Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

hukum isteri mengiringi jenazah suami pada waktu iddah

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 208 (8 MAC 2016 M / 28 JAMADILAWAL 1437 H)

 

SOALAN:

 

Assalamualaikum wbt,

Saya cuma ingin mendapat pandangan terbaik Datuk Mufti. Apakah seeloknya isteri tidak ikut ke masjid untuk urusan jenazah suami dan solat jenazah, juga untuk ke kubur mengiringi jenazah ?

 

JAWAPAN:

 

Waalaikumussalam wbt,

Islam datang meraikan sifat asal wanita. Apabila kaum wanita kehilangan suami, ayah dan sanak saudaranya yang rapat dengannya, ramai yang tidak tahan perasaan lalu meraung pedih, menarik-narik baju dan memukul-mukul badan sendiri kerana kedukaan. Perbuatan-perbuatan sebegini berasal daripada adat jahiliyyah yang ditegah oleh Islam. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.anhuma, sabda Rasulullah SAW:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ ضَرَبَ الخُدُودَ، وَشَقَّ الجُيُوبَ، وَدَعَا بِدَعْوَى الجَاهِلِيَّةِ

Maksudnya: Bukan daripada kalangan kami orang yang menampar-nampar pipi (kerana kematian), mencarik-carik baju, dan mengikut seruan (tradisi) Jahiliyyah.

Hadis riwayat al-Bukhari (1297)

Daripada Umm Atiyyah R.Anha bahawa dia berkata:

نُهِينَا عَنْ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا

Maksudnya: Kami (kaum wanita) dilarang daripada mengikut jenazah-jenazah (ke kekuburan) dan Baginda (SAW) tidak melarang dengan keras (hal demikian) ke atas kami.

Hadis riwayat al-Bukhari (1278)

Menurut Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ (5/277-278)  larangan ini bersifat makruh tanzih. Inilah mazhab Syafie dan jumhur, manakala dalam Mazhab Malik tidak menganggap makruh kecuali bagi bagi wanita muda. Diceritakan daripada al-Abdari bahawa Imam Malik menganggapnya makruh kecuali jika jenazah itu ialah anaknya, ibu ayahnya, dan suaminya.

Sebahagian ulama menganggap perbuatan mengiringi jenazah ini sebagai makruh tahrim berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW menegur wanita yang menunggu-nunggu jenazah:

ارْجِعْنَ مَأْزُورَاتٍ غَيْرَ مَأْجُورَاتٍ

 Maksudnya: Pulanglah kalian, kalian akan berdosa dan tidak mendapat pahala.

Hadis riwayat Ibn Majah (1579). Namun, Al-Nawawi menganggap hadis ini daif.

Kami berpendapat cukuplah wanita itu tinggal di rumah dan, jika ingin solat jenazah, solat sahaja di rumah dan tidak mengikuti jenazah ke perkuburan. Ini bagi menghormati hukum ihdad (berkabung) dalam tempoh iddah bagi wanita yang kematian suami. Jika sudah tamat waktu iddah, maka bolehlah menziarahi kubur suaminya sambil menjaga akhlaq ketika ziarah kubur.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dan kekuatan untuk mengikuti setiap perintah Syariat Islam dalam mencapai Mardhatillah. Amin.

 

Wallahua`lam.