Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #937 : IMAM SOLAT ZUHUR TIGA RAKAAT

af937 compressed

Soalan:

Apakah yang sepatutnya dilakukan oleh makmum sekiranya dalam solat Zuhur imam terus duduk tawarruk untuk tasyahhud akhir pada rakaat ketiga? Adakah makmum itu wajib terus berdiri dan menegur imam, atau duduk bersama imam dan menegurnya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Salah satu daripada syarat sah qudwah (mengikut imam) ialah makmum perlu mengikut (mutaba`ah) perbuatan imam. Sekiranya makmum bersalahan perbuatan dengan imam, sama ada mendahului atau lambat sehingga dua rukun fi`li, tanpa keuzuran, maka batallah solat makmum jika tidak niat mufaraqah (berpisah dengan imam). Adapun jika mukhalafah (bersalahan) itu berlaku hanya sela satu rukun, maka itu tidak membatalkan kerana dianggap mukhalafah yang sedikit.

Pengecualian bagi hukum di atas jika imam terlupa fardu (rukun), contohnya jika imam terus duduk bertasyahhud akhir pada rakaat ketiga. Dalam kitab al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie , Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut:

“Jika imam meninggalkan suatu perbuatan fardu solat seperti duduk pada tempat yang sepatutnya berdiri, atau berdiri pada tempat yang sepatutnya dia duduk, tidak harus bagi makmum untuk mengikutinya pada meninggalkan perbuatan tersebut. Sama ada dia tinggalkan kerana sengaja atau terlupa. Ini kerana makmum wajib mengikut perbuatan-perbuatan solat sedangkan apa yang dilakukan oleh imam itu bukanlah daripada jenis perbuatan-perbuatan solat. Begitu juga kerana boleh jadi imam sengaja meninggalkannya lalu batallah solatnya, boleh jadi juga dia buat kerana terlupa lalu perbuatannya itu tidak dikira. Maka hendaklah makmum itu mufaraqah daripada imam dan menyempurnakan solatnya secara sendirian.”

Justeru, difahami daripada teks di atas, bahawa wajib bagi makmum untuk berpisah daripada mengikut imamnya apabila dia mengetahui imamnya telah meninggalkan rukun. Namun begitu, disunatkan ke atas makmum untuk mengingatkan imam sebelum mufaraqah dengan ucapan tasbih:

“Sekiranya imam lupa pada perbuatan (solat), lalu meninggalkannya, atau ingin mengubahnya, maka mustahab (sunat) bagi makmum untuk bertasbih untuk memaklumkan imam.”

Rujuk al-Mu`tamad (453-454)

Bagi menjawab soalan penanya, kami menjawab bahawa hendaklah makmum terus berdiri bagi rakaat keempat solat zuhur dan disunatkan untuk menegur imam dengan tasbih supaya dia bangun.[1] Jika dia teringat dan dia bangun, maka teruskan solat berjemaah seperti biasa sehingga selesai. Namun, jika imam tidak bangun dan meneruskan tasyahhud akhir, maka wajib bagi makmum untuk niat mufaraqah bagi berpisah daripada imam dan menghabiskan solat secara sendirian. Wallahua’lam.

Nota hujung: 

[1] Jika makmum itu menegur sewaktu duduk istirehat sebelum bangkit ke rakaat keempat, itu diharuskan jika duduk itu tidak begitu lama kadar duduk antara dua sujud, menurut Imam Ibn Hajar. Adapun menurut Imam Syamsuddin al-Ramli, memanjangkan duduk istirahat adalah harus. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah (hlm. 248)