Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #139: ADAKAH MALAIKAT MEMPERSOALKAN ALLAH DALAM PEMILIHAN MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH DALAM AYAT 30, SURAH AL-BAQARAH?

BENARKAH_MALAIKAT_MEMPERSOALKAN_ALLAH_DALAM_PEMILIHAN_MANUSIA_SEBAGAI_KHALIFAH_DALAM_AYAT_30_SURAH_AL-BAQARAH.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan. Kita tahu bahawa malaikat diciptakan dalam keadaan sentiasa patuh dan taat kepada Allah SWT dan tidak pernah mempersoalkan setiap suruhan daripada-Nya. Namun begitu, adakah malaikat mempersoalkan Allah SWT dalam pemilihan manusia sebagai khalifah di muka bumi seperti yang disebutkan dalam ayat 30, surah al-Baqarah?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Pertanyaan malaikat tersebut bukanlah bertujuan untuk mempersoalkan atau mempertikaikan ketentutan Allah, bahkan ia terbit daripada sifat kehambaan mereka dan ketaatan sepenuhnya kepada Allah. Ramai ulama tafsir telah menjelaskan perkara ini bahawa malaikat bertanya kepada Yang Maha Mengetahui untuk mengetahui hikmah disebalik apa yang tidak ilmu tentangnya.

Imam Ibn Kathir juga menyatakan persoalan itu terbit daripada perasaan mereka yang merasakan bahawa ada kekurangan daripada mereka sendiri dalam beribadat dan mentaati Allah SWT.  Justeru, jauh sekali andaian dan dakwaan yang mengatakan malaikat mempertikaikan ketentuan Allah SWT dalam hal ini.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT menciptakan malaikat dalam keadaan sentiasa beribadat kepada-Nya dan taat serta patuh terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka. Firman Allah SWT:

لاَ يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya: Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

(Surah al-Tahrim: 6)

Berkaitan ayat 30, surah al-Baqarah yang ditanyakan dalam soalan di atas yang dilihat seolah-olah malaikat mempersoalkan Allah dalam hal tersebut, ramai ulama tafsir telah memberikan penerangan yang jelas tentang persoalan ini.

Antaranya Imam al-Baydhawi menyebutkan bahawa ia merupakan satu reaksi ketakjuban daripada para malaikat dan juga satu bentuk pertanyaan seseorang yang tidak mengetahui kepada siapa yang lebih mengetahui tentang sesuatu perkara. Hal ini sama seperti situasi seorang murid yang bertanya kepada gurunya untuk mengetahui apa yang mereka tidak tahu. Justeru, ia bukanlah satu tindakan mempersoalkan atau membantah kepada Allah SWT serta bukan juga disebabkan rasa cemburu mereka terhadap kelebihan manusia. [1] Maha suci Allah SWT yang telah mencipta mereka dalam keadaan yang lebih mulia dan jauh sekali daripada apa yang disangkakan tersebut seperti firman Allah SWT: 

بَلْ عِبادٌ مُكْرَمُونَ لاَ يَسْبِقُونَهُ بِالْقَوْلِ وَهُمْ بِأَمْرِهِ يَعْمَلُونَ

Maksudnya: Bahkan (mereka iaitu malaikat-malaikat) ialah hamba-hambaNya yang dimuliakan. Mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang diperintahkanNya.

(Surah al-Anbiya’: 25-26)

Hal ini ditegaskan juga oleh Imam Ibn Kathir bahawa soalan daripada malaikat tersebut bertujuan untuk bertanyakan tentang hikmah pelantikan manusia sebagai khalifah di bumi dan pertanyaan bagi diri mereka bahawa adakah ia disebabkan oleh kekurangan daripada mereka sendiri dalam mentaati dan beribadat kepada-Nya. Kata beliau:

فَقَالُوا: {أَتَجْعَلُ فِيهَا} الْآيَةَ] وَإِنَّمَا هُوَ سُؤَالُ اسْتِعْلَامٍ وَاسْتِكْشَافٍ عَنِ الْحِكْمَةِ فِي ذَلِكَ، يَقُولُونَ: يَا رَبَّنَا، مَا الْحِكْمَةُ فِي خَلْقِ هَؤُلَاءِ مَعَ أَنَّ مِنْهُمْ مَنْ يُفْسِدُ فِي الْأَرْضِ وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ، فَإِنْ كَانَ الْمُرَادُ عِبَادَتُكَ، فَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ، أَيْ: نُصَلِّي لَكَ كَمَا سَيَأْتِي، أَيْ: وَلَا يَصْدُرُ مِنَّا شَيْءٌ مِنْ ذَلِكَ، وَهَلَّا وَقَعَ الِاقْتِصَارُ عَلَيْنَا؟ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى مُجِيبًا لَهُمْ عَنْ هَذَا السُّؤَالِ: {إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ} أَيْ: إِنِّي أَعْلَمُ مِنَ الْمَصْلَحَةِ الرَّاجِحَةِ فِي خَلْقِ هَذَا الصِّنْفِ عَلَى الْمَفَاسِدِ الَّتِي ذَكَّرْتُمُوهَا مَا لَا تَعْلَمُونَ أَنْتُمْ

Maksudnya: Dalam ayat 30, surah al-Baqarah malaikat bertanya kepada Allah SWT tersebut adalah soalan untuk mendapatkan pengetahuan dan hikmah pada perkara tersebut. Mereka (malaikat) berkata, wahai Tuhan kami, apa hikmah disebalik memilih manusia sebagai khalifah sedangkan ada dalam kalangan mereka melakukan kerosakan di bumi dan menumpahkan darah. Jika tujuannya untuk beribadat kepada-Mu, sesungguhnya kami sentiasa bertasbih dan menyucikan-Mu (menafikan sebarang kekurangan) iaitu kami sentiasa beribadah kepada-Mu. Oleh itu, adakah kekurangan pada ibadah yang telah kami laksanakan? Oleh demikian, Allah SWT menjawab kepada mereka tentang soalan ini dengan berfirman, “Aku lebih mengetahui daripada apa yang kamu ketahui.” Ini bermaksud Allah SWT lebih mengetahui maslahah yang lebih besar dalam menjadikan manusia ini berbanding kerosakan yang disebutkan oleh para malaikat yang tidak diketahui oleh mereka.[2] (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1:215)

Oleh yang demikian, jelas kepada kita bahawa bukanlah soalan daripada malaikat tersebut untuk mempersoalkan Allah SWT dalam urusan yang telah diputuskan oleh-Nya. Bahkan ia lahir daripada sifat kehambaan malaikat kepada Allah SWT untuk bertanya tentang hikmah kepada Yang Maha Mengetahui dan mengiktirafkan kelemahan dan kekurangan mereka dalam mentaati-Nya.

Dalam hal ini menurut al-Akhfash, malaikat bertanyakan sedemikian kerana mereka tidak mahu wujudnya golongan yang ingkar kepada Allah SWT sepertimana golongan jin yang pernah menduduki bumi dan mereka mengingkari perintah Allah SWT. Kata beliau:

فلم يكن ذلك انكارا منهم على ربهم، انما سألوا ليعلموا، وأخبروا عن أنفسهم أنهم يُسَبِّحون ويُقَدِّسون. أو قالوا ذلك لانهم كرهوا أَنْ يُعْصى الله، لان الجن قد كانت أمرت قبل ذلك فعصت.

Maksudnya:  Persoalan daripada malaikat itu bukan bermakna mereka ingkar kepada ketentuan Allah SWT. Mereka bertanya untuk mengetahui perkara yang mereka tiada ilmu tentangnya dan menjelaskan keadaan mereka yang sentiasa bertasbih dan mensucikan ALLAH SWT atau mereka bertanya kerana mereka tidak mahu ada golongan yang bermaksiat kepada Allah SWT. Ini kerana jin pernah diperintah seperti itu sebelum ini, tetapi mereka ingkar kepada Allah SWT .[3] (Rujuk Maaniy al-Quran, 1:62)

Hal ini juga dapat dilihat dalam tafsir-tafsir yang seperti Tafsir Bayan al-Maaniy bahawa malaikat telah melihat kerosakan yang dilakukan jin di muka bumi. Oleh yang demikian, apabila Allah SWT ingin menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi, mereka menyangka manusia akan melakukan hal yang sama seperti jin. Justeru soalan mereka tersebut adalah reaksi terkejut dan takjub mereka dan bukan untuk mempersoalkan ketentuan Allah SWT. Ini kerana mempertikaikan ketentuan Allah SWT itu dosa besar yang tidak dilakukan oleh malaikat. [4]

Adapun hikmah Allah SWT menyebutkan hal itu kepada malaikat adalah supaya mereka dapat mengetahui hikmah di sebalik pelantikan manusia sebagai khalifah di bumi. Syeikh al-‘Aaniy dalam tafsirnya, Bayan al-Maaniy berkata:

وكان الحكمة من مخاطبتهم بذلك وهو غني عن المشورة ليسألوا هذا السؤال ويجابوا بما أجيبوا به فيعرفوا الحكمة من استخلافهم قبل كونهم

Maksudnya: Hikmah daripada pemberitahuan Allah SWT kepada malaikat tentang pelantikan manusia sebagai khalifah sedangkan Allah SWT tidak perlu sama sekali untuk meminta pandangan mereka adalah supaya mereka bertanya dan dijawab persoalan mereka itu, lalu mereka akan mengetahui hikmah pelantikan tersebut sebelum dijadikan hal yang sebenarnya.[5] (Rujuk Bayan al-Maaniy, 5:23)

Kesimpulan

Oleh yang demikian, persoalan malaikat tentang pelantikan manusia sebagai khalifah di bumi dalam ayat 30, surah al-Baqarah bukanlah untuk mempersoal atau mempertikaikan ketentuan Allah SWT, bahkan ia terbit daripada sifat kehambaan dan ketaatan mereka sepenuhnya kepada Allah SWT. Malaikat bertanya tentang perkara yang tidak ada ilmu tentangnya kepada Yang Maha Mengetahui untuk mengetahui hikmah di sebalik perkara tersebut serta tidak mahu wujud ada golongan yang mengingkari Allah SWT seperti yang pernah dilakukan oleh golongan jin sebelum itu.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1]

قالُوا أَتَجْعَلُ فِيها مَنْ يُفْسِدُ فِيها وَيَسْفِكُ الدِّماءَ تَعَجُبٌ من أن يستخلف لعمارة الأرض وإصلاحها من يفسد فيها، أو يستخلف مكان أهل الطاعة أهل المعصية، واستكشاف عما خفي عليهم من الحكمة التي بهرت تلك المفاسد وألغتها، واستخبار عما يرشدهم ويزيح شبهتهم كسؤال المتعلم معلمه عما يختلج في صدره، وليس باعتراض على الله تعالى جلت قدرته، ولا طعن في بني آدم على وجه الغيبة، فإنهم أعلى من أن يظن بهم ذلك لقوله تعالى: بَلْ عِبادٌ مُكْرَمُونَ لاَ يَسْبِقُونَهُ بِالْقَوْلِ وَهُمْ بِأَمْرِهِ يَعْمَلُونَ.

Al-Baydhawi, Nasiruddin, 1418h, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, Dar Ihya al-Turath al-‘Arabiy, jld. 1, hlmn. 68.

[2] Ibn Kathir, Abu al-Fida Ismail Ibn Umar, Tafsir al-Quran al-‘Azim, Dar al-Tiybah, Beirut, jld. 1, hlmn. 215.

[3] Al-Akhfash, Abu al-Hasan al-Majasyi’i, 1990, Maaniy al-Quran, Maktabah al-Khanji, Kaherah, jld. 1, hlmn. 62.

[4]

ولا يقال من أين علموا أن من يستخلفهم الله في أرضه يفسدون فيها إذ لا يعلم الغيب إلا الله، لأنهم لما رأوا إفساد الجن وقتل بعضهم بعضا في الأرض وان الله تعالى يريد استخلافهم بهذا الخليفة ظنوا أنهم يقتفون أثرهم، لأن الله تعالى ألهمهم ذلك كما هو ثابت في علمه الأزلي، الاستفهام على طريق التعجب لا الاعتراض، فلا دليل فيه على عدم عصمة الملائكة، لأن الاعتراض على الله من أعظم الذنوب.

Al-‘Aani, Abd al-Qadir Ibn Mulla Hawish, 1965, Tafsir Bayan al-Maaniy, Matba’ah al-Taraqqi, Damsyiq, jld. 5, hlmn. 23.

[5] Al-‘Aani, Abd al-Qadir Ibn Mulla Hawish, 1965, Tafsir Bayan al-Maaniy, Damsyiq, Matba’ah al-Taraqqi, jld. 5, hlmn. 23.