Isfarayini. Menurut beliau, antara kelebihan Ahli Sunnah wal Jama’ah berbanding aliran lain adalah wujudnya ilmu tasawwuf yang jernih dan bersih daripada sebarang unsur bid’ah. Beliau juga menyebutkan bahawa Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami, seorang tokoh Sufi telah menghimpunkan biografi hampir seribu ahli Sufi, ucapan dan isyarat kesufian mereka yang mana menurut beliau adalah bersih daripada bid’ah seumpama Qadariyyah, Rafidah dan Khawarij. (Lihat al-Tabsir fi al-Din, m. 118).

Rumusan Akidah Ahli Sufi

Secara umumnya, ahli Sufi bersepakat menegaskan bahawa:

  • Allah SWT itu Maha Esa
  • Bersifat dengan sifat-sifat yang disifatkan-Nya sendiri.
  • Kalam Allah SWT adalah qadim
  • Beriman sepenuhnya dengan apa yang dijelaskan dalam al-Qur’an dan al-Hadith berkenaan perkara-perkara ghaib
  • Iman itu adalah gabungan kata-kata, amalan dan i’tiqad; barangsiapa yang meninggalkan amalan adalah fasik.
  • Iman boleh bertambah dengan amalan ketaatan dan berkurang dengan perbuatan maksiat. (Lihat al-Tasawwuf al-Islam al-Khalis, 28-29)

Abu Sa’id al-Kharraz, seorang ahli Sufi abad ke-3 Hijrah menyebutkan akidah golongan Sufi dengan katanya:

“Adapun fardhu yang wajib ialah engkau beriman kepada Allah. Engkau mengetahui, mengaku dan menyaksi bahawa tiada Tuahn melainkan Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bahawasanya Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin, Pencipta, Pembentuk Rupa , Pemberi rezeki, Dia yang menghidupkan dan mematikan, yang kepada-Nya kembali segala sesuatu.

Bahawasanya Muhammad itu adalah hamba Allah dan Rasul-Nya. Baginda telah membawa risalah kebenaran daripada Tuhan yang Maha Benar. Bahawasanya sekalian nabi itu adalah benar dan dengan kebenaranlah mereka telah menyampaikan rislah dan mereka juga telah berusaha dengan sekuat tenaga mereka untuk menyampaikan nasihat.

Bahawasanya syurga itu adalah benar, dan kebangkitan itu juga benar. Semua perkara terserah kepada Allah. Dialah yang mengampunkan sesiapa yang disukai-Nya, dan menyeksa sesiapa yang disukai-Nya.

Hendaklah semua yang disebutkan di sini menjadi i’tiqadmu secara zahir dengan diucapkan oleh lidah, tanpa syarak dan ragu lagi. Manakala hatimu pula menerimanya dengan tenang, tidak meragui segala yang telah engkau percayai dengan batinmu dan mengaku dengan lisanmu.

Juga tidak boleh engkau menentang segala pengajaran yang diturunkan oleh Allah atas lisan Nabi Muhammad SAW seperti meragui apa yang ditunjuk oleh Baginda daripada Allah. Tidak boleh juga menyimpang daripada jalan Nabi Muhammad SAW dan jalan para Sahabat Baginda serta para imam yang mendapat petunjuk daripadanya. Ini kerana mereka itu merupakan cermin dan contoh tauladan bagi orang ramai selepas mereka daripada golongan yang mendapat hidayah dan petunjuk daripada-Nya. Kemudian hendaklah menjadi pengikut para Tabi’in, kemudiannya para ulama setiap zaman, dengan menghimpunkan diri dan mengikuti jama’h kaum Muslimin, bertindak sepenuh ikhlas hanya kerana Allah semata-mata, tidak kerana sebab-sebab yang lain, supaya dengan itu menjadi sempurna keIslaman, keimanan dan ketauhidanmu kepada Allah SWT. (Lihat Kitab al-Sidq, m. 16)

Inilah yang disebutkan oleh Abu Sa’id al-Kharraz dan menjadi pegangan ahli Sufi pada zamannya. Imam al-Kalabazi, seorang tokoh Sufi terkenal telah menulis sebuah kitab bagi memahami mazhab ahli Sufi pada tiga kurun pertama Hijri. Pada bab Huraian Pandangan Mereka Berhubung Tauhid beliau menjelaskan:

“Para ulama’ Sufi bersepakat bahawa Allah itu Maha Esa, hanyasanya Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, sedia ada, Maha Mengetahui, Maha Berkuasa, Maha Hidup, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Perkasa, Maha Agung, Maha Mulia, Maha Besar, Maha Dermawan, Maha Pengasih, Maha Megah, Maha Abadi, Maha Awal, Tuhan, Tuan, Raja, Maha Pentadbir, Maha Pemurah, Maha Mengasihani, Maha Berkehendak, Maha Bijaksana, Maha Berkata-kata, Maha Pencipta, Maha Pemberi Rezeki, disifatkan dengan segala yang disifatkan oleh-Nya sendiri daripada sifat-sifat-Nya, dinamakan dengan segala yang dinamakan oleh-Nya sendiri.

Sentiasa sedia ada dengan nama-nama-Nya, sifat-sifat-Nya yang tidak menyerupai makhluk, dengan wajah daripada wajah-wajah yang tidak serupa zat-Nya dengan segala zat, begitu juga tidak serupa sifat-Nya dengan segala sifat, tidak menyamai apa pun pada-Nya daripada sifat-sifat sekelian makhluk dan menunjukkan penciptaan mereka diterima melebihi-Nya, ada sebelum sebelum segala sesuatu, tiada ada sedia ada selain-Nya, tiada Tuhan yang menyamai-Nya, tidak berjisim, tiada mirip, tidak berbentuk, bukan individu, bukan atom dan bukan sifat, tidak ada perhimpunan dan pemisahan pada-Nya, tidak bergerak, tidak diam, tidak berkurang, tidak bertambah, tidak ada pada-Nya bahagian, juzuk, anggota tubuh, tidak bersudut, tidak bertempat, tidak dihinggapi penyakit, tidak terikat dengan tahun, tidak dikelilingi masa, tidak ditentukan oleh isyarat, tidak diliputi tempat dan masa, tidak boleh disentuh, tidak mengasingkan diri, tidak menempati satu tempat, tidak diliputi oleh pemikiran tertentu, tidak dihijab oleh penutup-penutup, tidak dapat dicerap dengan penglihatan. “ (Lihat al-Ta’arruf li Mazhab Ahl al-Tasawwuf, m. 13)

Imam al-Qusyairi menjelaskan akidah ahli Sufi dengan menyatakan:

“Ketahuilah olehmu (moga Allah merahmatimu): Bahawasanya dalam kalangan para syeikh golongan Sufi membina pegangan mereka atas usul yang sahih dalam hal tauhid. Mereka menjaga akidah pegangan mereka daripada tersentuh unsur bid’ah. Mereka menerima dan patuh perkara yang mereka ambil daripada Salaf dan Ahli Sunnah berhubung persoalan tauhid…” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, m. 41)

Empat Martabat Tauhid Menurut Imam al-Ghazali

Imam al-Ghazali telah memberikan satu panduan yang amat baik bagi memahami tauhid di sisi ahli Sufi. Berikut adalah martabat Tauhid di sisi Imam al-Ghazali:

  • Menyebutkan dengan lidah (لا إله إلا الله) dan hatinya lalai atau mengingkarinya sebagaimana tauhid orang munafik.
  • Hatinya membenarkan makna lafaz sebagaimana orang awam Muslim membenarkannya. Ini merupakan i’tiqad orang awam.
  • Menyaksikan lafaz itu dengan jalan kasyaf melalui perantaraan cahaya kebenaran. Ini adalah maqam mereka yang hampir kepada-Nya. Ini kerana dia melihat semua perkara itu bermacam-macam tetapi dia melihat kepelbagaian itu daripada yang Maha Esa (al-Wahid) dan Maha Memaksa (al-Qahhar).
  • Tidak melihat wujud kecuali Wujud yang Satu. Inilah musyahadah orang-orang yang benar. Hal ini dinamakan oleh ahli sufi sebagai al-fana’ fi al-tauhid. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 4/245)

Apa yang difahami oleh Imam al-Ghazali ini bukanlah sebagaimana konsep “manusia bersatu dengan Allah SWT” atau Wahdatul Wujud yang telah difatwakan sebagai ajaran yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah wal Jama’ah di Wilayah-Wilayah Persekutuan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang telah bersidang pada 25 Mac 2015. (Lihat Himpunan Fatwa Wilayah Persekutuan 1987 - 2019, m. 168)

Kami berpendirian bahawa apa yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali ini tidak termasuk dalam kategori wujudiyyah mulhidah yang sesat, tetapi wujudiyyah muwahhidah yang tidak bersalahan dengan Ahli Sunnah wal Jama’ah sebagaimana yang telah diperincikan oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Tuhfah al-Raghibin.

(Adapun kaum wujudiyyah) maka adalah i’tiqadnya dan katanya ‘la ilaha illa’Llah’ yakni tiada wujudku hanya wujud Allah taala (yakni) bahawaku wujud Allah (demikianlah ) dii’tikad mereka itu pada makna kalimah yang mulia itu; dan lagi pula kata mereka itu: yakni bahawasanya Hak ta’ala tiada maujud melainkan di dalam kandungan segala makhluk (maka) sekelian makhluk pada i’tikad mereka itu wujud hak ta’ala dan wujud hak ta’ala wujud segala makhluk (maka) adalah mereka itu mengithbatkan keesaan hak ta’ala di dalam wujud makhluk yang banyak serta kata mereka itu ‘tiada maujud hanya Allah ta’ala…dan lagi kata mereka itu ‘kami dengan Allah ta’ala sebangsa dan suatu wujud’…(maka ) sekalian i’tiqad itu kufur; inilah i’tiqad wujudiyyah yang mulhid [ateis]….(syahdan) adalah wujudiyyah itu dua kaum (suatu) wujudiyyah yang muwahhid (kedua) wujudiyyah yang mulhid (maka) wujudiyyah yang muwahhid itu iaitu segala ahli sufi yang sebenarnya (dan) dinamai mereka itu (wujudiyyah) kerana adalah bahath dan perkataan dan I’tikad mereka itu pada wujud Allah ta’ala…” (Lihat Tuhfah al-Raghibin, m. 16-17)

Kesimpulan

Kami tutupkan perbahasan ini dengan kenyataan oleh Syeikh Abu al-Hasan al-Busyanji berkenaan tauhid (Lihat Hilyatul Aulia’, 10/379). Menurutnya, tauhid adalah hakikat bagi mengetahui dan mengenali-Nya sebagaimana Dia memperkenalkan diri-Nya kepada hamba-hamba-Nya kemudian Maha Kaya Allah SWT (tidak berhajat) kepada tiap-tiap selain-Nya.

Beliau menegaskan juga bahawa awal-awal iman itu didasarkan kepada akhirnya. Tidakkah engkau melihat bahawasanya perjanjian iman itu adalah dengan syahadah “Tiada Tuhan melainkan Allah” dan Islam itu didasarkan kepada mendirikan syari’at dengan ikhlas. Firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.”

(Surah al-Bayyinah: 5)

Jika diteliti daripada huraian para ulama’ Sufi ini, maka kita akan dapati intipati pada kalam yang panjang lebar tersebut, terhimpun pada Surah al-Ikhlas. Itulah dasar utama Tauhid bagi umat Islam yang wajar dihayati.

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ (4)

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya.”

(Surah al-Ikhlas: 1-4)

Menurut guru kami Almarhum Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, “Segala hal yang ditetapkan dalam surah ini merupakan penetapan aqidah Islam yang berdiri tegak di atas tauḥid, tanzih, dan taqdis (penyucian). Segala hal yang dinafikan dalam surah ini adalah bantahan terhadap orang-orang yang memiliki aqidah sesat, seperti kaum penyembah berhala yang mengatakan bahwa ada dua Tuhan di alam ini, iaitu Tuhan cahaya dan Tuhan kegelapan. Kaum Nasrani yang mengatakan adanya triniti, kaum Sa’ibah yang menyembah matahari dan bintang-bintang, kaum Yahudi yang mengatakan bahawa ‘Uzair adalah anak Allah dan kaum musyrikin yang mengatakan bahawa para malaikat adalah puteri-puteri Allah, semua dibantah oleh surah ini.” (Lihat Tafsir al-Munir, 30/467)

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada kita dan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT melalui pendekatan akidah yang sahih di sisi Ahli Sunnah wal Jama’ah dan menghindarkan kita daripada kefahaman menyeleweng yang mempergunakan nama tasawwuf.