AL-KAFI #326 : HUKUM MEMAKAN DAGING KELDAI (EDISI KEMASKINI)

 

al Kafi 326

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Di sini saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah hukum memakan daging keldai ?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ ﴿١٩﴾

Maksudnya : “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

(Surah Luqman : 19)

Ayat di atas adalah merupakan antara nasihat dan pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya iaitu bersikap tawaduklah (merendah diri) ketika berjalan serta rendahkanlah suara kamu, jangan meninggikannya (ketika berbicara) kerana sesungguhnya suara yang paling buruk dan paling dibenci adalah suara keldai yang cukup dikenali dengan kedunguannya dan suaranya yang kuat memekik. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 412)

Definisi keldai

Keldai atau nama saintifiknya Equus Asinus ialah sejenis binatang yang seakan-akan kuda tetapi lebih kecil dan telinganya panjang.[1]

Hukum memakan daging keldai

Para ulama telah membahagikan keldai kepada dua kategori iaitu keldai ahli (peliharaan atau domestik) dan keldai liar.

Adapun keldai liar, dagingnya halal dimakan sebagaimana yang telah disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini di dalam kitabnya :

فَيَحِلُّ الْوَحْشِيُّ مِنْهُ وَيَحْرُمُ الْأَهْلِيُّ كَالْحِمَارِ

Maksudnya : “Jenis yang liar daripadanya (haiwan tersebut) halal (dimakan), manakala yang dipelihara haram (dimakan) seperti keldai” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/150)

Begitu juga, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa haiwan-haiwan liar seperti keldai, lembu, kambing gurun dan antelop (sejenis rusa) adalah halal dimakan secara sepakat para ulama (tanpa khilaf). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/9)

Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Qatadah, yang mana beliau dan para sehabat telah keluar bersama Nabi SAW. Dalam perjalanan beliau telah memburu seekor keldai liar. Dan para sahabat telah berbeza pendapat mengenai hukum memakan dagingnya, ada yang mengatakan ia boleh dimakan dan ada yang mengatakan ia tidak boleh dimakan. Kemudian, beliau telah membawanya kepada Nabi SAW yang telah pun mendahului mereka. Nabi SAW pun bersabda :

هُوَ حَلَالٌ، فَكُلُوهُ

Maksudnya : “Ia (daging itu) adalah halal, maka makanlah.”

[HR Muslim (1196)]

Di dalam riwayat lain dengan lafaz :

كُلُوا، فَهُوَ طُعْمٌ أَطْعَمَكُمُوهُ اللَّهُ

Maksudnya : “Makanlah, ia adalah makanan yang Allah telah sediakan untuk kamu semua.”

[HR al-Bukhari (5492)]

Manakala keldai ahli (iaitu yang dipelihara atau domestik) adalah haram dimakan. Imam al-Nawawi telah menyebutkan bahawa ini adalah merupakan pendapat kami (mazhab Syafie), majoriti ulama sama ada dalam kalangan salaf, mahupun khalaf. Dan al-Khattabi telah mengatakan bahawa ia adalah merupakan pendapat seluruh ulama (‘ammah al-Ulama). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/6)

Ibn Qudamah juga ada menukilkan daripada Ibn Abd al-Bar bahawa tiada khilaf dalam kalangan para ulama Muslimin pada hari ini akan keharamannya (daging keldai peliharaan). Dan para sahabat yang meriwayatkan daripada Nabi SAW berkenaan pengharaman daging tersebut ialah Ali Bin Abi Talib, Abdullah bin Umar, Abdullah bin ‘Amr, Jabir, al-Bara’, Abdullah bin Abi Aufa, Anas dan Zahir al-Aslami dengan sanad-sanad yang sahih lagi baik. (Lihat al-Mughni, 9/407)

Larangan ini adalah berdasarkan kepada riwayat Ali bin Abi Talib R.A bahawa katanya :

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ نَهى عن مُتْعَةِ النِّساءِ يَومَ خَيْبَرَ، وَعَنْ لُحُومِ الحُمُرِ الإنْسِيَّةِ

Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW pada hari Khaibar telah melarang daripada nikah mut’ah dan daripada (memakan) daging keldai peliharaan.” [HR al-Bukhari (4216) dan Muslim (1407)]

Begitu juga dengan riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya :

نَهى النبيُّ ﷺ عن أكْلِ لُحُومِ الحُمُرِ الأهْلِيَّةِ

Maksudnya : “Nabi SAW telah melarang daripada memakan daging keldai peliharaan.”

[HR al-Bukhari (4218) dan Muslim (561)]

Sebab pengharaman daging keldai ahli

Ibn Qudamah menyatakan lagi bahawa telah jelas akan sebab keharamannya, iaitu kerana ia memakan kotoran berdasarkan riwayat Abdullah bin Abi Aufa. (Lihat al-Mughni, 9/407)

Di dalam riwayat Ibn Abi Aufa ada menyatakan bahawa :

فَتَحَدَّثْنا أنَّه إنَّما نَهى عَنْها لأنَّها لَمْ تُخَمَّسْ، وقالَ بَعْضُهُمْ: نَهى عَنْها البَتَّةَ لأنَّها كانَتْ تَأْكُلُ العَذِرَةَ

Maksudnya : “Kami telah berbahas mengenai larangan (pengharaman) tersebut, bahawa ia dilarang kerana ia tidak termasuk bahagian seperlima ghanimah. Manakala sebahagian yang lain berpendapat, ia dilarang kerana memakan kotoran.” [HR al-Bukhari (4220) dan Muslim (1937)]

Manakala Anas bin Malik R.A meriwayatkan pada hari khaibar bahawa Rasulullah SAW meminta penyerunya untuk menyampaikan kepada manusia :

إنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يَنْهَيَانِكُمْ عَنْ لُحُومِ الْحُمُرِ فَإِنَّهَا رِجْسٌ أَوْ نَجِسٌ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah dan rasulNya melarang kalian semua daripada memakan daging keldai kerana ia adalah kotor atau najis.” [HR al-Bukhari (4198) dan Muslim (1940)]

Imam al-Syaukani telah menukilkan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani yang menyatakan bahawa telah hilang kemungkinan-kemungkinan (ihtimalat) tersebut dengan hadis Anas yang menyebutkan bahawa (فَإِنَّهَا رِجْسٌ - ‘kerana sesungguhnya ia adalah najis’). Demikianlah juga, perintah supaya membasuh bekasnya. Al-Qurtubi ada menyebutkan bahawa dhomir (ها) pada lafaz (فَإِنَّهَا رِجْسٌ) kembali kepada daging keldai tersebut kerana ia adalah topik atau perkara yang dibahaskan serta yang diperintahkan untuk dituang (dibuang) dan dibasuh (bekasnya). Maka, ini menunjukkan bahawa hukumnya adalah najis dan ia menunjukkan bahawa pengharaman daripada memakan dagingnya itu adalah disebabkan oleh zatnya sendiri dan bukan makna luar. Begitu juga, Ibn Daqiq al-‘Id ada menyatakan bahawa perintah supaya menuangkan periuk (bekas) tersebut secara zahirnya adalah disebabkan oleh keharaman daging keldai. (Lihat Nail al-Autar, 8/129 dan Fath al-Bari, 9/656)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti pandangan para ulama, kami menyimpulkan bahawa daging keldai ahli (peliharaan dan domestik) adalah haram dimakan. Manakala daging keldai liar adalah halal dimakan sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam al-Nawawi bahawa para ulama telah sepakat (tanpa khilaf) mengenai perkara ini.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=keldai. Telah di akses pada 24 Januari 2020.


Cetak   Emel