Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #947 : GUGUP PUNCA IMAM SOLAT JENAZAH TERLUPA NIAT

af947 compressed

 

Soalan:

Ibu saya baru meninggal dunia. Sewaktu sesi solat jenazah beliau, imam di tempat saya mempelawa waris untuk menjadi imam solat jenazah. Pendek cerita, saya telah dipilih menjadi imam. Cuma akibat gugup, saya berasa syak semasa solat jenazah tersebut; adakah saya sudah berniat menjadi imam atau belum? Lantas saya cepat-cepat berniat ketika solat. Kini, ibu saya sudah siap dikebumikan. Apakah sah solat jenazah itu, dan seandainya tidak sah, apa yang perlu saya lakukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perkara pertama yang kita perlu tahu bahawa solat jenazah itu adalah fardhu kifayah dan tidak wajib dilaksanakan secara berjemaah. Maksudnya, jika solat jenazah itu dilakukan oleh seorang individu sahaja, maka memadailah solat jenazah tersebut. Disebut oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam kitab al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (617-619:

“Tidak disyaratkan solat jenazah itu dilakukan secara jemaah, maka diharuskan jika dilakukan secara berseorangan, kerana Nabi ﷺ  apabila wafat manusia mensolatkan jenazah Baginda kumpulan demi kumpulan,[1] tetapi tetap disunatkan secara berjemaah kerana riwayat daripada Malik bin Hubairah RA bahawa Nabi ﷺ bersabda:

ما مِنْ مُسلمِ يموتُ فيصلِّيَ عليه ثلاثةُ صفوفِ من المسلمين إلاَّ أوْجَبَ

Maksudnya: “Tiada orang Islam yang mati kemudian disolatkan ke atas jenazahnya tiga saf orang Islam melainkan melainkan wajib ke atasnya (syurga, atau keampunan).”

Riwayat Abu Daud (no. 3166). Al-Tirmidzi menyatakan hadis ini hasan.

Gugur hukum fardhu (kifayah) itu apabila disolatkan seorang, kerana memadai fardhu dengan solat itu, sekalipun jika dilakukan oleh kanak-kanak lelaki yang sudah mumaiyiz mengikut pendapat yang sahih.”

Kedua, niat sebagai imam itu tidak wajib dilakukan ketika takbiratulihram. Hukumnya adalah sunat, dan makruh jika dilambatkan secara sengaja, kerana akan mengurangkan fadhilat, tetapi tidak membatalkan solat. Imam hanya wajib berniat sebagai imam dalam empat jenis solat; solat Jumaat, solat mu`adah (ulangan), solat jamak taqdim ketika hujan, dan solat berjemaah kerana nazar. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah (hlm. 295)

Berdasarkan keterangan di atas, kami menyatakan bahawa solat jenazah berkenaan adalah sah dan tidak perlu diulang kembali. Wallahua’lam. Semoga Allah merahmati dan melimpahkan maghfirah kepada almarhumah serta menempatkan beliau dalam kalangan orang soleh dan solehah. Amin.

 Nota hujung:

[1] Hadis riwayat al-Baihaqi dengan sanadnya daripada Ibn Abbas R.Ahuma  menyebut:

 لَمَّا صُلِّيَ عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ أُدْخِلَ الرِّجَالُ فَصَلَّوْا عَلَيْهِ بِغَيْرِ إِمَامٍ إِرْسَالًا حَتَّى فَرَغُوا، ثُمَّ أُدْخِلَ النِّسَاءُ فَصَلَّيْنَ عَلَيْهِ، ثُمَّ أُدْخِلَ الصِّبْيَانُ فَصَلَّوْا عَلَيْهِ ثُمَّ أُدْخِلَ الْعَبِيدُ فَصَلَّوْا عَلَيْهِ إِرْسَالًا لَمْ يَؤُمَّهُمْ عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ أَحَدٌ

Maksudnya: “Apabila disolatkan jenazah Nabi ﷺ maka masuklah golongan lelaki dan mereka solat tanpa imam secara berterusan sehingga mereka beredar, kemudian masuk golongan wanita dan mereka pula solat ke atasnya, kemudian masuk golongan kanak-kanak dan mereka bersolat ke atasnya, kemudia masuk golongan hamba dan mereka bersolat ke atasnya tak putus-putus; tiada yang menjadi imam solat ke atas Rasulullah ﷺ seorang pun.”

Berkata Imam al-Syafie Rahimahullah: Ini bagi menunjukkan betapa agungnya kedudukan Rasulullah ﷺ, demi ayah dan ibuku, dan betapa mereka berpusu-pusu sehingga tidak melantik seorang  imam pun bagi melaksanakan ibadah solat ke atas Baginda , lalu mereka bersolat sesi demi sesi.”

RIwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (no.6907)