AL-KAFI #948: DIALOG RIB’I IBN ‘AMIR DENGAN PANGLIMA PARSI, RUSTUM

rib'i ibn amir, rustum.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri. Boleh terangkan kisah Rib’i ibn ‘Amir yang mengadap Rustum, panglima tentera Parsi?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Nama sebenarnya, Rib'i ibn 'Amir ibn Khalid ibn 'Amar al-Usaidi al-'Amrawi al-Tamimi, salah seorang panglima tentera Islam dalam pembukaan Iraq. Beliau termasuk daripada kalangan bangsawan Arab.

Rib'i ibn Amir sempat bertemu dengan Nabi SAW dan menyertai pembukaan kota Damsyiq. Begitu juga Peperangan Nahawand. Beliau sama-sama pergi ke Qadisiyah. Surat Saidina Umar yang dikirim kepada Abi Ubaidah al-Jarrah supaya menggerakkan tentera ke Negeri Iraq, salah seorang panglimanya adalah Rib'i ibn Amir.

Kisah pertemuannya dengan Rustum telah diceritakan oleh Ibn Kathir dalam kitab Tarikhnya yang masyhur, al-Bidayah wa al-NihayahSebelum terjadi peperangan Qadisiyah antara tentera Muslimin pimpinan Sa’ad bin Abi Waqqas R.A dengan tentera Parsi pimpinan Rustum, Sa’ad terlebih dahulu mengirim utusan kepada Rustum beberapa kali. Di antara utusan tersebut adalah Rib’i bin ‘Amir R.A.

Maka Rib’i pun pergi dan menemui Rustum. Mereka telah menghiasi pertemuan itu dengan hamparan bantal yang dijahit dengan benang emas, serta permaidani-permaidani dari sutera. Mereka menzahirkan kekayaan mereka dengan berbagai jenis perhiasan berupa permata yaqut, permata-permata yang mahal, dan perhiasan lain yang mengaburi mata. Rustum memakai mahkota dan duduk di atas singgahsana daripada emas.

Ia amat jauh berbeza keadaannya dengan Rib’i. Beliau masuk dengan hanya memakai baju yang sangat sederhana, dengan pedang, perisai dan kuda yang pendek. Rib’i tetap di atas kudanya sehingga menginjak hujung permaidani. Kemudian beliau turun dan mengikatkan kuda tersebut di sebahagian bantal-bantal yang terhampar. Setelah itu beliau lantas masuk dengan senjata, baju besi, dan penutup kepalanya.

Mereka berkata, “Letakkan senjatamu!” Beliau menjawab, “Aku tidak pernah berniat datang kepadamu tetapi kamulah yang mengundangku datang ke mari. Jika kamu memerlukan aku maka biarkan aku masuk dalam keadaan seperti ini. Jika kamu tidak izinkan, maka aku akan segera kembali.”

Lantas Rustum berkata, “Biarkan dia masuk.”

Maka Rib’i datang sambil bertongkat dengan tombaknya dalam keadaan posisi hujung tombak ke bawah sehingga menyebabkan bantal-bantal yang dilaluinya penuh dengan lubang-lubang bekas tombaknya.

Mereka bertanya, “Apakah yang membuatkan kamu datang ke sini?”

Beliau menjawab:

اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، وَمِنْ جَوْرِ الْأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ، فَأَرْسَلَنَا بِدِينِهِ إِلَى خَلْقِهِ لِنَدْعُوَهُمْ إِلَيْهِ، فَمَنْ قَبِلَ ذَلِكَ قَبِلْنَا مِنْهُ وَرَجَعْنَا عَنْهُ، وَمَنْ أَبَى قَاتَلْنَاهُ أَبَدًا حَتَّى نُفْضِيَ إِلَى مَوْعُودِ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia membangkitkan kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka sesiapa yang menerima perkara tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi sesiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya sehinggalah kami berjaya memperoleh apa yang dijanjikan Allah SWT.”

Mereka bertanya, “Apa yang dijanjikan Allah (kepada kamu)?”

Rib’i ibn Amir menjawab, “Syurga bagi sesiapa sahaja yang mati dalam memerangi orang-orang yang enggan dan kemenangan bagi yang hidup.”

Rustum pun berkata, “Sesungguhnya aku telah mendengar perkataan-perkataan kamu. Tetapi bolehkah kamu memberi penangguhan perkara ini sehingga kami mempertimbangkannya dan kamu pun mempertimbangkannya?”

Rib’i menjawab, “Ya, berapa lama masa yang kamu mahu? Sehari atau dua hari?”

Rustum menjawab, “Tidak, tetapi sehingga kami menulis surat kepada para pemimpin kami.”

Maka Rib’i pun berkata, “Rasul kami tidak pernah mengajarkan kepada kami untuk menangguhkan peperangan semenjak bertemu musuh lebih daripada tiga (hari). Maka pertimbangkanlah perkaramu dan mereka, dan pilihlah satu daripada tiga pilihan apabila masa penangguhan telah berakhir.”

Rustum bertanya, “Adakah kamu pemimpin mereka?”

Beliau menjawab, “Tidak, tetapi kaum muslimin ibarat jasad yang satu. Yang paling rendah dari mereka dapat memberikan jaminan keamanan terhadap yang paling tinggi.”

Akhirnya Rustum mengumpulkan para pemimpinnya kemudian berkata, “Pernahkah kamu melihat (walau sekali) yang lebih mulia dan lebih benar dari perkataan lelaki ini?”

Mereka menjawab, “Kami minta perlindungan Allah supaya engkau tidak terpengaruh kepada sesuatu dari (ajakan) ini dan dari menyeru agamamu kepada (agama) anjing ini. Tidakkah engkau melihat kepada pakaiannya?”

Rustum menjawab,

وَيْلَكُمْ لَا تَنْظُرُوا إِلَى الثِّيَابِ، وَانْظُرُوا إِلَى الرَّأْيِ وَالْكَلَامِ وَالسِّيرَةِ، إِنَّ الْعَرَبَ يَسْتَخِفُّونَ بِالثِّيَابِ وَالْمَأْكَلِ، وَيَصُونُونَ الْأَحْسَابَ

Maksudnya: “Celaka kamu! Janganlah kamu melihat kepada pakaian. Akan tetapi lihatlah kepada pendapat, perkataan, dan jalan hidupnya! Sesungguhnya orang ‘Arab menganggap ringan masalah pakaian dan makanan. Tetapi mereka menjaga harga diri mereka.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/623; Tarikh al-Umam wa al-Muluk, 2/402, Hayat al-Sahabah, 1/259)

 

Sedikit fakta berkenaan Peperangan Qadisiyah, di mana Rib’i ibn Amir juga menyertainya. Keputusan peperangan menyaksikan tentera Islam menang dengan bergaya. Peperangan ini berlaku di Kota Qadisiyah, Iraq pada bulan Muharram, tahun 14 Hijrah. Pemimpin utama ialah Sa'ad bin Abi Waqqas R.A salah seorang sahabat Nabi SAW yang terkemuka. Tentera Islam berjumlah 30 ribu sedangkan tentera Parsi melebihi 200 ribu. Termasuk juga 33 ekor gajah dari pihak Parsi.

Semoga Allah lahirkan ramai lagi dalam kalangan umat Islam seperti Rib’i ibn ‘Amir ini yang mempunyai keberanian, kepetahan berhujah dan keikhlasan dalam menegakkan agama-Nya. Amin.


Cetak   Emel