Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #853: HUKUM MEMAKAN MAKANAN LAUT DAN PENYU

 

ak854

Apakah hukum memakan makanan laut dan memakan daging penyu

Jawapan

Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

Pengenalan Hukum-hukum dalam makanan

Makanan dalam konteks syariah islamiah ia juga termasuk di dalam bab harus, makruh serta haram. Jadi apa yang perlu diperhatikan di dalam bab pemakanan (الاطعمة) ulama telah menggariskan bahawa setiap makanan adalah halal, melainkan apabila didatangkan dengan dalil pengharamannya sepertimana yang dinukilkan di dalam kitab Mausuah Fiqhiyyah:

Asal makanan adalah halal, melainkan apabila terdapat dalil mengharamkannya”.

(Mausuah Fiqhiyyah: 5/124)

Boleh juga kita melihat kaedah yang didatangkan oleh Syeikh Ibarahim Baijuri di dalam Hasyiah Baijuri Ala Fathul Qarib Al-Mujib:

  • Setiap haiwan yang dianggap baik dan enak dimakan oleh orang arab dan mereka memiliki kekayaan, fikiran yang baik serta citarasa yang tinggi maka haiwan itu halal dimakan kecuali apabila didatangkan dalil syarak bagi mengharamkannya.
  • Begitu juga setiap haiwan yang dianggap kotor dan jijik untuk dimakan oleh orang arab maka haram untuk dimakan kecuali apabila didatangkan dalil syarak bagi menghalalkannya.

Sepertimana firman Allah S.W.T:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya“Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.

(Surah al-A’raf: 157)

  • Haram bagi kita memakan haiwan liar yang memburu mangsanya dengan menggunakan taring yang kuat seperti singa.
  • Dan haram juga bagi burung yang memburu mangsanya menggunakan kuku yang tajam dan kuat seperti burung helang.

(Hasyiah Baijuri Ala Fathul Qarib Al-Mujib: 2/571)

Memakan haiwan yang hidup di dalam air

Istilah yang dimaksudkan dengan haiwan yang hidup di dalam air seperti yang terdapat di dalam kitab Al-Halal Wa Al-Haram Fi Islam:

Iaitu (haiwan) yang hidup di dalam air dan tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja”

(Al-Halal Wa Al-haram Fi Islam: 51)

Mengikut mazhab Al-Imam Syafie Rahimahullah, setiap haiwan yang hidup di dalam air halal dimakan, sebagaimana firman Allah S.W.T:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut (air), dan makanannya.”

(Surah Al-Maidah: 96)

Berkenaan ayat di atas Imam Baghawi Rahimahullah menyebut di dalam tafsirnya bahawa kehidupan air terbahagi kepada dua bahagian:

  • Ikan: Kesemua jenis ikan adalah halal untuk dimakan walaupun berbeza dari segi jenis dan rupa bentuk sepertimana sabda Nabi S.A.W

قال النبي صلى اللَّه عليه وسلم: أحلت لنا ميتتان ودمان: الميتتان : الحوت وجراد,والدمان: الكبد والطحال

Maksudnya: “Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah: Dua jenis bangkai: iaitu ikan dan belalang, dan dua jenis darah: iaitu hati dan limpa

(Diriwayatkan oleh: Imam Ahmad 5690 / Ibnu Majah 3314)

  • Selain daripada ikan: Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
  • Hidup di air dan di darat seperti katak, maka haram memakannya
  • Hidup di air sahaja dan tidak dapat hidup di darat. Berlakunya perbezaan pendapat dalam hal ini mengikut pendapat Imam Hanafi tidak halal haiwan yang hidup di dalam air melainkan ikan sahaja. Dan mengikut pendapat yang lain, bangkai haiwan air halal untuk dimakan, kerana kesemuanya adalah daripada jenis ikan, dan hanya berbeza dari segi rupa bentuk, seperti Belut, dan seluruh kehidupan air dibolehkan untuk memakannya, dan ia merupakan Ittifak para ulama dan juga pendapat Imam Malik serta Mazhab Syafie.

(Tafsir Al-Baghawi: 1/820)

Hukum memakan Penyu

Berbalik kepada soalan di atas, setelah kita melihat pandangan ulama mengenai tajuk (الاطعمة) iaitu makanan, seharusnya kita mengenali definasi berkenaan dengan penyu (السلحفية): “Beberapa jenis kura-kura besar yg telurnya boleh dimakan (banyak terdapat di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia), Chelone mydas”. (Kamus Pelajar Edisi Kedua).

Penyu merupakan haiwan yang hidup dua alam (البرمائي), sepertimana yang dinukilkan di dalam Mausuah Fiqhiyyah:

Dan diharamkan oleh Mazhab Imam Syafie haiwan (البرمائي) iaitu haiwan yang boleh hidup di dalam air dan darat”.

(Mausuah Fiqhiyyah: 5/130)

Mengikut pendapat Al-Imam Rafie rahimahullah:

Penyu merupakan seekor binatang yang (الاستخباث) iaitu binatang yang kotor dan jijik untuk dimakan

(kitab Tibyan lima yuhillu wa yahrumu minal hayawan 119).

Begitu juga firman Allah S.W.T:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya“Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”

(Surah al-A’raf: 157)

Begitu juga apa yang terdapat di dalam (kitab Hayat Al-Hayawan Al-Kubro: 469): Al-Imam Al Baghawi menceritakan bahawa dari segi halalnya penyu (السلحفية) terdapat dua pandangan: Al-Imam Rafie mensahihkan bahawa pengharaman memakan penyu adalah kerana kotor dan jijik untuk dimakan (الاستخباث), dan pendapat Ibnu Hazim memakan penyu atau kura-kura adalah halal, begitu juga dengan telurnya sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah ayat 168:

كلوا مما في الأرض حلالا طيباً

Maksudnya: Makanlah apa-apa sahaja di atas muka bumi ini sesuatu yang halal dan baik

(Surah Baqarah: 168)

Di dalam kitab Tuhfatul al-Ahwazi: Pandangan daripada Mazhab Al-Syafie kehidupan dua alam iaitu binatang yang hidup di air dan darat terbahagi kepada dua bahagian, yang pertama apa yang diharamkan untuk memakannya seperti katak dan buaya. Selain itu pengharaman dari segi kotor serta jijik (الاستخباث), begitu juga kemudharatan dan haiwan yang beracun seperti ular, penyu dan kala jengking.

Begitu juga apa yang didatangkan di dalam kitab Fiqh Islam wa Adillatuhu: Di dalam Bab haiwan Dua Alam (الحيوان البرمائي):

قال الحنفية والشافعية: لا يحل أكلها؛ لأنها من الخبائث

Bermaksud: Pendapat Mazhab Hanafi dan Syafie: Tidak halal memakannya iaitu haiwan dua alam yang hidup di air dan darat kerana jijik dan kotor.

 

(Fiqh Islam wa Adillatuhu 4/332)

Kesimpulan

 Berdasarkan dalil dan pendapat ulama yang diberikan di atas dapat kita simpulkan di sini bahawa:

  • Kesemua haiwan yang hidup di dalam air halal dimakan mengikut pendapat Imam Syafie’.
  • Haiwan yang hidup dua alam haram dimakan dan penyu termasuk di dalam kategori haiwan yang hidup di dalam dua alam maka ia haram untuk dimakan.

Selain itu penyu juga merupakan haiwan peliharaan dan kehidupannya semakin pupus, mengikut undang-undang yang digariskan oleh kerajaan Malaysia, memburu penyu atau membunuhnya merupakan satu kesalahan dan ianya boleh dikenakan tindakan undang-undang serta hukuman.

Wallahualam.