Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Al-KAFI #664: GAMBAR SUAMI ISTERI BERCUMBU DI MEDIA SOSIAL

Soalan: Apakah hukum sekiranya suami dan isteri bercumbu di khalayak ramai dan media sosial bagi menzahirkan kemesraan mereka?

Jawapan:

Bermesraan antara suami dan isteri setelah berkahwin adalah sesuatu yang dihalalkan. Ia adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang mempunyai naluri untuk memiliki dan dimiliki. Justeru, menzahirkan rasa cinta kepada pasangan masing-masing melalui sentuhan dan kata-kata adalah perkara biasa.

Walaubagaimanapun, Islam amat memberi perhatian terhadap isu kehormatan dan maruah suami dan isteri. Sabda Nabi SAW:

الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ شُعْبَةً، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Iman itu ada tujuh puluh lebih cabang. Dan rasa malu salah satu cabang dari iman.” 
(Riwayat Muslim, no. 35)

Rasa malu menurut Imam an-Nawawi rahimahullah adalah: “Akhlak terpuji yang mendorong seseorang untuk meninggalkan sesuatu yang buruk dan mencegahnya dari kelalaian dalam memenuhi hak para pemiliknya.”

Dalam hal lain, beliau juga menyebutkan antara perkara yang menjatuhkan maruah adalah mencium isteri di khalayak ramai. (Lihat Minhaj al-Talibin, m. 345)

Justeru, perbuatan suami isteri bercumbu hendaklah dielakkan di khalayak umum dan juga di media sosial kerana ia bukannya akhlak Muslim dan jauh sekali daripada adab ketimuran yang kita junjung selama ini. Semoga kita semua berusaha menzahirkan akhlak dan adab yang mulia dalam kehidupan kita.

Kami tutup dengan sebuah sabda Nabi SAW:

الحَيَاءُ لاَ يَأْتِي إِلَّا بِخَيْرٍ
Maksudnya: ”Sesungguhnya sifat malu tidaklah mendatangkan apa-apa kecuali hanya kebaikan.” 
(Riwayat al-Bukhari, no. 6117)