Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #133 : ADAKAH FITRAH IALAH AGAMA ISLAM ITU SENDIRI?

 

AFKAR 133

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah boleh kita katakan bahawa fitrah itu ialah agama Islam itu sendiri berdasarkan hadis yang menyatakan bahawa setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu dengan maksud mereka beragama Islam?                               

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Fitrah ialah kejadian asal manusia yang diciptakan oleh Allah SWT. Ia bukanlah agama Islam itu sendiri dengan maksud ajaran agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Kedua-duanya adalah perkara yang berbeza.

Walau bagaimanapun, jika dikatakan bahawa ajaran Islam bersesuaian dengan fitrah manusia, maka pernyataan tersebut tepat dan benar. Maka dari sudut ini boleh dikatakan bahawa Islam itu merupakan fitrah dengan maksud ia meraikan fitrah yang menjadi keperluan bagi seseorang manusia dan menekan kesempurnaan diri manusia daripada sudut zahir dan batinnya.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Terdapat ayat al-Quran dan hadis yang dijadikan rujukan berkaitan persoalan fitrah ini. Antaranya ialah firman Allah SWT:

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ

Maksudnya: (Turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya.

Surah al-Rum: 30

Begitu juga hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Riwayat al-Bukhari: 1385

Berdasarkan nas-nas di atas, sebahagian golongan menyangka dan tersalah faham bahawa fitrah itu ialah  agama Islam itu sendiri. Hal ini bagi mereka bermaksud, setiap anak dilahirkan itu mereka dikira telah beragama Islam sejak lahir. Kemudian, kedua ibu bapanyalah yang menukarkan agama anak mereka daripada agama Islam yang asalnya ada pada diri anak tersebut sama ada kepada agama Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Walau bagaimanapun, sangkaan tersebut jelas tidak tepat. Hal ini dapat dilihat dalam beberapa sudut. Antaranya ialah:

  • Islam merupakan ajaran dan hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Jika dikatakan fitrah ialah agama Islam itu sendiri, maka ia bukan perkara yang sama. Selain itu, tiada nas yang menunjukkan secara jelas bahawa fitrah merupakan Islam dengan maksud ini.[1]
  • Jika kita andaikan bahawa fitrah ialah Islam itu sendiri, maka tidak akan dituntut ke atas orang yang telah baligh untuk mengucap kalimah syahadah dan membenarkan kebenaran Islam kerana mereka sudah pun memeluk agama Islam. Justeru itu juga tidak akan berlaku khilaf terhadap anak golongan musyrikin sama ada mereka masuk Syurga ataupun tidak. Namun hakikat adalah sebaliknya, di mana seseorang yang telah baligh dituntut melakukan perkara tersebut untuk menjadikan mereka sebagai seorang muslim. Maka, sudah tentu sebelum itu dia masih belum dianggap sebagai muslim sehingga perlu dituntut untuk memeluk Islam. Begitu juga, berlaku khilaf terhadap status anak golongan musyrikin seperti yang berlaku dalam para sahabat RAnhum.[2]
  • Terdapat hadis-hadis lain juga yang menerangkan hadis di atas. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad-nya:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، حَتَّى يُعْرِبَ عَنْهُ لِسَانُهُ، فَإِذَا أَعْرَبَ عَنْهُ لِسَانُهُ، إِمَّا شَاكِرًا، وَإِمَّا كَفُورًا

Maksudnya: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah sehingga dia mampu untuk menjelaskannya dengan lisannya. Apabila dia menjelaskannya dengan lisannya maka sama ada dia menjadi orang yang bersyukur(muslim) atau orang yang kufur.

Riwayat Ahmad: 14805

Daripada hadis ini difahami bahawa tidak dihukum ke atas anak yang lahir sama ada sebagai Islam atau kufur sehingga dia mampu berfikir untuk memilih antara kedua-duanya. Jika seseorang itu diberi pilihan antara Islam dan kekufuran, maka sudah tentu dia bukan berada dalam salah satu daripada dua pilihan tersebut. Ini kerana hadis di atas menjelaskan keputusan seseorang itu untuk memilih iman atau kufur setelah tiba umur baligh bagi memilih kedudukan imannya.[3]

Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah bahawa fitrah bukanlah agama Islam itu sendiri. Bahkan ia adalah satu keadaan asal kejadian manusia yang diciptakan Allah SWT sebelum seseorang itu mampu menyatakan sama ada dia beriman kepada Allah SWT ataupun dia kufur kepada-Nya. Jika dia beriman kepada Allah SWT dan membenarkan kebenaran Islam, barulah dia dikira sebagai seorang muslim. Jika tidak, maka dia adalah seorang yang kufur.

Oleh yang demikian, fitrah secara ringkasnya bermaksud asal kejadian manusia yang Allah SWT jadikan manusia di atasnya, yang dengan kesuciannya manusia mampu dan bersedia untuk menerima kebenaran Islam.[4]

Oleh itu, jika dikatakan ajaran Islam bersesuaian dengan fitrah manusia, maka pernyataan tersebut sangat tepat dan benar. Hal ini kerana ajaran Islam meraikan apa yang menjadi keperluan bagi seseorang manusia serta menekan kesempurnaan diri manusia daripada sudut zahir dan batinnya.[5] Maka dari sudut ini boleh dikatakan bahawa Islam ialah fitrah dengan maksud ia bersesuaian dengan asal kejadian manusia.[6]

WaAllahu a’lam.

 

 RUJUKAN

[1] ونحن نعرف أنّ الإسلام: هو عبارة عن مجموعة من الأحكام والمفاهيم والتعاليم التى أنزلها الله إلى نبيّه عليه السلام. فإن قصدوا أنّ الفطرة هي عين الإسلام، وقالوا: إنّ هذه هي الفطرة التي يقصدونها وأنّها عين الإسلام بهذا المعنى، فقولهم لا دليل عليه من هذا الحديث. (الشرح الكبير على العقيدة الطحاوية، دار الذخائر.2014. ج1، ص 89)

[2] لأنّ الفطرة لو كانت هي الإسلام لما كلّف الإنسان بأن يسلم بعد رشده وتمييزه لأنّ الفرض أنّه مسلم ولما حصل خلاف في أولاد المشركين: أنّهم ما حكمهم؟ ولما كان الحال ما قبل التمييز مغايرا للحال لما بعده، ولكن جميع ذلك ثابت بالأحاديث. أمّا أنّ الإنسان بعد رشده يؤمر بالإسلام، فهو لا يحتاج إلى دليل. (الشرح الكبير على العقيدة الطحاوية، دار الذخائر.2014. ج1، ص 89)

[3] وهذا دليل على أنّه لا يحكم عليهم بالإسلام وهم صغار ولا بالإيمان، وإن اختار الوحد بين أمرين، فإنّه يكون عاريا عنهما، ويكون في حالة ثالثة غيرهما. (الشرح الكبير على العقيدة الطحاوية، ج1، ص91)

[4] ‘الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْها‘ خلقهم عليها وهي قبولهم للحق وتمكنهم من إدراكه، أو ملة الإِسلام فإنهم لو خلوا وما خلقوا عليه أدى بهم إليها. (أنوار التنزيل وأسرار التأويل، ج 4، ص 206)

[5] فيمكن أن يقال من هذا الوجه: إنّ الإسلام هو الفطرة بمعنى يأخذ بالخلقة التى هي الفطرة إلى أعلى إمكاناتها. (الشرح الكبير على العقيدة الطحاوية، دار الذخائر.2014. ج1، ص94-95)

[6] والمراد بالفطرة في قوله- تعالى-: فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ الملة. أى: ملة الإسلام والتوحيد.أو المراد بها: قابلية الدين الحق، والتهيؤ النفسي لإدراكه. والأصل فيها أنها بمعنى الخلقة. (التفسير الوسيط للقرآن الكريم، ج 11، ص 83)


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+