Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1073: HUKUM MENZIARAHI KAWAN NON MUSLIM YANG SAKIT

ziarah non muslim.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti, saya ingin bertanya berkenaan hukum menziarahi rakan non Muslim yang sakit. Apa pandangan SS dalam hal ini? Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Orang yang sakit memerlukan perhatian dan bantuan daripada kenalannya serta hiburan dan motivasi yang dapat memberikan kekuatan baginya. Ini kerana mereka sedang mengalami penderitaan dan menahan sakit yang dialami. Oleh itu Islam memberi perhatian terhadap perkara ini serta memasukkannya sebagai salah satu akhlak yang mulia.

Kelebihan Menziarahi Orang Sakit

Secara umumnya, banyak hadis yang menyebut anjuran serta kelebihan menziarahi orang yang sakit. Antaranya:

  • Daripada Abu Musa al-Asy'ari R.A, Nabi SAW bersabda:

أَطْعِمُوا الْجَائِعَ وَعُودُوا الْمَرِيضَ وَفُكُّوا الْعَانِيَ

Maksudnya: "Berilah makan kepada orang yang lapar, jenguklah orang yang sakit, dan bebaskan tawanan."

Riwayat Al-Bukhari (5373)

  • Daripada Thauban R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِى خُرْفَةِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَرْجِعَ

Maksudnya: "Sesiapa yang menziarahi orang sakit, dia berada dalam kebun syurga sehinggalah dia pulang."

Riwayat Muslim (6717)

  • Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَادَ مَرِيضًا ، نَادَى مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ : طِبْتَ ، وَطَابَ مَمْشَاكَ ، وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الْجَنَّةِ مَنْزِلاً

Maksudnya: "Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka ada penyeru yang menyeru dari langit: Kamu adalah orang baik, dan langkahmu juga baik dan engkau berhak mendapat satu tempat di syurga."

Riwayat Ibn Majah (1443) dan al-Tirmizi (2008)

  • Daripada Jabir bin Abdillah, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda,

مَنْ عَادَ مَرِيضًا ، لَمْ يَزَلْ يَخُوضُ فِي الرَّحْمَةِ حَتَّى يَجْلِسَ ، فَإِذَا جَلَسَ اغْتَمَسَ فِيهَا

Maksudnya: "Sesiapa yang menziarahi orang sakit, dia akan terus berada dalam naungan rahmat sehinggalah dia duduk. Apabila dia duduk, dia bersama dalam rahmat-Nya."

Riwayat Ahmad (14310). Dinilai sahih
dalam al-Silsilah al-Sahihah (2504).

Berdasarkan kepada nas-nas di atas, dapat disimpulkan bahawa ziarah orang sakit adalah digalakkan kepada semua orang sama ada yang Islam atau tidak berdasarkan nas. Akan tetapi jika menziarahi orang Islam, maka ia adalah lebih dituntut berdasarkan hadis daripada Abi Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ: إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ، وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْهُ، وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَسَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ، وَإِذَا مَاتَ فَاتْبَعْهُ

Maksudnya: Hak orang Islam terhadap orang Islam yang lain enam perkara: Apabila kamu bertemunya hendaklah memberi salam, apabila dijemputnya hendaklah kamu datang, apabila dia minta nasihat maka berilah nasihat, apabila dia bersin lantas dipuji Allah maka doalah, apabila dia sakit maka ziarahlah dan apabila dia mati maka iringilah jenazahnya.

Riwayat Muslim (2162)

Nabi Menziarahi Orang Yahudi yang Sakit

Dalam sebuah hadis daripada Anas R.A, beliau berkata:

كَانَ غُلَامٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: أَسْلِمْ". فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الْحَمْدُ لِلهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: "Ada seorang budak Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW telah menderita sakit. Maka Nabi SAW menziarahinya dan baginda duduk di sisi kepalanya lalu menyeru: "Masuklah Islam". Budak itu memandang kepada bapanya yang berada berdekatannya, lalu bapanya berkata,: "Taatilah Abu al-Qasim SAW". Lantas budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW keluar sambil bersabda: "Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan budak itu dari neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1356)

Nas hadis ini dengan jelas menunjukkan, menziarahi orang sakit bukan Islam adalah dibolehkan. Hadis juga menunjukkan kesan dakwah amat nyata yang Islam adalah agama yang bersifat rahmah kepada seluruh alam termasuk non Muslim.

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu’asirah menyebut: Menurut nas hadis-hadis Nabi SAW, menziarahi orang sakit merupakan hak seorang Muslim kepada Muslim lain. Namun ini tidak bermakna pesakit dalam kalangan non-Muslim tidak perlu diziarahi.

Aktiviti ziarah tanpa mengira bangsa, warna kulit atau agama merupakan amalan yang berteraskan kepada asas kemanusiaan. Bahkan Islam menganggapnya sebagai ibadah dan amal soleh yang mendekatkan diri seseorang kepada Allah.

Meskipun asas akidah antara Muslim dengan non Muslim berbeza, namun hak dan tanggungjawab antara satu sama lain tidak seharusnya diabaikan khususnya apabila melibatkan hubungan kejiranan, persahabatan dan sebagainya.

Beliau kemudian menyimpulkan: Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa seorang Muslim dibolehkan untuk menziarahi non Muslim yang sakit. Boleh jadi dengan ziarah, hatinya terbuka untuk menerima Islam sebagaimana peristiwa Rasulullah dan kanak-kanak Yahudi yang memeluk Islam pada akhir hayatnya. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 2/545)

Berdasarkan kepada persoalan saudara, yang sakit adalah saudara kita sekalipun non Muslim, tetapi nilai persahabatan amat perlu diberi kecaknaan bahkan ia sejuzuk daripada bentuk dakwah dan mempamerkan nilai akhlak yang tinggi serta unggul. Semoga dengan kebaikan yang saudara zahirkan itu dapat saudara tunjukkan nilai akhlak Islam yang amat luhur dalam membina erti persahabatan.

Kami menutup perbincangan ini dengan berdoa kepada yang sakit seperti yang diajar dalam nas:

اللَّهُمَّ ربَّ النَّاسِ ، أَذْهِب الْبَأسَ ، واشْفِ ، أَنْتَ الشَّافي لا شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ ، شِفاءً لا يُغَادِرُ سقَماً

Maksudnya: Ya Allah, Tuhan bagi manusia, hilanglah kesengsaraan, sembuhkan (yang sakit) Engkau adalah Zat yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan rasa sakit”

Riwayat Abu Daud (3883), Ibn Majah (3530), Ahmad (3615),
al-Tabarani (10/213) dan al-Hakim (4/463)