Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #1: Apa Yang Boleh Dibuat Bila Ada Ahli Keluarga Non-Muslim Meninggal Dunia?

Soalan: Saya baru memeluk Islam. Apa yang saya boleh boleh buat jika ada keluarga saya yang non Muslim meninggal dunia?

Jawapan:

Islam amat menitikberatkan hubungan yang harmoni sesama manusia walaupun berlainan agama dan bangsa. Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik untuk kita teladani.

1. Memandikan, Mengkafankan dan Mengebumikan Jika Perlu

Disebutkan dalam sebuah hadith Ali bin Abi Talib telah bertemu Rasulullah SAW dan beliau mengkhabarkan tentang kematian Abu Talib. Baginda SAW bersabda:

«اذْهَبْ فَوَارِهِ». قَالَ: إِنَّهُ مَاتَ مُشْرِكًا. قَالَ: «اذْهَبْ فَوَارِهِ». فَلَمَّا وَارَيْتُهُ رَجَعْتُ إِلَيْهِ، فَقَالَ لِي: «اغْتَسِلْ»
Maksudnya: “Pergilah dan kebumikannya” Aku berkata: “Sesungguhnya dia mati dalam keadaan musyrik.” Nabi berkata: “Pergilah dan kebumikannya” Setelahmana aku mengebumikannya, aku kembali kepada Baginda. Maka Baginda berkata kepadaku, “Mandilah.”
(Riwayat al-Nasa’ie, no. 190; Ahmad, no. 759)

Dalam riwayat yang lain di dalam Musnad Ahmad (no. 1074), al-Suddi yang merupakan perawi hadith tersebut menyebutkan: “Dan adalah Ali RA selepas memandikan jenazah, beliau akan mandi.” Bahkan Nabi SAW sendiri memberikan jubahnya untuk dijadikan kain kafan bagi Abdullah bin Ubay ibn Salul, seorang munafik pada zamannya. Daripada Jabir bin Abdullah RAnhuma berkata:

لَمَّا كَانَ يَوْمَ بَدْرٍ أُتِيَ بِأُسَارَى، وَأُتِيَ بِالعَبَّاسِ وَلَمْ يَكُنْ عَلَيْهِ ثَوْبٌ، «فَنَظَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَهُ قَمِيصًا، فَوَجَدُوا قَمِيصَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أُبَيٍّ يَقْدُرُ عَلَيْهِ، فَكَسَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاهُ، فَلِذَلِكَ نَزَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَمِيصَهُ الَّذِي أَلْبَسَهُ» قَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ كَانَتْ لَهُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يُكَافِئَهُ
“Ketika Perang Badar, tahanan perang dibawakan termasuk al-Abbas yang tidak berpakaian. Nabi SAW mencari-cari pakaian untuknya dan mendapati jubah Abdullah bin Ubai sesuai dengannya. Maka Nabi memberikan jubah itu kepada al-Abbas. Oleh itulah Nabi SAW melepaskan jubah yang dipakainya (untuk dijadikan kain kafan jenazah Abdullah bin Ubai). Ibn ‘Uyainah berkata: ‘Dia (Abdullah bin Ubai) telah melakukan sesuatu yang membuatkan Nabi SAW suka untuk memberikannya ganjaran.”
(Riwayat al-Bukhari, 3008)

Oleh itu, Mazhab Syafie membolehkan orang Islam untuk memandikan, mengkafankan dan mengebumikan jenazah bukan Islam. [Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 1/628; Al-Hawi al-Kabir, 3/19.]

2. Mengiringi Jenazah Jika Perlu

Kami cenderung untuk membenarkannya berdalilkan athar para Sahabat Nabi SAW dan juga tabi’en Radhiallahu ‘anhum. Antaranya:

  1. Sebahagian para sahabat pernah mengiringi jenazah ibu al-Harith bin Abi Rabi’ah yang mana beliau adalah seorang nasrani (kristian). Ini berdasarkan sebuah riwayat oleh al-Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani di dalam kitabnya, al-Aathar (2/178) dan ianya juga adalah zahir dari pendapat al-Imam Abu Hanifah Rahimahullah:

أَنَّ الْحَارِثَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ  مَاتَتْ أُمُّهُ النَّصْرَانِيَّةُ، فَتَبِعَ جَنَازَتَهَا فِي رَهْطٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَ مُحَمَّدٌ: لَا نَرَى بِاتِّبَاعِهَا بَأْسًا، إِلَّا أَنَّهُ يَتَنَحَّى نَاحِيَةً عَنِ الْجَنَازَةِ، وَهُوَ قَوْلُ أَبِي حَنِيفَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ

Maksudnya: Sesungguhnya al-Harith bin Rabi’ah telah kematian ibunya seorang nasrani. Maka diikuti jenazahnya sekumpulan dari sahabat Nabi . Telah berkata Muhammad al-Syaibani: “Aku tidak melihatnya (mengikuti jenazah) sebagai suatu kesalahan kecuali jika ianya memberi ruang satu sudut daripada jenazah dan ianya adalah pendapat Abu Hanifah RA.

  1. Telah berkata al-Sya’bi Rahimahullah:

مَاتَتَ أُمُّ الْحَارِثِ بْنِ أَبِي رَبِيعَةَ، وَكَانَتْ نَصْرَانِيَّةً، فَشَيَّعَهَا أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَ الثَّوْرِيُّ فِي بَعْضِ الْحَدِيثِ: إِنَّهُ كَانَ يُؤْمَرُ أَنْ يَمْشِيَ أَمَامَهَا

Maksudnya: Telah meninggal dunia ibu kepada al-Harith bin Abi Rabi’ah, yang mana ibunya itu adalah seorang nasrani (kristian). Maka telah mengiringi sahabat-sahabat Nabi . Telah berkata al-Thauri Rahimahullah dalam sebahagian hadith: “Sesungguhnya mereka diarahkan berjalan dihadapan (jenazah tersebut)”.
Musannaf Abdul Razak al-Son’ani (9926)

Begitu juga dengan riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (11842) namun dengan sidikit lafaz yang berbeza namun membawa maksud yang sama.

  1. Daripada Abi Wael, telah berkata beliau:

مَاتَتْ أُمِّي وَهِيَ نَصْرَانِيَّةٌ فَأَتَيْتُ عُمَرَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ: ارْكَبْ دَابَّةً وَسِرْ أَمَامَهَا.

Maksudnya: Telah meninggal dunia ibuku dan beliau adalah seorang nasrani (kristian). Maka aku mendatangi Umar RA dan memberitahunya. Maka telah berkata Umar RA: “Ambillah kenderaan dan berjalanlah dihadapannya (jenazah tersebut).
Musannaf Ibn Abi Syaibah (11844)

  1. Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkannya di dalam kitabnya al-Majmu’ bahawa al-Imam al-Syafi’e Rahimahullah di dalam Mukhtasar al-Muzani dan juga ashab-ashab yang lain mengatakan dibolehkan bagi seorang muslim untuk mengiringi jenazah kerabatnya yang kafir dan begitu juga menziarahi kubur mereka. [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, 5/144]
  1. Begitu juga pendapat yang membenarkan untuk mengiringi jenazah bukan Islam adalah berdasarkan qiyas kepada dibenarkan untuk mengiringi jenazah kerabat yang bukan Islam. Ini sepertimana yang telah dinukilkan oleh al-Imam Shamsuddin al-Ramli Rahimahullah di dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj. Beliau menyebut termasuk di dalam dibenarkan untuk mengiringi jenazah bukan Islam termasuklah jiran tetangga yang bukan Islam, maula (hamba) dan ianya diqiyaskan dengan keharusan menziarahi mereka. [Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, 3/23]

3. Menghadiri Majlis Pengebumian

Menghadiri pengebumian sahabat-sahabat atau ahli keluarga yang tidak memeluk Islam dan tidak memusuhi Islam, adalah dibolehkan dan tidak ada larangan padanya. Qiyas al-aula bagi perkara ini adalah jika memandikan, mengkafankan dan mengebumikan jenazah bukan Muslim pun dibolehkan olah syarak, maka sekadar menghadiri majlis pengebumian bukan Muslim, semestinya tidak menjadi satu kesalahan.

Nasihat kami kepada yang berhadapan dengan situasi ini adalah:

  1. Tidak beri'tikad untuk membenarkan agama berkenaan.
  2. Tidak terbabit dalam upacara yang berkaitan dengan agama mereka kerana sesetengah majlis kematian bagi bukan Islam terdapat upacara-upacara yang berkaitrapat dengan amalan keagamaan.
  3. Bagi mereka yang ada pertalian dengan non Muslim seperti saudara baru, rakan taulan, jiran tetangga dan sebagainya, kami syorkan agar dizahirkan akhlak Islam dan menjadi jurudakwah dengan memperlihatkan keindahan Islam itu sendiri.