Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #280 : HUKUM SKIM SIJIL SIMPANAN PREMIUM (BSN)

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 280 (27 MEI 2016 M / 20 SYAABAN 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum wbt,

Apakah hukum pelaburan Sijil Simpanan Premium yang disediakan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN). Sebahagian pihak menyatakan skim tersebut ialah Premium Bond yang ada unsur loteri dan judi dan telah difatwakan ramai sebagai haram. Apakah pendapat Mufti?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Definisi dan Bentuknya

Perkataan ‘Premium’ berdasarkan Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud:

1. “Sejumlah wang dibayar secara tetap kepada syarikat insurans bagi sesuatu polisi insurans;

2. Bayaran tambahan yang dibuat bagi sesuatu;

3. Amaun nilai saham yang lebih tinggi daripada harga tawaran asal (nilai tara) apabila saham itu mula disenaraikan di Bursa Saham. Contohnya: “Syarikat itu mencatatkan premium sebanyak 50 sen apabila dibuka pada harga RM2.00 berbanding dengan harga tawaran asalnya RM1.50 sesaham;

4. Bermutu dan harganya lebih mahal sedikit (bkn sesuatu produk dsb): dia lebih suka menggunakan minyak petrol premium.”

Manakala, Sijil Simpanan Premium yang ditawarkan oleh pihak Bank Simpanan Nasional (BSN) diertikan sebagai ‘produk simpanan BSN Patuh Syariah yang menawarkan peluang kepada penyimpan untuk memenangi hadiah dalam Cabutan BSN SSP.’[1] Produk ini, berdasarkan dokumen Terma dan Syarat yang disediakan oleh pihak BSN, ‘dikendalikan mengikut prinsip Mudharabah serta tertakluk kepada Akta Bank Simpanan Nasional (BSN) 1974’ dan ‘menggunakan kaedah PER (Profit Equalisation Reserve) dalam menguruskan pulangan ke atas deposit akaun-akaun di bawah konsep Mudharabah.’[2]

Produk ini dalam kata lain ialah sejenis akad pelaburan (mudharabah) yang memberi peluang kepada pelanggan untuk hadiah cabutan bertuah sama ada dalam kategori Cabutan Bulanan, Tempatan dan Istimewa.

Fatwa Badan Berautoriti

1. Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor

Dalam satu fatwa yang telah digazetkan (Jil. 66/No.21) pada 7 Oktober 2013 bertajuk ‘Fatwa Pematuhan Syariah Skim Sijil Simpanan Premium (SSP) yang Dikeluarkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN)’ menyatakan:

Skim Sijil Simpanan Premium (SSP) yang diperkenalkan oleh Bank Simpanan Nasional adalah diharuskan oleh syara’ dengan syarat :
1. Menggunakan akad Mudharabah (Perkongsian untung)

2. Dana SSP dilaburkan dalam instrument dan aset yang mematuhi syariah.

3. Hadiah yang disumbangkan adalah menggunakan dana dari sumber skim Perbankan Islam.

2. Jawatankuasa Fatwa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang

Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-1/2012, pada 14 dan 15 Mac 2012 pada membincangkan ‘Status Terkini Pematuhan Syariah Skim Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional’, Jawatankuasa memutuskan bahawa:

“Skim Simpanan Nasional yang telah diperbaharui pelaksanaanya oleh BSN adalah produk yang sepenuhnya mematuhi syariah dan diharuskan oleh syarak.”

3. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan

Muzakarah yang bersidang pada kali ke-98 pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan tajuk: “Status terkini Pematuhan Syariah Skim Sijil Simpanan Premium bank Simpanan Nasional (BSN)”, dan telah memetuskan:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Bank Simpanan Nasional (BSN), Muzakarah mendapati dan berpuashati bahawa pelaksanaan skim Sijil Simpanan Premium (SSP) oleh BSN telah dikemaskini dengan menggunakan akad Mudharabah (perkongsian untung) dan dana SSP dilaburkan dalam instrumen dan aset yang mematuhi Syariah serta hadiah-hadiah yang disumbangkan adalah menggunakan dana dari sumber Skim Perbankan Islam (SPI) BSN.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa skim Sijil Simpanan Premium yang telah diperbaharui pelaksanaannya oleh BSN adalah produk yang sepenuhnya mematuhi Syariah dan diharuskan oleh syarak.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Selepas kami meneliti pendapat dan hujah para ulama dan majlis-majlis fatwa, kami lebih cenderung kepada hukumnya adalah harus tetapi komitmen yang tinggi daripada pihak Bank Simpanan Nasional untuk menjadikan pelaburan dalam instrumen dan aset yang mematuhi Syarak. Begitu juga perlaksanaan akad mestilah selari dengan Syarak. Semoga usaha yang ditunjukkan oleh BSN ke arah patuh Syariah dalam isu Skim Sijil Simpanan Premium benar-benar menjadi realiti. Amin.

Wallahua’lam.

[1] Rujuk http://www.mybsn.com.my/content.xhtml?contentId=181

[2] Rujuk http://www.mybsn.com.my/content.xhtml?contentId=187

Imej diperoleh dari MyBSN