Soalan:
Salam. Apakah hukum doktor lelaki menyambut kelahiran dan melihat faraj wanita sewaktu bersalin sedangkan di hospital yang sama masih terdapat doktor perempuan? Bagaimana aurat wanita dalam perubatan?
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Tidak dibenarkan di sisi Hukum Syarak bagi lelaki untuk melihat kepada aurat wanita ajnabi, melainkan terdapat ḥājah (keperluan) dan ḍarurah (keperluan mendesak) untuknya. Antara bentuk pengecualian ialah rawatan al-faṣdu (venesection, venipuncture, phlebotomy), berbekam, dan rawatan am. Ini kerana jika diharamkan akan mendatangkan ḥaraj (kesukaran) sedangkan ḥaraj dihilangkan oleh Syarak.
Justeru harus bagi lelaki merawat wanita dan wanita merawat lelaki, dengan syarat
- Jika wujud perawat yang muslim, maka tidak boleh digantikan.
- Ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang thiqah (terpercaya).
- Ketiadaan perawat wanita, atau perawat lelaki bagi pesakit lelaki.
- Perawat boleh melihat kepada bahagian-bahagian badan selama mana ada keperluan kepadanya. Ini berdasarkan hadis Jabir RA:
أَنَّ أُمَّ سَلَمَةَ اسْتَأْذَنَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْحِجَامَةِ فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا طَيْبَةَ أَنْ يَحْجُمَهَا قَالَ حَسِبْتُ أَنَّهُ قَالَ كَانَ أَخَاهَا مِنَ الرَّضَاعَةِ، أَوْ غُلَامًا لَمْ يَحْتَلِمْ
Maksudnya: “Bahawa Umm Salamah (isteri Nabi SAW) meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk berbekam lalu Nabi meminta Abu Taibah untuk menjalankan rawatan bekam ke atas Umm Salamah.”
Berkata Jabir: “Aku kira bahawa Abu Taibah itu adalah saudara susuan Umm Salamah atau budak kecil yang belum baligh.”
Hadis riwayat Muslim (2206)
Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (4/50); Fiqh al-Manhaji (1/126-127)
Berkata Syeikh Mulla Ali al-Qari Rahimahullah bagi syarah hadis ini:
قد صرح علماؤنا بأن غير المحرم أيضا عند الضرورة يحجم ويقصد ويختن وقال الطيبي - رحمه الله - : يجوز للأجنبي النظر إلى جميع بدنها للضرورة وللمعالجة
Maksudnya: “Telah dijelaskan oleh para ulama kita bahawa sekalipun bukan mahram boleh untuk menjalankan rawatan bekam, fasdu, dan khitan.” Berkata al-Taibi Rahimahullah: “Dibenarkan bagi lelaki ajnabi untuk melihatkan pada sekalian tubuh wanita bagi tujuan darurat dan rawatan.” Rujuk Marqah al-Mafatih ٍ (no. 3103)
Justeru, termasuklah dalam kategori rawatan ini ialah menyambut kelahiran kerana ia melibat nyawa ibu dan anak jua. Kami syorkan hendak semua dawabit atau syarat-syarat yang dinyatakan di atas hendaklah dipatuhi bagi memastikan ketenangan bagi pihak pesakit, hospital dan keluarga,
Wallahua’lam.