Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #247 : PERSOALAN TENTANG NIQAB

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 247 (14 APRIL 2016 M / 6 REJAB 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum

Saya ada soalan . Apakah hukum memakai niqab ?

Ada satu laporan dalam surat khabar Utusan Malaysia melaporkan bahawa bekas dekan Universiti Al Azhar , Amna Nosseir mengatakan budaya memakai niqab ini adalah budaya Yahudi bukannya budaya Islam . Lantaran itu, Parlimen Mesir sekarang sedang merangka undang-undang untuk mengharamkan wanita memakai niqab di tempat awam dan pejabat kerajaan .

Harap pihak Mufti boleh memberi pencerahan yang lanjut dan menyebarkannya supaya dalam mengelakkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Sekian terima kasih.

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Pertama sekali kita perlu mengetahui bahawa aurat wanita yang wajib ditutuP ialah seluruh tubuh badannya, melainkan wajah dan tapak tangan.

Dalam sebuah hadis mursal, daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

يَا أَسْمَاءُ، إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا. وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ

Maksudnya: Wahai Asma’! Sesungguhnya seseorang wanita apabila telah didatangi haid tidak elok dia membiarkan dirinya dilihat melainkan ini dan ini. Lalu Rasulullah SAW menunjukkan ke wajahnya dan tapak tangannya.

Hadis riwayat Abu Daud (4104)

 

Jika seseorang wanita itu bimbang kepada fitnah, maka boleh menutup wajahnya untuk menjaga dirinya. Khususnya, bagi menjaga kehormatan dan mengelakkan perkara yang tidak diingini. Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah R.anha ketika bertemu dengan para sahabat Nabi SAW, beliau akan mengangkat istar menutupi wajahnya. Justeru, memutlakkan pemakaian niqab sebagai meniru budaya agama Yahudi adalah tidak tepat.

Berkata Syeikh Mutawalli Sya’rawi berkenaan memakai purdah bagi wanita:

النقاب ليس مفروضا وليس مرفوضا

Maksudnya: Niqab itu tidaklah difardukan dan tidak pula ditolak.

Yang penting bersederhanalah dengan meraikan keadaaan dan keselesaan di samping aurat yang disepakati wajib ditutup.

Wallahua`lam.