Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

mandi bunga untuk jodoh

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 212 (14 MAC 2016 M / 5 JAMADILAKHIR 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum wbt,

Mohon pendapat daripada ustaz berkenaan mandi bunga untuk memercepatkan jodoh. Namun mandi bunga tersebut menggunakan limau purut. Air zamzam digunakan untuk sebahagian daripada rawatan. Apakah hukum perbuatan tersebut? Apakah cara untuk mempercepatkan jodoh ustaz?

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt, 

Wallahua`lam. Jika tidak disertakan unsur syirik dan khurafat, mungkin tidak mengapa sebagai ikhtiyar, bagi tujuan kesihatan, kesegaran badan dan terapi memulihkan semangat semata-mata.  Jangan diiktikadkan perbuatan itu boleh mengawal jodoh, sebaliknya pintalah kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah al-Ghafir, 40:60)

Sabda Rasulullah SAW:

إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ

Maksudnya: Jika engkau meminta, pintalah kepada Allah, dan jika engkau memohon pertolongan, pintalah pertolongan daripada Allah.

Hadis riwayat al-Tirmidzi (2516) dalam Sunan-nya. Beliau berkata: hadis hasan sahih.

Antara doa yang baik juga ialah doa Nabi Musa, tatkala dihimpit perasaannya dengan tekanan oleh Firaun. Firman Allah SWT:

فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Maksudnya: Maka (Nabi Musa pun berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan".

(Surah al-Qasas, 28:24)

Wallahua`lam.