Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #987: BAGAIMANA CARA UNTUK BELAJAR KERANA ALLAH

BELAJAR KRN ALLAH.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya seorang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Soalan saya, bagaimanakah cara nak belajar untuk ilmu dan bukan untuk exam semata-mata?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pertama sekali, hendaklah kita faham tujuan belajar sebagaimana yang dinaskan oleh al-Quran al-Karim:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

(Surah al-Taubah: 122)

Nas ini menunjukkan tujuan tafaqquh fi al-din untuk memberi peringatan dan pengajaran kepada anak bangsa dan kaumnya. Keperluan ini sudah barang tentu tidak dapat dilaksanakan kalau dibataskan ilmu semata-mata yang terdapat dalam kelas pengajian semata-mata. Justeru, keperluan menuntut ilmu hendaklah dilebarkan bukan semata-mata kerana exam atau peperiksaan supaya dimarkahi dengan markah yang tinggi.

Kami cadangkan kepada penuntut ilmu, dalam mempelajari ilmu amalkanlah seperti berikut:

  • Tashih niat dengan belajar kerana Allah. Niat yang ikhlas akan menatijahkan keberkatan dalam menuntut ilmu. Dengan sebab itu, kita akan menuntut ilmu tanpa mengira exam atau tidak.
  • Menuntut ilmu bukan kerana mencabar ulama’, menunjuk kepada orang jahil tetapi semata-mata ingin membawa kepada perasaan takut kepada Allah. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّـهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Maksudnya: Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.

(Surah Fathir: 28)

  • Tiada kerehatan serta sanggup berpenat lelah dalam usaha menuntut ilmu. Seorang ulama’ tabi’in, Abu Nasr Yahya bin Abi Kathir al-Yamani berkata:

لَا يُسْتَطَاعُ الْعِلْمُ بِرَاحَةِ الْجِسْمِ

Maksudnya: Seseorang itu tidak mampu menguasai ilmu dengan kerehatan tubuh badan.

Menariknya, Imam Muslim – penyusun Sahih Muslim – telah memasukkan kata-kata hikmah ini bersama hadis Abi Mas’ud al-Badri, Aisyah, Abdullah bin al-Amr R.Anhum berkenaan mawaqit al-solah (waktu-waktu solat) yang lima.

Persoalannya, mengapa Imam Muslim memasukkan kenyataan ini dalam Sahihnya? Al-Qadhi ‘Iyyadh berkata, ramai yang bertanya tentang ini sedangkan riwayat ini bukanlah hadis Nabi SAW. Beliau menceritakan bahawa sebahagian ulama menjawab sesungguhnya Imam Muslim begitu kagum dengan jalur-jalur periwayatan hadis-hadis waktu solat sehingga beliau menyebut dalam kitabnya. Antara tujuan beliau memasukkannya ialah untuk menunjukkan prihatin tentang hal ini, betapa dalam menuntut ilmu tidak akan dapat kecuali dengan masyaqqah dan penat, yang amat jelas dan nyata.

Lihatlah bagaimana Imam Muslim sendiri terpaksa bermusafir daripada Afghanistan ke Naisabur, kemudian ke Kuffah, ke Baghdad, ke Raqqah, ke Basrah, ke Mesir dan melintasi negeri-negeri yang terperosok, yang membawa bersama wabak penyakit dalam musafir dan kelana. Inilah yang membawa Imam Muslim memasukkan mutiara hikmah ini dalam Sahihnya. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 98-100)

  • Rajin dan banyak membaca dengan kefahaman kerana manfaatnya cukup besar dan faedahnya cukup banyak. Al-Jahiz pernah berpesan supaya banyak membaca dan mentelaah buku yang ada kerana ia dapat mengusir kesedihan yang dialami. Dia berkata: “Buku adalah teman duduk yang tidak dapat mengusirmu, sahabat yang tidak menyesatkanmu dan sahabat yang tidak memberatkanmu. Buku adalah seperti orang yang tidak dapat meletihkanmu, tetangga yang tidak membuatmu kesal, sahabat yang tidak ingin mengeluarkan apa yang anda miliki dengan rayuan, tidak memperlakukanmu dengan tipu daya, tidak menipumu dengan kemunafikan, dan tidak memperdayamu dengan pembohongan.”
  • Ambil semangat tokoh ulama’ dalam menuntut ilmu dan berkarya. Kami bawakan di sini dua kisah:

Pertama: Ibn al-Rifa’ah atau nama sebenarnya Ahmad bin Muhammad bin Ali al-Misri, merupakan seorang yang faqih bermazhab Syafi’e. Beliau lahir pada tahun 645 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 710 Hijrah. Beliau adalah amat menekuni ilmu sekalipun ketika sakit dan dalam keadaan jika bajunya tersentuh tubuhnya akan merasa sakit. Walaupun begitu, beliau sentiasa melihat kepada kitab, membaca dan kadang-kadang mukanya menekuni kitab untuk mentelaah. Itulah kesungguhan beliau dalam membaca.

Kedua: Syeikh Jamaluddin al-Qasimi yang meninggal dunia pada tahun 1332 Hijrah dalam usia hanya 49 tahun. Tetapi beliau dengan masa yang ada telah mewakafkan hampir seluruh waktunya dengan semangat yang amat tinggi sehingga mampu mengkaryakan lebih daripada 100 buah karya.

Ustaz ‘Asim Baitar berkata: “Syeikh al-Qasimi telah meninggalkan karyanya melebihi 100 buah. Beliau mula mengajar dalam usia 14 tahun dan tidak pernah memberhentikannya sehingga meninggal dunia. Pelajarnya amat ramai dalam majlis ilmu yang disusun atur sama ada di masjid atau rumah, di waktu malam atau siang. Pada saat yang sama, beliau menulis dan berkarya. Beliau mengambil manfaat setiap minit daripada waktunya. Beliau pernah merasa sesal seketika apabila berhenti di hadapan kedai kopi yang dipenuhi oleh orang ramai dalam keadaan membazirkan masa dengan perkara yang lagha. Beliau berkata: “Alangkah ruginya dan aku bercita-cita kalau waktu boleh dijual, nescaya aku beli dari mereka semua waktu mereka.”

Syeikh al-Qasimi pernah berkata: “Allah cintakan aku sejak dari kecil lagi untuk membaca, mentelaah, menulis kitab dan risalah.” Beliau juga berkata: “Allah hilangkan daripadaku sifat suka membuang masa tanpa perkara yang berfaedah dan menganggur sebaliknya aku mentelaah banyak kitab sastera dan sejarah yang tak terhitung.”

Beliau pernah berkata dalam mukadimah kitab al-Fadhlu al-Mubin (hlm. 53): “Alhamdulillah, aku dikurniakan untuk menamatkan bacaan:

  • Sahih Muslim dengan sempurnanya dalam masa 40 hari
  • Sunan Ibn Majah dalam masa 21 hari
  • Muwatta’ Imam Malik dalam masa 19 hari
  • Taqrib al-Tahzib berserta dengan tashihnya dalam masa 10 hari

Justeru, tinggalkanlah perasaan malas dan jemumu tetapi gunakanlah dengan penuh loba masa waktumu untuk mempelajari ilmu dan beramal. (Lihat Masa Peliharalah karya kami, hlm. 68-73)

 

Akhir kalam, kami merasakan perlunya budaya muzakarah sesama pelajar dalam menekuni ilmu dan menziarahi tokoh-tokoh ulama’ untuk mengambil inspirasi atas lamanya mereka mewakafkan diri dalam menuntut dan menyebarkan ilmu serta berdakwah kepada Allah.

Pepatah Arab menyebut:

فَتَشَبَّهُوا ﺇنْ لَمْ تَكُوْنُوا مِثْلَهُمْ       ﺇنَّ التَّشَبُّهَ باِلْكِرَامِ فَلاَحٌ

                   Contohilah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka,

                                Kerana mencontohi yang mulia itu pasti mendapat kejayaan

Insha Allah, semoga anda merasai kelazatan menuntut ilmu dan ketika itu akan terasa betapa labanya dan keuntungan diperolehi selepas berpenat lelah dalam medan menuntut ilmu.

Kami mengambil nas Nabawi yang mengajar kita untuk berdoa bagi mendapatkan ilmu bermanfaat.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Riwayat Ibn Majah (925)

Semoga Allah kurniakan kepada kita untuk menekuni ilmu dan seterusnya menyebarkan kepada khalayak masyarakat. Amin.