Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1056: MUATNAIK GAMBAR DAHULU TIDAK MENUTUP AURAT UNTUK #10YEARSCHALLENGE

10years

Soalan: Apakah hukum memuatnaik gambar tidak menutup aurat (gambar dahulu) dalam cabaran #10yearschallenge?

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Memandangkan ini isu yang baharu, maka kami melihat gambar yang bercetak atau dalam bentuk digital boleh diqiyaskan hukumnya kepada pantulan objek pada cermin atau air yang dibincangkan oleh para ulama’.

Dalam bab ini, Imam al-Ramli ketika mensyarahkan pendapat Imam Nawawi dalam Al-Minhaj menyebut: diharamkan seorang lelaki yang baligh daripada melihat aurat wanita ajnabi yang merdeka, tapi tidak haram jika aurat itu sekadar imej, gambar atau pantulan. Maka tidak diharamkan melihat aurat melalui cermin sebagaimana yang difatwakan oleh sekumpulan ulama’ kerana ia tidak dikira melihat aurat secara langsung / terus. Namun, keharusan ini terpakai selagimana ia tidak menimbulkan fitnah. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/187) Hal ini juga disebutkan oleh Syeikh Abu Bakr ad-Dimyathi dalam I’anah at-Thalibin, 3/301.

Memuatnaik Gambar Tidak Menutup Aurat Sempena #10YearsChallenge

Kami melihat, isu yang penting untuk diperhatikan adalah samada gambar dahulu tersebut adalah ketika mumayyiz ataupun belum mumayyiz. Sekiranya belum mumayyiz, kami cenderung untuk menyatakan hukumnya adalah harus selagimana tidak membawa fitnah. Manakala bagi yang sudah mumayyiz, hukumnya adalah haram. Ini kerana memuatnaik gambar yang tidak menutup aurat sempena fenomena cabaran #10yearschallenge yang tular kini, bukanlah satu keperluan yang penting dan hanya sekadar suka-suka sahaja.

Ianya tidak termasuk dalam pengecualian dan kelonggaran yang telah kami bahaskan pada 21 Mei 2018 iaitu IRSYAD AL-FATWA #227- HUKUM MEMUAT NAIK GAMBAR TIDAK MENUTUP AURAT DI MEDIA SOSIAL. Selain itu, sikap wara’ dan berhati-hati hendaklah diutamakan. Potensi untuk gambar dahulu yang tidak menutup aurat (walaupun sekarang menutup aurat) untuk menjadi fitnah adalah amat tinggi. Maka, di sinilah asas pengharamannya berdasarkan kaedah sadd al-zari’ah iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram.

Ini juga juga berdasarkan kaedah fiqh lain yang berbunyi:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.

Ini juga berdasarkan satu kaedah:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar r.a:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.

Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Pun begitu, sebarang bentuk gambar yang boleh dimanipulasi untuk tujuan yang tidak baik, hendaklah dipertimbangkan sebaik-baiknya sebelum dimuatnaik. Apatah lagi dalam suasana zaman sekarang yang terdedah kepada bahaya, termasuk isu-isu melibatkan child predator dan pedofil.

Untuk persoalan berkaitan, lihat juga AL-KAFI LI AL-FATAWI KE-458: MEMUATNAIK GAMBAR BAYI DI FACEBOOK dan IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-5: HADITH BERKENAAN PENYAKIT AIN

Wallahu a’lam.