AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 179 (5 FEBRUARI 2016 / 26 RABIULAKHIR 1437 H)
Soalan:
Asssalamualaikum wbt,
Saya tidak pernah solat dari baligh sehingga umur 22 tahun, dan dari apa yang saya tahu saya perlu menggantikan ke semua solat yang saya tinggalkan itu dengan segera, dan haram bagi saya melakukan solat-solat sunat sekiranya belum habis menggantikan solat. Oleh kerana itu sekiranya di siang hari saya bekerja dan melakukan hal-hal harian maka saya tiada masa untuk menggantikan solat, sekiranya terdapat masa terluang dimana wajib bagi saya bersegera menggantikan solat tetapi saya memilih untuk melakukan perkara lain seperti membaca buku agama,mengaji al quran dll. Perkara yang baik di sisi agama maka adakah boleh bagi saya untuk memilih dan menetapkan untuk menggantikan solat di waktu malam. Soalan saya seterusnya sekiranya saya terus tetap melaksanakan solat ganti saya itu, dalam masa yang sama bolehkan untuk saya melakukan solat sunat atau hanya solat sesetengah sunat sahaja yang dibolehkan, dan jika begitu mohon nyatakan solat sunat apakah yg boleh dilakukan. Mohon penjelasan dan pencerahan dato' mufti, terima kasih.
Terima kasih.
Jawapan:
Assalamualaikum wbt,
Pertama sekali ingin kami ucapkan tahniah atas keprihatinan dan kesedaran saudara tentang kepentingan solat, di waktu ramai orang pada zaman ini yang mengabaikan solat fardu mereka. Islam amat menitik beratkan soal solat. Daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
العَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
Maksudnya: Batasan antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, maka barangsiapa yang meninggalkan solat maka dia telah kafir.
Hadis riwayat al-Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Majah dan lain-lain.
Dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ فَلَا دِينَ لَهُ، وَالصَّلَاةُ عِمَادُ الدِّينِ
Maksudnya: Barangsiapa yang meninggalkan solat maka hilanglah agama pada dirinya kerana solat itu tiang agama.
Hadis riwayat al-Baihaqi (255) dalam Syu`ab al-Iman
Berkata ulama:
الصلاة عماد الدين فمن تركها فقد هدم الدين
Maksudnya: Solat itu tiang agama barangsiapa yang meninggalkannya maka dia telah meruntuhkan agama.
Rujuk Ihya` Ulumiddin (147/1)
Syarak juga mengkehendaki kita agar mengajar anak-anak bersolat sewaktu umur kanak-kanak. Rasulullah SAW bersabda:
مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ
Maksudnya: Suruhlah anak-anak kalian menunaikan solat pada umur mereka 7 tahun, dan pukullah mereka (jika mereka enggan bersolat) pada umur mereka 10 tahun.
Hadis riwayat Abu Dawud.
Jika kita pernah terlalai daripada menunaikan solat fardu, maka hendaklah kita menggantikan solat-solat fardu itu semampu kita kerana itu dikira hutang yang wajib kita langsaikan. Sabda Rasulullah:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Kami berpandangan bahawa menyegerakan qada solat fardu itu adalah keutamaan bagi saudara dalam hal ibadat namun dibenarkan bagi saudara melakukan solat sunat yang bersebab contohnya solat Duha dan Tahiyyatul Masjid. Juga digalakkan agar saudara memperbanyakkan bersedekah dan berbudi kepada manusia. Semoga Allah mengampuni dan merahmati kita semua. Wallahua`lam.