Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #536 : FATIHAH IMAM TIDAK BERTAJWID

 

 

Soalan: Adakah makmum perlu mufaraqah sekiranya bacaan al-Fatihah imam tidak bertajwid? Bagaimanakah cara mufaraqah yang betul? Perlukah makmum takbiratul ihram semula?

Jawapan:

Tajwid dalam bacaan adalah amat penting. Ini kerana firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً

Maksudnya: Dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".

(Surah al-Muzammil: 4)

Salah satu makna tartil adalah bertajwid. Walaupun begitu para fuqaha kebanyakannya berpendapat membaca al-Quran sekalipun terdapat kesilapan tajwid tetapi tidak mengubah makna maka hukumnya tidaklah membatalkan solat. Akan tetapi hendaklah dicari imam yang fasih bacaan dan betul tajwidnya. Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِى الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِى السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِى الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِناً

Maksudnya: Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam hadith, jika dalam hadith mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya di kalangan mereka.

Riwayat Muslim (613)

Antara syarat imam ialah seorang yang qari sebaliknya jika ia seorang ummi sedangkan makmumnya seorang qari, maka adalah makruh. Yang dimaksudkan dengan ummi ialah seorang yang tidak teliti bacaan fatihahnya sehingga mencacatkan bacaannya seperti tercicir huruf, syaddah dan sebagainya. Walau bagaimanapun jika kedua-duanya sama sahaja bolehlah setiap orang menjadi imam kepada yang lainnya. Cara bermufaraqah adalah berniat berpisah daripada mengikuti imam dan tidak perlu mengangkat takbir. 

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefasihan dalam membaca al-Quran dan menerima ibadat solat kita.