Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1075: HUKUM PAKAI PAKAIAN BERCORAK HAIWAN KETIKA SOLAT

baju haiwan solat.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah hukum memakai pakaian yang mempunyai corak haiwan ketika solat? Sesetengah jemaah yang datang ke masjid ada yang memakai pakaian seperti itu. Mohon penjelasan dan nasihat SS Dato' Mufti. Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Berkenaan persoalan di atas, ia adalah makruh kerana melalaikan apabila orang yang di belakangnya akan hilang tumpuan, seperti melihat-lihat corak dan bentuk tersebut, apatah lagi yang mempunyai kalimah tulisan tertentu.

Dalam sebuah hadis riwayat Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW pernah solat dengan pakaian ada gambar bendera atau tanda. Lantas Baginda melihat dengan satu pandangan yang tajam, kemudian berpaling seraya bersabda:

اذْهَبُوا بِخَمِيصَتِي هَذِهِ إِلَى أَبِي جَهْمٍ وَأْتُونِي بِأَنْبِجَانِيَّةِ أَبِي جَهْمٍ فَإِنَّهَا أَلْهَتْنِي آنِفًا عَنْ صَلَاتِي

Maksudnya: Bawalah baju ini kepada Abi Jaham dan bawakan untukku baju Anbijaniyyah Abi Jaham kerana ia melalaikan aku daripada solatku.

Sunan Abu Daud (4063)

Makna 'الخَمِيصةُ' ialah baju yang berwarna hitam atau merah yang terdapat padanya gambar (Lihat al-Mu'jam al-Wasit, 1/256) Manakala makna 'أَنْبِجَانِيَّةِ ' pula ialah seperti kata Ibn al-Athir, ia dibaca dengan ba' dibaris bawah dan ada riwayat dibaca dengan baris atas ba' (anbajaniyyah dan anbijaniyyah). Ia adalah nisbah kepada tempat yang bernama 'أَنْبِجان'. Ia adalah pakaian daripada bulu yang kosong, tiada sebarang lukisan atau bentuk gambar. Dan ia juga termasuk jenis pakaian yang keras. (Lihat Lisan al-Arab oleh Ibn Manzur, 2/371)

Daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:

كُنْتُ أَنْظُرُ إِلَى عَلَمِهَا وَأَنَا فِي الصَّلَاةِ فَأَخَافُ أَنْ تَفْتِنَنِي

Maksudnya: Aku melihat kepada gambarnya sedang aku dalam solat, maka aku bimbang ia membawa fitnah kepadaku (atau melalaikan aku).

Riwayat al-Bukhari (373)

Berdasarkan pandangan para ulama’, kami dapati ada dua pendapat: Pertama, yang memakruhkannya dan yang kedua ada yang mengharamkannya.

 Pendapat yang Memakruhkannya

Antaranya:

  • Imam al-Nawawi berkata: “Dalam hadis ini adalah gesaan supaya hati sentiasa hadir dan khusyu’ ketika solat dengan tadabbur bacaan dan zikirnya serta maksudnya untuk patuh dan taat. Ditegah daripada melihat kepada perkara yang melalaikan dan menghilangkan semua bentuk yang melalaikan hati.
  • Imam al-Nawawi juga berkata: Adapun pakaian yang terdapat padanya gambar atau yang melalaikan, maka hukumnya makruh solat padanya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/180)
  • Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Bahawa solat tidak rosak dan batal dengan sebab pakaian yang mempunyai gambar ketika solat kerana Nabi SAW tidak memutuskan solat tersebut dan juga tidak mengulanginya. (Lihat Fath al-Bari, 1//484)

 

Pendapat yang Mengharamkannya

Antaranya:

  • Ibn Muflih pula berpendapat hukumnya haram memakai pakaian yang terdapat padanya gambar haiwan. (Lihat al-Furu’ oleh Ibn Muflih, 2/18)
  • Imam al-Hajjawi berkata: Haram setiap lelaki dan perempuan memakai pakaian yang terdapat gambar haiwan. (Lihat al-Iqna’ fi Fiqh al-Imam Ahmad, 1/92)
  • Pengarang kitab Matalib Uli al-Nuha berkata: Haram kepada lelaki dan perempuan memakai pakaian terdapat padanya gambar binatang. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 1/353)

 

Setelah meneliti pendapat para ulama’, maka kami cenderung dengan pendapat Imam al-Nawawi dan juga al-Hafiz Ibn Hajar yang menyatakan, hukumnya adalah makruh. Ini kerana wajah istinbat yang dikemukakan oleh kedua-duanya adalah amat kuat.

Walaupun begitu, kami mengesyorkan supaya dielakkan memakai pakaian yang terdapat padanya gambar haiwan ketika solat berdasarkan larangan atau perasaan Rasulullah SAW seperti yang telah dijelaskan dalam hadis di atas.

Suka kami tegaskan di sini bahawa antara tujuan solat adalah mengabdikan diri kepada Allah dengan penuh khusyuk dan tawaduk bagi menzahirkan sifat kehambaan kepada-Nya.

Dalam hal ini, khusyuk seperti dibahaskan oleh fuqaha’ sebagai ruh solat. Kerana itulah yang menjadi maqasid utama solat untuk meraih khusyuk sebagai lambang kebahagiaan dan kemenangan. Benarlah firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (2) Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;

(Surah al-Mukminun: 1-2)