Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #964 : UNTUNG BERLIPAT GANDA: ADAKAH ITU RIBA?

af964 compressed

Soalan:

Dalam perniagaan, berapakah keuntungan yang dibolehkan dalam Islam untuk diambil oleh si penjual? Dan apakah itu riba dan keuntungan yang bagaimana yang dikatakan riba? Sebagai contoh: Jika harga sehelai tudung ialah RM20, berapa yang boleh saya jual kepada pelanggan? Berapakah harga yang sepatutnya saya jual agar tidak dikatakan atau termasuk dalam kategori riba? Mohon pencerahan daripada Datuk. Sekian, terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Pada asalnya, tiada had khusus bagi keuntungan dalam Islam. Namun apabila melibatkan penipuan, menganiaya orang lain, dan harga terlampau tinggi bagi barang-barang keperluan, maka di sana fiqh membincangkan hak khiyar (pilihan untuk membatalkan akad) bagi pihak yang terperdaya. Berikut kami sebutkan beberapa contoh berdasarkan kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/42) tentang aktivitimemanipulasi harga secara salah:

  • Talaqqi al-Rukban (Memintas pedagang): Seorang peniaga memintas para pedagang yang bakal datang ke kawasannya. Dia memperdaya mereka dengan mengatakan barangan yang bakal mereka jual sudah bertimbun di kawasannya dan dijual dengan harga yang rendah. Perbuatan peniaga ini bertujuan membeli barangan tersebut dengan harga yang lebih rendah daripada harga asal. Jual beli tersebut sah tetapi haram kerana wujudnya unsur penipuan. Apabila para pedagang tadi tiba ke kawasan perniagaan dan mengetahui harga pasaran yang sebenar selain menyedari mereka telah ditipu (maghbunun), mereka berhak menuntut khiyar dan membatalkan jual beli tadi. Diriwayatkan bahawa Abu Hurairah RA berkata:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُتَلَقَّى جَلَبُ فَإِنْ تَلَقَّاهُ إِنْسَانٌ فَابْتَاعَهُ فَصَاحِبُ السِّلْعَةِ فِيهَا بِالْخِيَارِ إِذَا وَرَدَ السُّوقَ

Maksudnya: Nabi SAW melarang manusia memintas dagangan, jika ia dipintas oleh seseorang dan orang ini membelinya maka pemilik barangan tadi berhak menuntut khiyar jika dia tiba di pasar.

Riwayat Muslim (no.1519)

  • Ihtikar: Ia bermaksud membeli barangan yang disenaraikan sebagai makanan asasi daripada pasaran ketika barangan tersebut amat diperlukan oleh pengguna. Barangan tersebut dihimpun dan disorok dengan tujuan menaikkan harganya berlipat kali ganda dan kemudian dijual sedikit demi sedikit dengan mengeksploitasi keperluan orang ramai. Perbuatan seperti ini adalah haram berpandukan hadith Nabi SAW:

لاَ يَحتَكِرُ إِلاَّ خَاطِئٌ

Maksudnya: Monopoli hanya dilakukan oleh orang yang bersalah.

Riwayat Muslim (no.1605)

Jika orang ramai amat memerlukan makanan asasi tersebut atau keadaan menjadi dharurat, orang yang memonopoli tadi boleh dipaksa (oleh pemerintah untuk) menjual barangan tersebut dengan harga yang munasabah. Jika dia ingkar, hakim boleh menjual barangan tersebut bagi pihaknya dan hasil jualan diserahkan kepadanya.

Timbul persoalan; sekiranya berlaku kenaikan harga bagi barang yang bukan keperluan, seperti tudung dengan rekaan tertentu, dan bukan bekalan kain yang merupakan keperluan asas masyarakat, apakah Kerajaan berhak menentukan harga barang? Bagi menjawab soalan ini, kami menyebut hadis Anas bin Malik RA:

غَلَا السِّعْرُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ سَعِّرْ لَنَا فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّزَّاقُ وَإِنِّي لَأَرْجُو أَنْ أَلْقَى رَبِّي وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَطْلُبُنِي بِمَظْلِمَةٍ فِي دَمٍ وَلَا مَالٍ

Maksudnya: “Pernah terjadi kenaikan harga pada masa Rasulullah ﷺ, maka orang-orang berkata: Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga untuk kami. Lalu Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah Sang Penetap Harga, Penggenggam, Pembentang dan Pemberi Rezeki. Aku berharap bertemu dengan Tuhanku dan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntut perbuatan zalim yang aku pernah lakukan kepadanya, baik berupa darah (qisas) maupun harta."

Riwayat al-Tirmidhi (no.1235). Beliau berkata hadis ini hasan sahih.

Hadis ini adalah dalil bahawa haram bagi pemerintah untuk menetapkan harga barang mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab. Pendapat yang lemah mengatakan bahawa dibenarkan ke atas pemerintah untuk menetapkan harga pada waktu ghala’ (gawat) bagi makanan. Sekiranya imam menetapkan harga barang dan peniaga menyelisihi perintah berkenaan, dibenarkan kepada pemerintah untuk mengenakan hukuman ta`zir kepadanya. Walau bagaimanapun, hukum jual beli itu adalah sahih, mengikut pendapat yang asah (lebih sahih). Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (3/65-66) oleh Muhammad al-Zuhaili.

Berkata Syeikh Muhammad Taqi Uthmani: “Sesungguhnya tas`ir (penetapan harga barang) tidak boleh dilaksanakan, melainkan pada keadaan-keadaan yang luar biasa, apabila manusia berada dalam keadaan terdesak akibat harga yang terlalu ditinggi pada barang-barang yang manusia berhajat kepadanya seperti makanan, minuman dan pakaian. Jika tidak berlaku keadaan sedemikian, maka hukum asalnya hendaklah dibiarkan para peniaga dan pembeli untuk berniaga berdasarkan harga yang mereka suka. Pada zahirnya, jika tidak berlaku ihtikar (monopoli barang), dan tidak berlaku penetapan harga barang oleh kartel perniagaan,[1] maka ini akan membuka peluang persaingan bebas dalam pasaran sehingga para peniaga tidak mungkin menaikkan harga lebih daripada harga pasaran. Jika naik sekali pun, maka kesamaran sudah pun hilang. Justeru tidak diperlukan kepada penetapan harga barang.”

Rujuk Fiqh al-Buyu` (2/1002)

Keterangan di atas dikuatkan dengan dua fakta daripada perbuatan Rasulullah SAW dan sahabat baginda:

  • Saiyidina `Urwah Ibn al-Ja`d al-Bariqi RA pernah diberi satu dinar oleh Rasulullah ﷺ untuk membeli seekor kambing. `Urwah kemudiannya berjaya membeli dua ekor kambing, dan menjual salah satunya dengan satu dinar, menjadikan keuntungan yang diperolehi adalah 100%! Apabila diserahkan, Baginda gembira dan mendoakan beliau dengan keberkatan. Berkat doa itu, beliau apabila berniaga di pasar, boleh menjana keuntungan sehingga 40,000 dinar! Riwayat al-Bukhari (no. 3642). Rujuk juga Fath al-Bari (5/137) oleh Ibn Hajar al-Asqalani.
  • Saiyidina al-Zubair bin al-`Awwam RA pernah membeli sebidang tanah di hutan dengan harga 170,000 dirham, kemudian anaknya Abdullah RA menjualnya selepas kematian al-Zubair dengan harga 1,600,000 dirham. Jumlah itu adalah 9 kali ganda! Riwayat al-Bukhari (no.3129).

Berkata Imam Abu Ishak al-Syirazi dalam al-Muhazzab (2/57): “Barangsiapa yang membeli barang dagangan, diharuskan ke atasnya untuk menjualnya dengan harga modal, dengan harga yang lebih rendah, atau yang lebih tinggi, berdasarkan sabda Baginda ﷺ : Jika berbeza jenis (pada barang ribawi), maka jual belilah bagaimana yang kalian inginkan.[2]

Oleh sebab itu, Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya al-Ulum al-Din (2/79) menerangkan bahawa pada asalnya ghabn (penyamaran harga dalam berniaga) adalah dibenarkan selagi mana masih boleh diterima pada adat kebiasaan. Ini kerana tujuan perniagaan itu sendiri adalah untung, yang melibatkan ghabn walaupun sedikit. Kata beliau, sebahagian ulama mengehadkan untung pada satu pertiga harga barang, jika lebih maka boleh khiyar, tetapi itu bukan pendapat mazhab al-Syafie. Itu hanya had ihsan. Namun, keharusan ini terikat dengan syarat tidak berlaku penipuan dan kezaliman.

Kesimpulannya, kami cenderung kepada pendapat bahawa mengambil untung berlipat kali ganda dalam perniagaan adalah bukanlah sejenis riba dan diharuskan selagi mana tidak membawa kepada penindasan dan kezaliman. Ini kerana keuntungan itu sendiri bersifat relatif dan tidak boleh dibandingkan secara mutlak dengan harga pasaran sebelum ditolak hasil jualan itu dengan perbelanjaan yang perlu ditanggung peniaga sebelum mendapatkan keuntungan bersih. Ini berbeza mengikut zaman, tempat dan jenis barang jualan itu sendiri. Namun, kami juga ingin berpesan agar para peniaga agar memperbanyakkan sedekah bagi menyucikan harta yang diperolehi, seperti mana sabda Rasulullah ﷺ:

يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ إِنَّ الشَّيْطَانَ وَالإِثْمَ يَحْضُرَانِ البَيْعَ فَشُوبُوا بَيْعَكُمْ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya: “Wahai para peniaga! Sesungguhnya syaitan dan dosa itu hadir dalam aktiviti jual beli. Maka sucikanlah jual beli kamu dengan bersedekah.”

Riwayat al-Tirmidhi (no.1208) daripada Qays bin Abi Gharazah RA, dengan sanad hasan sahih.

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada orang ramai. Wallahua`lam.

 

 Nota Hujung:

[1] Seperti mana tidak dibenarkan pemerintah menetapkan harga barang pada asalnya, tidak dibenarkan juga para penjual untuk berpakat menetapkan harga barang pada satu harga. Ini hanya jika tidak membawa mudarat kepada orang ramai.

[2] Riwayat al-Bukhari (no.2175) & Muslim (no.1587)