Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #914: HUKUM MAKAN DAN MINUM SAMBIL BERDIRI

makan minum berdiri.PNG

Soalan:

Apakah hukum makan dan minum sambil berdiri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Terdapat banyak hadith yang secara zahirnya melarang daripada makan dan minum sambil berdiri. Contohnya hadith Nabi SAW:

لا يَشْرَبَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ قَائِمًا فَمَنْ نَسِيَ فَلْيَسْتَقِئْ

Maksudnya: Jangan sekali-kali kalian minum sambil berdiri; siapa yang terminum sambil berdiri dalam keadaan terlupa hendaklah dia memuntahkannya kembali

Sahih Muslim (2026)

Diriwayatkan bahawa Anas bin Malik R.A menyatakan:

عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ نَهَى أَنْ يَشْرَبَ الرَّجُلُ قَائِمًا ‏.‏ قَالَ قَتَادَةُ فَقُلْنَا فَالأَكْلُ فَقَالَ ذَاكَ أَشَرُّ أَوْ أَخْبَثُ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang daripada meminum sambil berdiri. Qatadah bertanya bagaimana pula dengan makan (sambil berdiri)? Anas menjawab: “Yang demikian itu adalah lebih buruk dan tercela.

Sahih Muslim (2024)

Namun demikian, terdapat juga beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa Nabi SAW sendiri pernah minum sambil berdiri, dan sahabat sendiri pernah makan dan minum sambil berdiri atau berjalan.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

سَقَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ زَمْزَمَ فَشَرِبَ وَهُوَ قَائِمٌ

Maksudnya: Aku pernah menghidangkan air zam-zam kepada Rasulullah SAW dan Baginda SAW minum dalam keadaan berdiri.

Sahih Muslim (2027)

Diriwayatkan bahawa Ibn Umar R.Anhuma:

كُنَّا نَأْكُلُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَنَحْنُ نَمْشِي وَنَشْرَبُ وَنَحْنُ قِيَامٌ

Maksudnya: Pada zaman Nabi SAW, kami biasa makan sambil berjalan dan minum sambil berdiri.

Sunan Tirmizi (1880)

Imam Al-Mubarakfuri telah meletakkan hadith ini di bawah bab ‘Rukhsah dalam Minum sambil Berdiri’. Menurut beliau, hadith ini menjadi dalil akan keharusan makan sambil berjalan. Adapun hadith riwayat Anas bin Malik di atas yang menunjukkan larangan, ditakwil sebagai makruh tanzih dan bukannya haram. (Rujuk Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi, 6/3)

Dalam satu hadith yang lain, diriwayatkan bahawa:

أَتَى عَلِيٌّ ـ رضى الله عنه ـ عَلَى باب الرَّحَبَةِ، فَشَرِبَ قَائِمًا فَقَالَ إِنَّ نَاسًا يَكْرَهُ أَحَدُهُمْ أَنْ يَشْرَبَ وَهْوَ قَائِمٌ، وَإِنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَعَلَ كَمَا رَأَيْتُمُونِي فَعَلْتُ

Maksudnya: Ali R.A tiba di pagar perkarangan masjid, dan minum sambil berdiri lalu berkata “Ramai orang yang benci apabila ada dalam kalangan mereka yang minum sambil berdiri, sedangkan aku melihat Nabi SAW melakukan apa yang kami lihat aku lakukan.”

Sahih Bukhari (5615)

Perbahasan Ulama

Para ulama sebenarnya berbeza pandangan dalam isu ini:

  1. Haram: Ibn Hazm dan para ulama mazhab Zahiri yang lain berpandangan makan dan minum sambil berdiri adalah haram, dan hadith-hadith yang mengharuskan telah dimansukhkan oleh hadith-hadith yang melarangBegitu juga Ibn Taimiyyah yang mengharamkannya kecuali dalam keadaan-keadaan darurat yang memerlukan. . (Rujuk Al-Muhalla 7/519-520 dan Majmu’ al-Fatawa 32/209)
  2. Makruh Tanzihi: Jumhur ulama pula berpandangan hukumnya makruh tanzihi yang tidak sampai ke tahap haram. Hal ini berdasarkan penjelasan oleh para ulama muhaqqiqun yang menjelaskan maksud hadith-hadith yang dinyatakan di atas.

Menurut Imam al-Nawawi, larangan daripada makan dan minum sambil berdiri ini menunjukkan kepada makruh tanzih, dan Rasulullah SAW melakukan hal tersebut semata-mata untuk menunjukkan keharusannya ketika ada keperluan. (Rujuk Syarh Sahih Muslim 13/195 dan Zad al-Ma’ad 2/257)

Ini juga dipersetujui oleh Ibnu Hajar Al-‘Asqalani yang turut berkata larangan minum berdiri adalah berbentuk makruh tanzihi, dan perbuatan Nabi SAW sendiri yang minum sambil berdiri menunjukkan bahawa ia tidak haram. Beliau juga menyebut hadith yang memerintahkan supaya memuntahkan kembali air yang diminum sambil berdiri perlu difahami sebagai arahan berbentuk sunat dan bukannya wajib. (Rujuk Fath al-Bari 10/82)

  1. Harus dan tidak makruh: Ini merupakan pandangan pendapat jumhur tabi’in seperti Sa’id bin Jubair, Thaawus, Zaadzaan Abu ‘Umar Al-Kindi, dan Ibrahim bin Yaziid An-Nakha’iy, salah satu pendapat masyhur Imam Ahmad bin Hanbal dan jumhur Malikiyyah. (Rujuk Al-Muntaqa Syarh Al-Muwaththa’ 7/237, ‘Aaridhatul Ahwadziy 8/72-73, Syarh Al-Bukhari oleh Ibnu Baththaal 6/72, Al-Mufhim 5/285-286, Hasyiyyah Al-‘Adawiy 2/609, Fawaakih al-Dawaani 2/319)

Begitu juga Syeikh Zakariyya al-Ansari menegaskan bahawa makan dan minum sambil berdiri tanpa sebarang keperluan tidaklah makruh, cuma ia menyanggahi adab yang lebih utama iaitu duduk (khilaf al-aula). (Rujuk Al-Ghurar al-Bahiyyah 4/214)

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami berpandangan hukum makan dan minum sambil berdiri hukumnya adalah makruh tanzihi, yang tidak sampai ke tahap haram. Ini berdasarkan kepada tarjih Imam al-Nawawi yang menganggapnya sebagai makruh tanzihi.

Namun begitu, mengambil kira banyaknya hadith yang melarang, dan sebahagian ulama yang mengharamkannya, maka kami menasihati agar menjauhi amalan makan dan minum sambil berdiri ini semampu yang mungkin. Makan dan minum dalam keadaan duduk secara tertib juga merupakan satu adab Islami yang perlu dipelihara.

Wallahu a’lam.