Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #493: HUKUM MUNTAH BAYI

 

SOALAN:

Assalamualaikum wbt, Apakah jeluak bayi yang terkena pada pakaian itu sah untuk solat? Apakah ianya sama dengan muntah?

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Di dalam mazhab al-Syafie, muntah dihukumkan sebagai najis mutawassitah (pertengahan). Maka wajib menghilangkannya dengan basuhan air mutlak. Kata Imam al-Syafie di dalam al-Umm (1/32):

وَإِذَا قَاءَ الرَّجُلُ غَسَلَ فَاهُ وَمَا أَصَابَ الْقَيْءُ مِنْهُ لَا يَجْزِيهِ غَيْرُ ذَلِكَ

Maksudnya: Dan jika seseorang lelaki muntah, maka hendaklah dibasuh mulutnya dan kawasan yang terkena muntah tersebut, tidak memadai jika tidak dibuat seperti itu.

Muntah tetap najis sekalipun tidak berubah sifatnya apabila telah sampai ke bahagian perut lalu termuntah keluar. Contohnya, jika seseorang meminum air lalu memuntahkan kembali air itu, tanpa ada perubahan apa-apa pada air tersebut, maka tetap dikira najis. Ini kerana fungsi perut adalah tempat berlakunya perubahan. Makanan dan minuman yang asalnya adalah suci, berubah menjadi tahi apabila melalui perut, maka perut ialah tempat makanan menjadi busuk dan rosak. Justeru, muntah itu najis sama seperti tahi dan kencing.

Pengecualian diberikan dalam kes-kes apabila keadaan sukar dijaga, maka hukumnya adalah dimaafkan. Ulama Syafieyyah berpendapat jika seseorang yang dibalakan (menerima ujian kesukaran) dengan kerapnya muntah, maka dimaafkan muntah pada baju dan badan, tetapi tetap menajiskan jika masuk ke dalam air, seperti darah kutu. Yang dimaksudkan sebagai dibalakan itu ialah keadaan yang menjadikan banyak dan kerap wujudya sehingga kurangnya keadaan yang sunyi daripada selainnya. Hal yang sama juga dikiaskan tentang mulut bayi yang muntah kemudian menyusu ibunya, maka muntah yang berbaki dalam mulut itu tidak menajiskan tubuh ibunya.

Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyyah (34/86), al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/49)

Justeru, kami berpendapat bahawa muntah bayi diuji dengan kerap muntah adalah dimaafkan jika terkena, pada badan dan bajunya, atau baju ibu yang memeliharanya, dalam kadar yang sedikit pada uruf kerana kesukaran menjaga diri daripada terkena najis tersebut.

Wallahua’lam.