Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #313 : HUKUM MEMANDULKAN KUCING

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 313 (3 JULAI 2016 M / 28 RAMADHAN 1437 H)

SOALAN:

Salam tuan..

Ingin memohon penjelasan tentang hukum memandulkan/kasi kucing peliharaan kerana sekarang saya memiliki 6 ekor kucing. Ada yang berkata harus tapi ada juga yg kata haram. Saya keliru. Mohon penjelasan tuan mufti agar saya tidak membuat keputusan yg salah dan berdosa.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Hukum memandulkan haiwan yang tidak dimakan ialah haram dalam mazhab al-Shafie. Dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam Majmu’ Sharh Muhazzab (6/177):

 

قَالَ الْبَغَوِيّ وَالرَّافِعِيُّ لَا يَجُوزُ خِصَاءُ حَيَوَانٍ لَا يُؤْكَلُ لَا فِي صِغَرِهِ وَلَا فِي كِبَرِهِ قَالَ وَيَجُوزُ خِصَاءُ الْمَأْكُولِ فِي صِغَرِهِ لِأَنَّ فِيهِ غَرَضًا وَهُوَ طِيبُ لَحْمِهِ وَلَا يَجُوزُ فِي كِبَرِهِ وَوَجْهُ قَوْلِهِمَا أَنَّهُ دَاخِلٌ فِي عُمُومِ قَوْله تَعَالَى إخْبَارًا عَنْ الشَّيْطَانِ (وَلآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خلق الله) فَخَصَّصَ مِنْهُ الْخِتَانَ وَالْوَسْمَ وَنَحْوَهُمَا وَبَقِيَ الْبَاقِي دَاخِلًا فِي عُمُومِ الذَّمِّ وَالنَّهْيِ

Maksudnya: Telah berkata al-Baghawi dan al-Rafie bahawa tidak boleh memandulkan bintang yang tidak dimakan, sama ada semasa kecil atau dewasa. Mereka juga berkata bahawa harus memandulkan binatang yang boleh dimakan ketika kecilnya kerana untuk mendapatkan daging yang bagus, tetapi tidak boleh ketika dewasanya. Sudut pandagan kedua-dua syeikh ini sebenarnya terangkum dalam keumuman firman Allah Taala yang mengkhabarkan perihal hasutan syaitan: “Aku akan menyuruh mereka untuk mengubah ciptaan Allah” (Surah al-Nisa’, 4:119). Kemudian dikhaskan khitan haiwan dan menanda badan menggunakan besi panas, dan seumpama keduanya, maka yang berbaki termasuk dalam perbuatan terkutuk dan larangan.

Sebaiknya kami mencadangkan agar dilepaskan sahaja kucing-kucing yang tidak diperlukan ke kawasan yang sesuai (tidak memudaratkan manusia dan kucing tersebut) atau diiklankan untuk diberi kepada orang lain. Itu lebih baik dan keluar daripada khilaf.

Wallahua’lam.