Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Akikah lembu bagi dua orang anak perempuan

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 178 (5 FEBRUARI 2016 / 26 RABIULAKHIR 1437 H)

 

Soalan:

Asssalamualaikum wbt,

Saya ada soalan. Saya nak buat aqiqah untuk kedua anak perempuan saya. Boleh tak kalau saya aqiqahkan seekor lembu tapi dibahagi 2 bahagian. Seorang 1 bahagian. Adakah dibolehkan?

Terima kasih. 

 

Jawapan

 

Waalaikumussalam wbt,

 

Asalnya nas menyebut seekor kambing untuk anak perempuan dan dua ekor kambing untuk anak lelaki. Daripada Ummu Kurzin R.Anha, bahawa Aisyah R.Anha memberitahunya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُمْ عَنِ الغُلَامِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ، وَعَنِ الجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW menyuruh mereka untuk mengakikahkan dua ekor kambing yang serupa bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan.

Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi, Ibn Majah, al-Nasaie dan al-Tabrani dan lain-lain.

 

Mazhab al-Shafie berpendapat lembu boleh juga diakikahkan cuma seperti korban, lembu dibahagikan kepada 7 bahagian. Maka, bagi anak lelaki 2 bahagian dan anak perempuan 1 bahagian. Berkenaan membahagikan lembu kepada dua bahagian, ini juga dibenarkan, asalkan tidak berkurang daripada 1 bahagian bagi setiap anak perempuan. Kalau lebih, tidak mengapa. Samalah situasinya ke atas orang yang wajib berzakat misal kata RM1000, tetapi dia bayar RM1500.00. Itu tidak ada masalah.

Namun, seafdalnya kita menyembelih kambing, yang jantan, sihat dan kuat untuk akikah kerana lebih dekat dengan nas.

Wallahua`lam.