Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AK 1060

Soalan

Asslamualaikum kalau pihak tuan tidak keberatan, bolehkah ambil tahu pasal Google Admob atau Google Adsense yang mana bila kita klik iklan dgn kriteria2 tertentu kita akn dapat duit daripadanya. Hukum duit itu sendiri bagaimana? Saya tanya kerana ramai yg terlibat dgn perkara ini. Dan saya juga terlibat pada peringkat permulaaan. Terima kasih

Jawapan

Muqaddimah

Waalaikumsalam, Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

Pengenalan

AdMob merupakan platform pengiklanan yang berlandaskan penggunaan telefon mudah alih. Ia merupakan salah satu daripada anak syarikat Google. Manakala Google AdSense merupakan program pengiklanan berdasarkan laman web dan blog. Kedua-dua program ini merupakan program pengiklanan di antara pemilik iklan (google) dan pemilik laman web. Pemilik laman web dapat menjana pendapatan melalui bilangan pengunjung melayari dan meng “klik” iklan yang disiarkan di dalam laman web mereka. Pemilik laman web merupakan wakil syarikat Google untuk mempaparkan iklan di dalam laman webnya. (Rujuk: https://ms.wikipedia.org/wiki/AdSense dan https://ms.wikipedia.org/wiki/AdMob ).

Akad (Kontrak)

Akad merupakan faktor penting dalam urusan Muamalah ini kerana untuk menentukan halal haram di dalam hukum syarak. Selain itu akad merupakan urusan yang memerlukan keredhaan di antara keduanya. Ini seperti yang terdapat dalam kaedah fiqh:

الأصل في العقود هو التراضي

Maksudnya: Hukum asal pada akad (kontrak) itu adalah keredhaan.

Selain itu seharusnya isi kandungan kontrak dan perjanjian itu tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan syarak dan juga boleh membatalkannya seperti terkandung di dalamnya riba, gharar dan lain-lain. Ibnu Taimiah menyatakan dalam kitabnya:

أَنَّ الأَصلَ فِي العُقُودِ وَالشُّرُوطِ الجَوَازُ وَالصِّحَّةُ، وَلَا يَحرُمُ وَيَبطُلُ مِنهَا إلّا مَا دَلَّ عَلَى تَحرِيمِهِ وَإِبطَالِهِ نَصٌّ أَو قِيَاسٌ

Maksudnya: Sesungguhnya hukum asal Akad (kontrak) dan syarat adalah harus dan sah. Tidak diharam dan dibatalkan keduanya melainkan terdapat dalil yang mengharam dan membatalkannya sama ada dari segi Nas atau Qias. (Majmuk Al-Fatawa Li Ibnu Taimiyyah: 17/65)

Isi kandungan kontrak perlu dititik beratkan bagi mengelak berlakunya sesuatu yang dilarang syarak. Tujuannya adalah untuk menjauhi perkara yang syubhah dan juga membantu kepada kemungkaran. Ini kerana Allah S.W.T melarang berkejasama dalam hal yang diharamkannya seperti firmanNya:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya. (Surah Al-Maidah:2).

Al-Wakalah Bil Ujrah (perwakilan menerima bayaran)

Definasi Al-Wakalah ialah “Seseorang yang mempunyai tanggungjawab yang banyak, lalu diwakilkan kepada yang lain untuk menunaikan tanggung jawabnya”. (Al-Muktamad Fi Fiqh As-Syafie:3/325)

Dari segi hukum syarak Al-Wakalah Khatib Syarbini berkata: “Ulama telah besepakat bahawa Al-Wakalah diharuskan” (Al-Muktamad Fi Fiqh As-Syafie: 3/329). Al-Wakalah pada asalnya adalah disunatkan ini seperti Hadis daripada Abu Hurairah R.A Nabi S.A.W bersabda:

والله في عون العبد ماكان العبد في عون أخيه

Maksudnya: Dan Allah S.W.T menolong hambanya selama mana hamba itu menolong saudaranya.

(Riwayat Imam Muslim: 1924)

Berkenaan dengan Al-Wakalah Bil Ujrah (Perwakilan menerima bayaran) Dr. Muhammad Zuhaili mengharuskannya ini kerana para sahabat pernah mewakili Rasulullah S.A.W untuk memungut zakat dan mengambil upah daripadanya. Hadis bersandarkan kepada hadis daripada sahl bin saadi dan Saidina Omar Al-Khattab R.A. Selain itu diantara syaratnya ialah bayaran di dalam akad dan kontrak diterangkan secara jelas. Memastikan kandungan barang tidak syuhbah dan haram di sisi syarak. (Al-Muktamad Fi Fiqh As-Syafie: 3/349).

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, penggunaan Google Adsense dan Google Mob ia termasuk di dalam Al-Wakalah Bil Ujrah. Ini kerana pemilik laman web mewakili Google untuk mensiarkan iklannya di dalam laman web. Berbalik kepada dalil yang didatangkan di atas hukumnya adalah diharuskan sekiranya:

  • Kandungan akad dan kontrak mestilah jelas sama ada dari segi pembayarannya serta terma dan syaratnya supaya tidak melanggarkan syariat.
  • Tidak terdapat unsur-unsur yang gharar, riba dan penindasan sebelah pihak seperti mengiklankan permainan judi dan lain-lain
  • Kandungan iklan mestilah tidak mempromosi perkara yang diharamkan syarak seperti iklan arak, pornografi dan lain-lain.

Selain itu ini kedua-dua pihak mesti menjaga amanah dan mengikuti kontrak yang ditandatangani. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)

(Surah Al-Anfaal: 27)

Wallahualam.